Translate

Tuesday, September 5, 2017

Jasa bekas guru dihargai

SEKOLAH Menengah Kebangsaan Tengku Bariah (SMKTB), Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini menerima tetamu istimewa iaitu seorang bekas guru yang telah menabur jasa di institusi pendidikan itu pada tahun 1970-an.

Kehadiran Khaw Choon Keat, 69, yang kini menetap di Johor Bahru, Johor selepas bersara pada tahun 2003 merupakan inisiatif Persatuan Alumi SMKTB yang diterajui Presidennya, Abdul Razak Mat Amin.

Abdul Razak, 58, berkata, seramai hampir 50 bekas pelajar yang rata-ratanya menuntut di sekolah tersebut pada tahun 1973 hingga 1978 hadir ke SMKTB bagi memberi penghormatan kepada Choo Keat.

“Sewaktu itu, SMKTB dikenali sebagai Tengku Bariah Secondary School (TBSS) dan merupakan antara sekolah premier (utama) di daerah Kuala Terengganu.

“Cikgu Choon Keat merupakan antara guru yang gigih dan telah memainkan peranan penting dalam kegemilangan TBSS baik dari segi akademik mahu pun ko-kurikulum pada masa itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pertemuan semula tersebut yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Setia Budi SMKTB baru-baru ini.

Abdul Razak yang merupakan Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) berkata, Choon Keat merupakan guru yang banyak membimbangnya memupuk minat bersukan sewaktu bergelar pelajar sekolah.

“Bakat saya dalam olahraga terutama dalam acara larian acara 800 meter telah diasah oleh Choon Keat. Sejak itu, minat saya terhadap sukan tidak pernah pudar itu sehinggakan kini saya masih terlibat dengan menerajui MGF,” ujarnya.
Seorang lagi bekas pelajar, Datin Seri Norliah Che Mohammad, 56, pula berkata, biarpun sudah lebih 40 tahun meninggalkan alam persekolahan namun jasa Choon Keat dan TBSS tidak pernah dilupakan di dalam sanubari mereka.

Beliau yang kini merupakan Setiausaha Kehormat Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia berkata, Choo Keat yang mengajar mata pelajaran Perdagangan dan Bahasa Inggeris turut merupakan guru pembimbing pengawas, pengakap, hoki dan bola tampar TBSS pada waktu itu.

“Beliau merupakan salah seorang guru yang memainkan peranan penting membentuk jati diri menerusi akademik dan aktiviti ko-kurikulum sehingga sebahagian kami berjaya dalam kehidupan masing-masing.

“Majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk menghargai jasa besar Cikgu Choo Keat malah lebih dari itu bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pengurusan sekolah dan pelajar sekolah ini untuk mengembalikan kegemilangan yang pernah dirintis dahulu,” ujarnya yang juga anak didik guru tersebut dalam acara larian 100 meter.

Sementara itu, Choon Keat berkata, beliau amat berharu dan teruja untuk bertemu semula dengan anak-anak muridnya setelah sekian lama tidak bersua.

“Saya tidak berfikir panjang untuk menempah tiket penerbangan dari Johor Bahru ke Kuala Terengganu untuk menghadiri majlis di TBSS yang merupakan sekolah pertama saya mengajar selepas tamat pengajian pada 1971,” katanya.
Mengimbas kenangan lampau, beliau memberitahu, sewaktu dekad 1970-an, TBSS tidak mempunyai ramai guru siswazah dan sehubungan itu, beliau yang merupakan salah seorang daripadanya telah diamanahkan untuk memikul banyak tanggungjawab di sekolah.

“Seingat saya, tidak lebih 10 orang guru berijazah di TBSS pada masa itu. Mahu tak mahu saya menjadi guru pembimbing pengawas, pengakap, hoki dan bola tampar.

“Tanggungjawab yang dipikul memang besar tetapi saya seronok membimbing anak bangsa. Saya harap SMKTB akan terus gemilang dengan kerjasama erat guru, pelajar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta alumni,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Suradi Mohd. Sabri, 56, berkata, Persatuan Alumni SMKTB sememangnya komited untuk terus berbakti kepada sekolah yang merupakan alma mater kepada mereka.

Bekas pelajar SMKTB tahun 1978 itu, mereka sering turun padang mengadakan program seperti seminar motivasi dan kerjaya kepada pelajar sekolah tersebut.

“Sebagai menggalakkan anak-anak, kami juga menawarkan ganjaran wang ringgit kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik terutama peperiksaan PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga) dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” ujarnya.
Pengetua SKMTB, Mohamad A. Ghani berkata, beliau sangat menghargai peranan yang dimainkan alumni sekolah tersebut yang tidak pernah lokek membantu keperluan sekolah sama ada dari segi kewangan, keringat mahu pun kepakaran.

Menurutnya, TBSS yang mula beroperasi pada tahun 1961 merupakan sekolah aliran bahasa Inggeris kedua di Kuala Terengganu selepas Sultan Sulaiman Secondary School (kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman).

Beliau memberitahu, sekolah yang memperolehi nama sempena Tengku Puan Muda Terengganu pada masa itu iaitu Tengku Bariah yang juga puteri Sultan Selangor kelima, Sultan Hisamuddin Alam Shah telah banyak melahirkan tokoh-tokoh terkemuka negara.

“Antaranya, bekas Pengerusi TDM Bhd., Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar yang meninggal dunia baru-baru ini; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd., Datuk Seri Azman Mohd. dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif PLUS Expressways Bhd., Datuk Noorizah Abd. Hamid. Juga Naib Presiden Kanan Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia Petronas, Datuk Raiha Azni Abd. Rahman dan Sofian Mohd. yang merupakan individu yang berbasikal mengelilingi dunia secara solo juga bekas pelajar SMKTB,” katanya.

No comments:

Post a Comment