Translate

Saturday, September 16, 2017

271 pasangan pengantin Terengganu sertai program Perkahwinan Perdana

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seramai 271 pasangan pengantin daripada seluruh Terengganu melangsungkan penikahan masing-masing dalam program Keluarga Generasi Transformasi Terengganu Baharu (TTB): Perkahwinan Perdana hari ini.
Mereka bersanding secara serentak di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini yang diiktiraf sebagai majlis persandingan pengantin paling ramai oleh Malaysia Book of Records.
Terdahulu seramai 70 pasangan pengantin dari daerah ini dan Kuala Nerus dinikahkan di Masjid Kristal, TTI pada pukul 8.30 pagi tadi manakala selebihnya telah melangsungkan upacara penikahan di daerah masing-masing semalam.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, program tahunan yang kali kedua dianjurkan tersebut merupakan tanda keprihatinan kerajaan negeri untuk membantu golongan muda dan meringankan beban ahli keluarga mereka mengadakan majlis perkahwinan.
"Pasangan pengantin terbabit terdiri penduduk negeri ini yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun, pertama kali berkahwin, tiada rekod jenayah dan masalah kesihatan serta pendapatan pasangan RM3,000 ke bawah.
"Mereka menerima satu set persalinan, pakej set persandingan, pakej bulan madu tiga hari dua malam, Sijil Premium Bank Simpanan Nasional bernilai RM1,000 dan jemputan jamuan seramai orang 50 orang bagi setiap pasangan," katanya selepas merenjis mawar terhadap sebahagian pasangan pengantin berkenaan di TTI di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud dan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YBKT), Mohd. Shafaruddin Mustaffa. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment