Translate

Sunday, September 17, 2017

Keunikan zon bebas cukai di tasik air tawar

TASIK Kenyir yang merupakan tasik buatan terbesar di negara ini dengan keluasan 209,199 hektar cukup masyhur sebagai syurga kaki pancing.

Struktur geografinya yang ‘terbina’ pada tahun 1988 menerusi pembukaan Stesen Jana Kuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, Hulu Terengganu, Terengganu turut membentuk 340 pulau dan 14 air terjun.

Dibiarkan sahaja berkembang secara semula jadi hampir 17 tahun, pelan pembangunan Tasik Kenyir sebagai destinasi ekopelancongan atau alam sekitar bermula pada 2005.

Menteri Besar Terengganu pada masa itu, Datuk Seri Idris Jusoh telah memutuskan pengharaman penangkapan ikan secara komersial di Tasik Kenyir yang memiliki beberapa spesies ikan sungai berkelas tinggi seperti kelah, sebarau, lampan, baung, tengas dan toman.

Keputusan itu mula merancakkan industri pelancongan dengan bercambahnya aktiviti rumah bot yang membawa pelancong kebanyakannya terdiri daripada pemancing untuk menerokai keindahan Tasik Kenyir.

Hasilnya pada masa itu, aktiviti rumah bot dan bot laju berkembang pesat dengan masing-masing memiliki 42 dan 72 pengusaha yang majoritinya terdiri daripada penduduk tempatan.
Pengganti Idris, Datuk Seri Ahmad Said pula meneruskan komitmen memantapkan lagi kerancakan industri pelancongan di Tasik Kenyir dengan idea mewujudkan zon bebas cukai di tasik air tawar itu pada tahun 2010.

Cadangan itu bertujuan untuk memanipulasi potensi besar Tasik Kenyir yang pernah dianggap sebagai sebuah tasik yang ‘tidur’ kerana tiada kegiatan pembangunan selama hampir 20 tahun.

Bermula dengan kelulusan prinsip daripada Kementerian Kewangan pada 21 September 2010, pembangunan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir (ZBCTK) terus berkembang dengan kelulusan bersyarat pewartaannya pada 14 Disember 2015.

Pewartaan ZBCTK berkuatkuasa pada 1 Februari lalu dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dilantik sebagai pihak berkuasa zon.
Kerja keras hampir tujuh tahun lalu mula membuahkan hasil dengan pembukaan fasa pertama ZBCTK yang mula beroperasi di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman pada 1 Ogos lalu.

Membeli-belah

Serentak dengan pewartaan zon bebas cukai itu, Tasik Kenyir kini merupakan lokasi percutian yang lengkap dengan pakej untuk menikmati alam semula jadi dan peluang untuk membeli-belah.
Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail berkata, ZBCTK amat unik kerana ia satu-satunya zon bebas cukai di negara ini yang digazetkan di kawasan tasik sedangkan zon-zon bebas cukai yang lain terletak di kawasan pulau, sempadan negara, lapangan terbang dan pelabuhan.

“Sebahagian kawasan Tasik Kenyir iaitu seluas 65,650 hektar merangkumi kawasan air, 339 buah pulau dan Pengkalan Gawi digazetkan sebagai ZBCTK.

“Fasa pertama ini melibatkan Pengkalan Gawi yang merupakan pintu masuk utama ke Tasik Kenyir dan Pulau Poh manakala fasa kedua pula di Pulau Bayas,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Omar berkata, fasa pertama ZBCTK di Pengkalan Gawi melibatkan tujuh lot kedai dikendalikan dua operator iaitu Ketengah Holding Sdn. Bhd. (Ketengah Holding) dan Onine Alliance (M) Sdn. Bhd. (Onine Alliance).

Ujar beliau, Ketengah Holding menawarkan produk bebas cukai seperti coklat, bagasi, barangan kulit, pinggan mangkuk, minyak wangi, cadar, telekung, barangan permainan dan cenderahati.

“Pengunjung juga boleh mendapatkan produk makanan Asia Barat, dron, permainan kawalan jauh selain makanan tempatan Terengganu yang ditawarkan oleh sebuah lagi operator iaitu Onine Alliance.

“ZBCTK di Pengkalan Gawi turut menyediakan empat kios dan medan selera untuk keselesaan pelancong,” jelas beliau.
Omar memberitahu, zon bebas cukai yang terdapat di Tasik Kenyir berkenaan tidak menawarkan produk berduti tinggi seperti kenderaan, petroleum, minuman beralkohol, rokok dan produk tembakau lain.

Sambutan

Beliau memberitahu, fasa kedua di Pulau Bayas yang menjadi pelengkap kepada ZBCTK dijangka mula beroperasi pada akhir tahun depan.

“Kerja-kerja pembangunan Kompleks Bebas Cukai Kenyir di Pulau Bayas yang merangkumi enam pakej termasuk pembinaan bangunan terminal utama dan jeti penumpang kini sudah 77.38 peratus siap,” katanya.

Omar berkata, pembukaan zon bebas cukai tersebut jelas menjadi tarikan terbaharu pelancongan di Tasik Kenyir sekali gus menyokong perancangan untuk menjadikan tasik air tawar itu sebagai destinasi pelancongan keluarga bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata, aspek ekopelancongan terus menjadi fokus utama Tasik Kenyir. Antara produk sedia ada ialah petempatan manusia prasejarah, Gua Bewah dan Gua Taat, Santuari Kelah, Kampung Konservasi Gajah Kenyir dan air terjun Lasir.

Omar berkata, Ketengah yakin pembukaan zon bebas cukai berkenaan akan menyemarakkan aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir dengan menyasarkan kehadiran 750,000 pelancong menjelang akhir tahun ini dengan nisbah 10 peratus pelancong yang berkunjung ke Terengganu akan ke ZBCTK.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan kehadiran 17,930 pengunjung dan kutipan hasil jualan sebanyak RM450,284 pada minggu pertama pembukaan ZBCTK.

“Alhamdulillah, Tasik Kenyir juga didapati semakin mendapat tumpuan pelancong luar negara seperti Australia, Singapura dan Jerman,” kata beliau.
Aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir juga semakin rancak sejak pembukaan ZBCTK. Selain membeli-belah di kedai bebas cukai dan menyewa rumah bot serta bot laju untuk aktiviti memancing, beberapa aktiviti sukan air turut diperkenalkan sejak 18 Ogos lalu.

Antaranya jet ski, kayak, banana boat, mega slide, speed zone dan jelajah tasik yang mengenakan caj berpatutan semurah RM5 seorang.

Impak
Sementara itu, seorang pengunjung, Siti Hajar Sapien, 24, berkata, kewujudan zon bebas cukai di Tasik Kenyir amat mengujakan dan ditunggu-tunggu sekian lama.

Usahawan yang berasal dari Kuala Berang itu berkata, beliau kerap berkunjung ke ZBCTK untuk membeli coklat kegemarannya yang sebelum ini hanya boleh didapati kala berkunjung ke Pulau Langkawi, Kedah mahupun Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Kelantan.

Siti Hajar berpuas hati dengan penawaran produk oleh kedai yang beroperasi di fasa pertama ZBCKT. Dia berharap agar ZBCKT dapat terus menampilkan lebih variasi pada jenama dan produk bebas cukai yang ditawarkan.

“Produk yang lebih pelbagai dengan harga mampu milik bakal menjadikan zon bebas cukai di Tasik Kenyir sebagai destinasi wajib dikunjungi sama seperti dua lokasi zon bebas cukai lain yang terdapat di Pantai Timur iaitu Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor.

“Saya percaya, ia dalam pertimbangan Ketengah yang sedang melakukan kajian kelakuan pelanggan. ZBCTK juga pasti akan terus bersemarak apabila Kompleks Bebas Cukai Kenyir di Pulau Bayas beroperasi kelak,” ujarnya.
Penduduk berhampiran Tasik Kenyir, Nur Khalidah Abdul Halim, 25, pula berkata, biarpun baru sebulan beroperasi, impak positif daripada operasi zon bebas cukai di Tasik Kenyir mula melimpah kepada penduduk setempat.

Dia yang menetap di Kampung Pasir Dula, Hulu Terengganu berhampiran Tasik Kenyir berkata, beberapa penduduk kampung mula membuka inap desa berikutan terdapat permintaan pelancong sejak pembukaan ZBCTK.

“Saya perhatikan bilangan pelancong yang mengunjungi Tasik Kenyir meningkat ketara terutama pada hujung minggu.

“Limpahan nikmat ekonomi turut dirasai kampung saya dan Kampung Basung yang sebelum ini sering dianggap pedalaman kerana terletak paling hampir dengan Tasik Kenyir,” katanya.

No comments:

Post a Comment