Translate

Wednesday, September 27, 2017

Kes pusat tahfiz terbakar selesai

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kertas siasatan berhubung kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada 14 September lalu yang meragut 23 nyawa dihantar ke Pejabat Peguam Negara semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najimuddin Mohd. berkata, siasatan terhadap kes itu yang melibatkan tujuh suspek berusia 11 hingga 18 tahun telah siap sepenuhnya dan polis sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaan.

“Kita telah hantar kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara dan sedang menunggu arahan selanjutnya termasuk tindakan atau pertuduhan terhadap mereka (suspek-suspek) itu.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan dibaca bersama khianat dengan api (Seksyen 435 Kanun Keseksaan),” kata beliau ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Turut hadir Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid.

Mengikut kertas siasatan berkenaan, kesemua tujuh remaja itu berhadapan de­ngan hukuman mati mandatori sekiranya sabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mereka juga boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda sekiranya disabitkan bersalah mengikut Seksyen 435 akta sama iaitu melalukan perbuatan khianat dengan api.

Begitupun, sebahagian besar daripada kumpulan remaja tersebut berkemungkinan besar terlepas daripada tali gantung jika sabit kesalahan memandangkan Seksyen 97 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 me­netapkan hukuman mati tidak boleh dikenakan ke atas pesalah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Sebaliknya, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama tempoh yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong atau Yang Dipertuan Negeri kepada pesalah juvana terbabit.

Kosmo! Ahad pada 17 September lalu melaporkan tragedi kebakaran menyayat hati pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa termasuk dua guru tahfiz rupa-rupanya satu perbuatan khianat didalangi Geng Budak Jahat Keramat yang mahu membalas dendam.

Perbuatan kejam tersebut terbongkar selepas polis mengesahkan penahanan tujuh orang remaja dengan lima daripada­nya dipercayai suspek utama yang terlibat membakar asrama tahfiz itu.

Kesemua suspek berkenaan sudah tidak bersekolah dan enam daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja.

No comments:

Post a Comment