Translate

Wednesday, September 13, 2017

9 direman melibatkan kes rasuah

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK dan MOHD. AZLI ADLAN

KUANTAN – Lima individu termasuk seorang pegawai hutan daerah Jerantut ditahan reman enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini semalam bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan kes rasuah melibatkan kegiatan pembalakan haram di Jerantut sejak dua tahun lalu.

Perintah reman terhadap pegawai hutan dan isterinya, renjer hutan, pemilik dan pengurus sebuah syarikat pembalakan itu dibenarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Fadhly Mohd. Zamry berkata, kelima-lima suspek berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun itu ditahan di pejabat dan rumah masing-masing di Jerantut kelmarin selepas disyaki terlibat urusan memberi dan menerima rasuah supaya tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan pembalakan haram di Jerantut sejak dua tahun lalu.
“Kesemua mereka ditahan reman selama enam hari bermula hari ini (semalam) sehingga 17 September ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) serta Seksyen 17(a)(B) Akta SPRM 2009.

“Tahanan reman dibuat bagi membolehkan SPRM menyiasat kegiatan pembalakan haram yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit di Jerantut,” katanya.

Kelima-lima suspek diwakili peguam bela, Hon Khai Ping.

Sementara itu, di KUALA TERENGGANU, tiga pengurus dan seorang pemandu lori syarikat pembalakan direman selama lima hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes rasuah, juga membabitkan pegawai Jabatan Perhutanan baru-baru ini.

Perintah reman terhadap empat lelaki yang bekerja di tiga syarikat pembalakan berasingan tersebut dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Noradila Ab. Latif.

Sumber SPRM berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 29 hingga 62 tahun itu masing-masing disyaki memberi rasuah antara RM500 hingga RM1,000 kepada tiga pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu dalam tiga insiden berasingan dari 23 Mei hingga 28 Ogos lalu.

Menurutnya, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Kosmo! semalam me­laporkan SPRM menahan tujuh individu termasuk seorang pegawai hutan daerah dalam operasi berkaitan kes pencemaran alam sekitar termasuk pembalakan haram di beberapa lokasi di Pahang dan Terengganu antara pukul 10.30 pagi hingga 3.30 petang kelmarin.

No comments:

Post a Comment