Translate

Monday, September 18, 2017

Kejayaan KL2017 semarak sukan endurance tempatan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SUKAN endurance atau kuda lasak mula diperkatakan khalayak selepas kejayaan pasukan kebangsaan dipimpin Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang cemerlang membolot dua pingat emas dipertandingkan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) baru-baru ini.

Tambah signifikan, Sultan Mizan muncul sultan pertama di negara ini yang bukan sahaja menyertai malah turut merangkul pingat emas dalam temasya sukan dwitahunan terbesar Asia Terengganu tersebut.

Ketangkasan baginda yang menunggang kuda RTS Annaversary terbukti apabila menamatkan perlumbaan dalam tempoh 3 jam 48 minit 38 saat (3:48:38s) sekali gus muncul pemenang acara endurance ka­tegori individu.

Catatan masa yang dilakukan pada hari kejohanan yang berlangsung di Taman Endu­rance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, Terengganu tersebut telah meleburkan rekod 6:26:4s milik atlet Malaysia, Sulaiman Muda iaitu pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Tambah manis, pingat pe­rak juga digondol atlet negara, Mohd. Bulkhari Rozali yang juga anak kelahiran Terengganu dengan kelajuan 3:48:40s.

Pasukan endurance negara yang turut dianggotai Mohammad Fuad Hashim, Mohd. Adh­wa Embong, Azizatul Asma Abdullah dan Mohd. Yusran Yusuf melengkapkan hari ceria negara pada 20 Ogos lalu apabila gagah menyumbang pingat emas dengan kelajuan keseluruhan 11:31:30s.

Kepantasan menakjubkan itu sekali gus menewaskan cabaran empat negara lain iaitu Thailand dan Kemboja masing-masing di posisi pingat perak dan gangsa selain Brunei serta Singapura yang turut mencuba nasib dalam disiplin berkenaan.

Sultan Mizan bukan asing bagi aktiviti sukan berkuda malah baginda merupakan antara pendorong utama sukan endurance di negara ini menerusi penganjuran Sultan's Cup Terengganu Endurance Challenge (SCTE) pada tahun 2002.

Edisi pertama SCTE tersebut yang diadakan di Sungai Tong, Setiu itu mencetuskan kejohanan sama di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada tahun berikutnya.

Kejayaan kedua-dua edisi SCTE yang diiktiraf Persekutuan Berkuda Antarabangsa (FIE) tersebut kemudiannya mencetus penubuhan Terengganu Endurance Ride (TER) dan Royal Terengganu Endurance Stable (RTRES).

Pada tahun 2004, SCTE de­ngan perlumbaan pada jarak 140 kilometer diadakan di Lembah Bidong sebelum lokasi itu telah dijadikan venue tetap kejohanan sebelum ia dinaik taraf sebagai TIEP.

Kecintaan Sultan Mizan terhadap sukan berkuda terserlah apabila baginda juga aktif menyertai kejohanan endurance di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Sewaktu ditemui wartawan selepas memenangi emas ka­tegori individu Edurance KL 2017 baru-baru ini, Sultan Mizan bertitah, penyertaan mewa­kili negara dalam disiplin ber­kenaan bukan sekadar kerana venue pertandingan diadakan di Terengganu tetapi lebih di­sebabkan minat mendalam ba­ginda dalam sukan endurance.

Baginda turut berharap kejayaan merangkul dua pingat emas dan sebutir perak dapat menyemarakkan lagi sukan endurance tempatan selain memperkenalkan lagi TIEP sebagai venue sukan berkuda yang ber­taraf antarabangsa di mata dunia.

“Selepas ini, saya harap Terengganu (TIEP) dapat menjadi hos Kejohanan Endurance Junior selain menganjurkan Piala Endurance ASEAN pada Mei tahun depan,” titah baginda.

Pengurus pasukan endurance negara, Che Mat Din Ismail berkata, Sultan Mizan layak menyertai pasukan negara menerusi merit selepas berada pada ranking keempat kebangsaan menerusi pungutan mata yang diperoleh baginda daripada beberapa kejohanan yang disertai.

Mengulas kecemerlangan pa­sukan endurance negara dalam KL2017, beliau berkata, kejayaan itu banyak disumbangkan oleh keserasian yang ditunjukkan semua atlet termasuk Sultan Mizan walaupun hanya mula berkumpul untuk menjalani latihan bersama pada 15 Julai lalu.

“Kita hadapi pelbagai dugaan dan cabaran namun alhamdulillah ia berjaya diselesaikan.

“Pasukan negara juga te­lah berjaya mengikut strategi yang telah ditetapkan untuk mengetepikan lawan terutama pencabar utama, Thailand yang dilihat agak perlahan sejak loop pertama lagi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mohd. Bulkhari pula kagum dengan daya kepimpinan Sultan Mizan mengetuai pasukan endu­rance negara sehingga berhasil mencipta kejayaan gemilang.

“Saya kagum dan bangga de­ngan prestasi baginda pada kejohanan ini. Sepanjang perlumbaan baginda sangat bertenaga dan sentiasa mempamerkan kegembiraan sehingga ke garisan terakhir.


“Baginda juga sentiasa mengambil kira pendapat saya dan rakan sepasukan lain tentang strategi dan taktikal untuk menewaskan pasukan lawan,” katanya.

No comments:

Post a Comment