Translate

Thursday, September 21, 2017

Dua termasuk pegawai polis wanita maut, kereta terbabas rempuh pembahagi jalan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Seorang pegawai polis wanita dan rakannya maut selepas kereta Proton Satria yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Tengku Mizan berhampiran jejantas Bukit Tunggal di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada 3.15 pagi itu, Junaidah Zainal, 32, yang berpangkat Inspektor dan Mohd Lokman Ridzwan, 29, cedera parah di bahagian kepala setelah kereta yang mereka hilang kawalan lalu terbabas merempuh pembahagi jalan.

Mohd. Lokman meninggal dunia sewaktu mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada pukul 9.20 pagi.

Junaidah yang bertugas di Pusat Latihan Polis Dungun pula menghembuskan nafas terakhir di wad sama pada pukul 4.20 petang setelah hampir 14 jam bertarung nyawa.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke bandar raya Kuala Terengganu dari arah Batu Enam di sini.

"Kereta Proton Satria yang dipandu Mohd. Lokman dipercayai menghala ke Jambatan Sultan Mahmud untuk memasuki bandar raya Kuala Terengganu.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas merempuh pembahagi jalan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Idris berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat.

Difahamkan, Junaidah yang berasal dari Teluk Intan, Perak pernah terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan tulang paha kirinya patah pada 19 September tahun lalu.

Dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 50, Jalan Kuala Terengganu- Kampung Raja berhampiran Kampung Telaga Putat, Setiu itu, kereta yang dipandu Junaidah terbabas lalu merempuh sebarang pokok selepas mengelak sebuah kereta lain dari arah bertentangan yang memotong di garisan berkembar. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment