Translate

Saturday, September 30, 2017

Terengganu sah ke Liga Super musim depan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU - Terengganu mengesahkan slot ke Liga Super musim depan selepas bergaya menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 pada aksi kedua terakhir Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Tiga mata berharga itu membolehkan skuad Penyu kukuh di tangga kedua liga dengan 47 mata sekali gus tidak mampu dikejar lagi Negeri Sembilan dan PKNP FC yang masing-masing berada pada posisi ketiga dan keempat.
Terengganu berada di hadapan menerusi pemain tengah, Mohd. Faiz Mohd. Nasir yang berjaya memanfaatkan hantaran lintang Tchetche Kipre pada minit ke-18.
Penjaga gol PDRM, Firman Zamri tewas buat kali kedua selepas tandukan penyerang sensasi skuad Penyu, Kipre menerjah gawang pada minit ke-35.
Seorang lagi penyerang import Terengganu, Issey Farran Nakajima meledak gol ketiga selepas bijak memanfaatkan hantaran lintang Mohd. Faiz pada minit ke-56.
Kejayaan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim kembali ke saingan Liga Super musim depan itu diraikan meriah oleh 5,200 penyokong tegar yang memenuhi stadium pada malam ini. - K! ONLINE

APMM gagalkan tindakan lanun rampas kapal dagang bawa diesel RM7 juta


KUALA TERENGGANU - Maritim Malaysia (APMM) berjaya mengagalkan tindakan sekumpulan 10 lanun dipercayai warga Indonesia untuk melarikan sebuah kapal dagang, MT MGT1 yang membawa 2.2 juta minyak diesel bernilai RM7 juta di perairan Terengganu dekat sini hari ini.
Kapal tangki berasal dari Thailand membawa 14 kru yang dijadual membawa bahan api tersebut ke selatan tanah air berjaya dikesan semula oleh sepasukan penguat kuasa APMM pada kedudukan kira-kira tiga bati nautika dari Pulau Yu Besar berhampiran Pulau Redang dekat sini pada 2.05 pagi.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata, sebelum itu, kehilangan kapal dagang tersebut dikesan APMM Wilayah Timur selepas menerima maklumat daripada sistem identifikasi auto (AIS) pada pukul 5 petang semalam.
"Pasukan tindakan khas (PTK) APMM yang menaiki helikopter Agusta Westland 139 telah diarahkan untuk mengesan kedudukan kapal dagang yang telah dirampas kumpulan lanun itu.
"Kapal terbabit kemudiannya telah dijumpai bersama sebuah kapal tanpa identiti dan sebuah bot pancung disyaki milik lanun terbabit pada kedudukan 37 batu nautika timur laut Pulau Tenggol, Dungun pada pukul 2.05 pagi," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Tujuh pelajar Terengganu cemerlang lanjut pelajaran ke luar negara

BIASISWA. Tujuh pelajar kelahiran Terengganu yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara menerima wang pendahuluan daripada Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, salah seorang penerima tersebut, Muhammad Nur Irfan Mohd. Zameri merupakan pelajar perintis program Saintis Islam Terengganu yang bakal melanjutkan pelajaran ke Manchester University, Britain dalam bidang Kejuruteraan Aero Angkasa.

Beliau berkata, Muhammad Nur Irfan yang merupakan seorang hafiz al-Quran turut menerima biasiswa Al-Watiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berjumlah RM854,000 untuk membiayai pengajiannya bagi peringkat ijazah sarjana muda.

“Enam penerima wang pendahuluan lain pula akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Nottingham, Britain dalam pelbagai bidang seperti Farmasi, Kejuruteraan Mekanikal dan Nutrisi,” katanya.

Friday, September 29, 2017

Insiden pembalak haram kasari anggota Jabatan Perhutanan dipandang serius

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memandang serius insiden anggota penguatkuasa Jabatan Perhutanan dikasari pembalak haram yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ancaman daripada pembalak haram yang dipercayai didalangi sindiket itu amat serius sehingga mencederakan anggota Jabatan Perhutanan yang sedang melakukan kerja-kerja penguatkuasaan.
"Dalam tempoh tiga bulan ini, pegawai (Jabatan Perhutanan) kita yang menguatkuasakan undang-undang pembalakan berdepan tindakan ganas pembalak haram. Kes pertama, seorang daripada mereka ditembak walaupun tak datangkan cedera parah.
"Yang kedua, ada pegawai kena tahan di tengah jalan dan dikurung sekejap kerana pembalak haram nak ambil balik jentera dan kayu-kayu balak yang telah dirampas" katanya kepada pemberita di Hutan Simpan Kuala Kemaman, Bakau Tinggi di sini hari ini.
Kosmo! 20 Mac lalu melaporkan seorang anggota Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan seorang mekanik nyaris maut selepas diserang hendap oleh sekumpulan sindiket pembalak haram yang melepaskan tembakan ketika pasukan penguat kuasa menjalankan operasi di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun.
Sindiket pembalak haram itu melepaskan tiga das tembakan menggunakan senapang ke arah sekumpulan kira-kira 10 anggota penguat kuasa sehingga menyebabkan seorang mekanik cedera pada bahagian pinggang selepas terkena tembakan itu. - K! ONLINE

Harap PM bawa isu Rohingya kepada Presiden Amerika Syarikat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Isu penindasan masyarakat minoriti Islam Rohingya di Rakhine, Myanmar diharap menjadi antara agenda penting yang akan disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam kunjungan ke Rumah Putih mulai Selasa ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum ini, Najib sebagai salah seorang pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Islam telah berulang kali menyatakan keprihatinan beliau terhadap masalah kemanusiaan yang berlaku di Myanmar tersebut.
"Kita rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik, agama dan keturunan berharap Perdana Menteri (Najib) dapat memberitahu Presiden Trump supaya organisasi keamanan dunia dan Amerika Syarikat dapat menangani masalah orang Rohingya yang dibunuh dengan kejam di Myanmar.
"Masalah Rohingya bukan masalah agama dan bangsa tetapi masalah kemanusiaan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Chukai di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman, Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. - K! ONLINE

Thursday, September 28, 2017

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mahu perkenal sistem pembalakan mesra alam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KEMAMAN - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mahu memperkenalkan sistem pembalakan lebih mesra alam, 'log fisher' ke seluruh negara pada masa terdekat.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, menerusi penggunaan log fisher, kayu balak yang telah ditebang akan dikeluarkan dengan menggunakan rantai oleh mesin khas.
"Hanya satu jalan besar akan dibina dan ia tidak memerlukan penggunaan jentera berat seperti jentolak seperti kaedah pembalakan konversional pada waktu ini.
"Kaedah log fisher telah dilaksanakan di Terengganu dan Sarawak atas inisiatif kerajaan negeri masing-masing sebelum ini dan ia terbukti telah berjaya mentransformasikan sektor pembalakan yang lebih mesra alam," katanya kepada pemberita di Hutan Simpan Kuala Kemaman, Bakau Tinggi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Konservasi Hutan Paya Laut peringkat kebangsaan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Terengganu, Rosli Othman, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud dan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. - K! ONLINE

JSJ Bukit Aman fokus perangi jenayah sindiket perjudian, pelacuran

KUALA TERENGGANU – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan memberi penekanan khusus untuk meme­rangi kegiatan kumpulan sindiket yang terlibat aktif melakukan kegiatan jenayah perjudian, pelacuran dan samseng di negara ini.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najimuddin Mohd.  (gambar) yang baru memegang jawatan itu pada pertengahan bulan ini berkata, ia selaras dengan amanat yang ditetapkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun baru-baru ini.

“Ketua Polis Negara (Mohamad Fuzi) telah menetapkan tindakan (undang-undang) harus diambil terhadap semua ketua sindiket termasuk melibatkan perjudian dan jenayah terancang. Saya telah diberi senarai nama-nama sindiket tersebut.

“Tindakan susulan akan diambil dengan membuka fail kes ke atas mereka dan menggunakan undang-undang pencegahan sedia ada seperti POCA (Akta Pencegahan Jenayah 1959) dan SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012),” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Wan Ahmad Najimuddin berkata, langkah-langkah bagi pelaksanaan operasi pembanterasan tersebut sedang disusun dan senarai penuh sindiket yang diburu akan didedahkan pada masa yang sesuai.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Najimuddin berkata, beliau turut mengarahkan JSJ Terengganu agar memberi fokus kepada tiga kes berprofil tinggi di negeri tersebut yang  belum berjaya diselesaikan.

Beliau berkata, kes-kes tersebut ialah pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Alias Abdullah dan sepupunya, Mat Jusoh Ali, 56, yang ditembak mati dalam dua kes di bandar raya ini pada Oktober 2015.

“Satu lagi kes ialah pembunuhan seorang tauke ikan, Daud @ Wan Ahmad Wang Nawang, 68, yang turut ditembak mati di Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut pada Julai lalu,” katanya.

Terengganu bersedia awal, sasar juara Sukma Perak 2018

KONTINJEN Terengganu menyasarkan untuk kembali menjadi juara keseluruhan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang bakal diadakan di Perak tahun depan, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Pengerusi Jawatankuasa Be­lia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, kontinjen Terengganu sedang membuat persediaan awal bagi merebut sebanyak mungkin daripada 430 pingat emas yang ditawarkan pada Sukma ke-19 itu.

“Kita sedang melakukan persiapan yang lebih mantap dan kemas bagi mencapai sasaran untuk kembali menjadi juara keseluruhan Sukma seperti yang pernah dicapai pada edisi 2008, 2010, 2011 dan 2012.

“Setakat ini, persediaan kontinjen Terengganu sudah berada pada fasa kedua dengan melibatkan 700 atlet bagi 29 acara yang akan di­sertai.

“Bilangan atlet itu akan dikecilkan dalam lingkungan 400 hingga 500 orang pada fasa ketiga yang bakal bermula Disember depan,” katanya selepas merasmikan Himpunan Atlet Sukma Terengganu bagi mengira detik setahun sebelum Sukma 2018 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus semalam.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, Ibni Amin Busu.

Rozi berkata, MSN telah mengenal pasti beberapa disiplin sukan seperti judo, berbasikal, memanah dan menembak yang disasar bakal menjadi lubuk emas buat kontinjen Terengganu pada Sukma 2018.

Beliau berkata, kesemua atlet bagi disiplin sukan yang menjadi taruhan kontinjen Terengganu tersebut bakal menerima latihan intensif termasuk menjalani latihan di luar negara.

Pada Sukma Sarawak tahun lalu, kontinjen Terengganu terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga di belakang Selangor dan Sarawak dengan kutipan 46 pingat emas, 40 perak dan 42 gangsa.

Wednesday, September 27, 2017

Kerajaan beri tumpuan kepada produk tani, ternak dan perikanan kekayaan baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengunjur untuk meningkatkan sumbangan segmen agromakanan meliputi industri pertanian, penternakan dan perikanan kepada 5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada ketika ini, segmen agromakanan masih memainkan peranan kecil dengan sekadar menyumbang 3.3 peratus kepada KDNK.

“Sumbangan sektor agromakanan kepada KDNK negara masih kecil, malah kita masih banyak bergantung kepada import manakala eksport (produk agromakanan) juga tidak berapa besar.

“Oleh itu, saya mahu kementerian (Pertanian dan Industri Asas Tani) dengan bantuan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) merangka pelan bagi meningkatkan sumbangan segmen ini ke tahap lima peratus pada tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Terengganu ke-43 di sini semalam.

Ahmad Shabery berkata, tumpuan harus diberikan kepada beberapa produk pertanian, penternakan dan perikanan yang memberi keuntungan besar dan dianggap sumber kekayaan baharu bagi mencapai sasaran terbabit
Menurut beliau, antara produk agromakanan berdaya maju yang akan diberi tumpuan khusus dalam tempoh lapan tahun akan datang termasuk jagung bijian, durian, tenusu, madu kelulut dan ikan tuna.

“Produk jagung bijian untuk haiwan ternakan dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap import yang kini bernilai RM5 bilion setahun.

“Sementara durian dengan harga yang semakin meningkat dapat  memberikan keuntungan yang besar kepada pengusaha, malah pasarannya juga telah diperluaskan ke banyak negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery memaklumkan, seramai 800,000 peladang mendaftar dengan Nafas di seluruh negara pada masa ini.

Pengusaha kedai runcit cedera parah ditetak

BESUT - Seorang pengusaha kedai runcit ditemui dalam keadaan cedera parah akibat ditetak sekumpulan lelaki di dalam kereta Honda Jazz miliknya dipercayai akibat masalah hutang di hadapan Klinik Sri Medang, Tembila dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, mangsa yang berusia 31 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu kereta Honda Jazz itu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, lelaki itu dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun dalam perjalanan pulang dari kedai runcitnya di Alor Lintang dekat sini ke rumah mereka di Taman Desa Gong Badang, Alor Lintang dekat sini.
"Kereta mangsa didakwa dipintas dua kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam sebaik tiba di Jalan Besar Kampung Gong Badang, Alor Lintang dekat sini.
"Mangsa sempat menghubungi seorang anggota polis di Balai Polis Kampung Raja dekat sini untuk mengadu berhubung gangguan itu namun sebaik sepasukan polis bergegas ke lokasi tersebut, kelibat dan kereta milik mangsa telah tiada," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Kes pusat tahfiz terbakar selesai

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kertas siasatan berhubung kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada 14 September lalu yang meragut 23 nyawa dihantar ke Pejabat Peguam Negara semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najimuddin Mohd. berkata, siasatan terhadap kes itu yang melibatkan tujuh suspek berusia 11 hingga 18 tahun telah siap sepenuhnya dan polis sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaan.

“Kita telah hantar kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara dan sedang menunggu arahan selanjutnya termasuk tindakan atau pertuduhan terhadap mereka (suspek-suspek) itu.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan dibaca bersama khianat dengan api (Seksyen 435 Kanun Keseksaan),” kata beliau ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Turut hadir Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid.

Mengikut kertas siasatan berkenaan, kesemua tujuh remaja itu berhadapan de­ngan hukuman mati mandatori sekiranya sabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mereka juga boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda sekiranya disabitkan bersalah mengikut Seksyen 435 akta sama iaitu melalukan perbuatan khianat dengan api.

Begitupun, sebahagian besar daripada kumpulan remaja tersebut berkemungkinan besar terlepas daripada tali gantung jika sabit kesalahan memandangkan Seksyen 97 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 me­netapkan hukuman mati tidak boleh dikenakan ke atas pesalah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Sebaliknya, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama tempoh yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong atau Yang Dipertuan Negeri kepada pesalah juvana terbabit.

Kosmo! Ahad pada 17 September lalu melaporkan tragedi kebakaran menyayat hati pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa termasuk dua guru tahfiz rupa-rupanya satu perbuatan khianat didalangi Geng Budak Jahat Keramat yang mahu membalas dendam.

Perbuatan kejam tersebut terbongkar selepas polis mengesahkan penahanan tujuh orang remaja dengan lima daripada­nya dipercayai suspek utama yang terlibat membakar asrama tahfiz itu.

Kesemua suspek berkenaan sudah tidak bersekolah dan enam daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja.

Geliga Opera johan Pengisahan Negaraku di Terengganu

JUARA. Kumpulan Geliga Opera yang diwakili tiga pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Terengganu muncul johan Pertandingan Pengisahan Negaraku anjuran Jabatan Penerangan negeri baru-baru ini.

Kumpulan diwakili Muhammad Arif Ahmad, Warikya Eh Wang dan Aqillah Aminah Ishak yang membawakan Sketsa Ahli Sufi Pembela Rakyat berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Hadiah tersebut disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam.

Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Nasrudin H. Mahmud berkata, pertandingan melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi di negeri tersebut bertujuan untuk menggalakkan golongan muda menyampaikan pandangan berhubung peristiwa bersejarah di negara ini.

Tuesday, September 26, 2017

31,267 pokok cili dituai secara serentak di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Seramai 17 petani Terengganu menjayakan program penuaian pokok cili terbanyak secara serentak untuk rekod Malaysia Book of Records anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) hari ini.
Ketua Seksyen Hortikultur Jabatan Pertanian Terengganu, Noaini Mamat berkata, rekod yang dilakukan sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan tersebut menyasarkan satu juta pokok cili ditunai secara serentak di seluruh negara.
Beliau berkata, program tersebut turut melibatkan 31,267 pokok cili pelbagai variasi seperti cili kulai, minyak dan solok milik 17 petani bimbingan Jabatan Pertanian Terengganu yang terdapat di semua lapan daerah di seluruh negeri.
"Kesemua cili yang matang tersebut dituai secara serentak pada hari ini (semalam). Hasilnya akan dikumpulkan dan di bawa ke sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan kebangsaan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang untuk pengiktirafan MBOR," katanya.
Beliau ditemui selepas menyaksikan proses penuaian 3,657 pokok cili di kebun cili milik Che Wan Mohd. Saidi Che Wan Sulong di Kampung Raja, Tepoh dekat sini hari ini. - K! ONLINE

Taman Ilmu Terengganu mula dibuka secara rasmi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


BESUT - Taman Ilmu seluas 303.25 hektar yang merupakan pusat bersepadu perkongsian kemudahan pendidikan asas institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri Terengganu mula beroperasi hari ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, buat permulaan, satu blok daripada tujuh kolej kediaman yang berada di dalam premis tersebut akan dihuni pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kampus Tembila yang mempunyai dua fakulti iaitu Infomatik dan Pengkomputeran serta Biosumber dan Industri Makanan.
"Seramai 250 pelajar lelaki baru UniSZA yang baru mendaftar semalam itu akan mula memasuki kolej kediaman berkenaan pada Ahad ini.
"UniSZA juga akan memasuki sebuah blok kolej kediaman Taman Ilmu setelah kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan selesai pada masa terdekat," katanya selepas merasmikan pembukaan Kolej Kediaman Taman Ilmu, Tembila dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, Naib Canselor (UniSZA) dan Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif.

Ajal dalam tandas stesen minyak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Sebuah stesen minyak di Merang di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki berusia 40-an yang me­ninggal dunia di dalam sebuah tandas di premis itu semalam.

Kejadian itu disedari oleh salah seorang pekerja stesen minyak tersebut yang mencurigai kehadiran sebuah motosikal di hadapan tandas berkenaan pada pukul 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkif­li Mat Deris (gambar kecil) berkata, pekerja stesen minyak berkenaan kemudiannya memeriksa tandas terbabit selepas mendapati motosikal berkenaan masih berada di lokasi kejadian biarpun sudah sejam berlalu.

“Dia mengesyaki seseorang telah terperangkap di dalam salah sebuah tandas di stesen minyak itu selepas salah satu pintu berkunci dari dalam dan tiada sesiapa memberi respons daripada sahutannya sebelum bertindak menghubungi pihak berkuasa pada pukul 6.43 pagi.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu yang tiba tidak lama kemudian telah membuka pintu tandas berkenaan dengan menggunakan alat pemotong sebelum menemui tubuh seorang lelaki berusia dalam lingkungan ­40-an terbaring dalam tandas ber­kenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Zulkifli berkata, pemeriksaan pegawai perubatan dari Klinik Desa Merang kemudiannya mengesahkan lelaki tersebut telah meninggal dunia sebelum mayatnya di bawa ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat.

Menurut beliau, setakat ini, identiti si mati masih belum dikenal pasti memandangkan tiada sebarang dokumen penge­nalan diri termasuk MyKad milik lelaki tersebut ditemui di lokasi kejadian.

“Carian awal mendapati motosikal dipercayai digunakan mangsa yang ditinggalkan di hadapan tandas terbabit milik seorang lelaki berasal dari Kampung Penarek dekat sini.

“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini kes masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Orang ramai yang mengenali mangsa atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil untuk membantu siasatan polis,” katanya.

Tiga wanita maut termasuk seorang guru dalam kemalangan babitkan dua buah kereta

MARANG - Tiga termasuk seorang guru wanita maut selepas dua kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 42, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Gong Balai dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada 7.20 pagi itu, Kamariah Deraman , 43, dan kakak tirinya, Rohimah Baru, 53, yang menaiki kereta Proton Saga BLM meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan sebahagian badan.
Zaimah Abdul Rahman, 54, yang menaiki kereta Perodua Viva juga meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, sewaktu kejadian, Zaimah yang merupakan guru dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Awang Jabar, Jambu Bongkok untuk mengajar kelas tambahan.
"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Viva yang dipandu sendirian oleh Zaimah tiba-tiba dirempuh secara berhadapan oleh kereta di pandu Kamariah.
"Terdahulu kereta Proton Proton Saga BLM yang dinaiki Kamariah dan Rohimah hilang kawalan lalu terbabas hingga memasuki laluan bertentangan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, September 25, 2017

Kertas siasatan kes bakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dihantar ke Pejabat Peguam Negara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kertas siasatan kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur yang meragut 23 nyawa pada 14 September lalu telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najimuddin Mohd. berkata, siasatan terhadap kes itu yang melibatkan tujuh suspek berusia 11 hingga 18 tahun telah siap sepenuhnya dan polis sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaan.
"Kita telah hantar kertas siasatan ke pihak (Pejabat) Peguam Negara dan menunggu arahan selanjutnya termasuk tindakan dan pertuduhan terhadap mereka (suspek-suspek) itu.
"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama khianat dengan api (Sekysen 435 Kanun Keseksaan)," katanya ketika ditemui sewaktu mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Wanita hamil maut kemalangan

MARANG – Seorang wanita hamil dua bulan maut manakala dua lelaki termasuk suaminya cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 43, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Gong Balai di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.50 pagi itu, Noorulizaine Mat Noh, 35, yang baru melangsungkan perkahwinan pada Julai lalu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Ketika insiden, Noorulizaine memandu kereta Proton Iriz manakala suaminya, Mohd. Nor Kamarullah Mohd. Subha, 27, duduk di tempat penumpang hadapan.

Pemandu Proton Persona, Lim Mee Cin, 35, yang turut terlibat dalam kemalangan itu pula cedera.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Roslan Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kemasik, Kemaman dari kampung Noorulizaine di Taman Sakti, Manir, Kuala Terengganu.

Katanya, Mee Cin pula dalam perjalanan untuk menyertai Larian Antarabangsa Jamba­tan Sultan Mahmud di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu bersama rakan dan anak rakannya dari Chukai, Kemaman.

“Setiba di lokasi kejadian, kereta Proton Persona dipandu Mee Cin yang me­rupakan seorang guru tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh kereta Proton Iriz datang dari arah bertentangan.

“Rempuhan itu menyebabkan kereta Proton Iriz dinaiki suami isteri itu remuk teruk,” katanya semalam.

Menurutnya, mayat Noorulizaine kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu manakala suaminya dan Mee Cin juga dirawat di hospital sama.

Pasukan ragbi Johor muncul juara Piala Agong

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Pasukan ragbi Johor muncul juara Piala Agong selepas menumpaskan Terengganu 32-29 pada aksi final di Stadium Mini, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini hari ini.
Kejayaan itu membolehkan Johor yang juga naib juara tahun lalu menjulang Piala Agong buat kali kedua selepas pertama kali memenanginya pada tahun 2013.
Sementara itu, Terengganu yang turut diwakili Yang diPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan terpaksa akur sebagai naib juara di hadapan penyokong sendiri.
Juara bertahan, Perak pula berpuas hati sebagai pasukan ketiga terbaik kejohanan selepas menang tipis 16-14 terhadap Kedah pada perlawanan tempat ketiga-keempat sebelum itu. - K! ONLINE

Suami isteri didakwa buat tuntutan palsu RM211,646

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas enam pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM211,646 bagi tender pembekalan telur dan susu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini antara Februari dan Julai lalu.

Mohd. Fikri Izani, 26 yang merupakan pengurus sebuah syarikat pembekalan dan isterinya, Noormazida Mukhtar, 28, yang merupakan Pembantu Tadbir Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Mereka menghadapi dua pertuduhan berhubung dakwaan penipuan tender pembekalan susu manakala empat lagi pertuduhan membabitkan tender telur yang sebenarnya tidak wujud.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga keempat, Mohd. Fikri dan Noormazida didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu berhubung pembekalan telur berjumlah keseluruhan RM113,066 yang sebenarnya tidak wujud kepada Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ antara 12 Februari dan 31 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kelima dan keenam pula, kedua-dua tertuduh didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu pembekalan susu berjumlah RM98,580 yang sebenarnya tidak pernah dibekalkan kepada Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ pada 9 Jun dan 3 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai barangan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Mohammad Haldar membenarkan Mohd. Fikri dan Noormazida dibebaskan dengan wang jaminan RM13,000 dan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta memerintahkan sebutan semula kes pada 23 Oktober depan. Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan yang dikenakan.

Sunday, September 24, 2017

Lanun bolos kawalan terapung 3 minggu di laut

KUALA TERENGGANU – Salah seorang daripada tiga lanun warga Indonesia yang berjaya meloloskan diri daripada kawalan Maritim Malaysia (APMM) selepas merampas sebuah kapal tangki pada awal bulan ini akhirnya diberkas Khamis lalu.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, suspek berusia 46 tahun ditemui beberapa penduduk kampung ketika terdampar di pantai Seberang Takir, Kuala Nerus.

Katanya, ketika ditemui, suspek memperkenalkan diri sebagai Sabri Adnan.

“Bagaimanapun, selepas membuat semakan, kami mendapati suspek sebenarnya salah seorang daripada tiga lanun yang berjaya meloloskan diri dalam operasi menyelamatkan kapal tangki, MT MGT 1 di perairan Terengganu berhampiran Pulau Yu Besar pada 6 September lalu.

“Ia berdasarkan semakan gambar pasport milik suspek tersebut yang berada dalam simpanan APMM," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, siasatan mendapati suspek telah bersembunyi di dalam kapal milik syarikat Marine Global Transport yang berpangkalan di Thailand ketika ia ditawan semula oleh APMM.

Menurut Rahim, suspek kemudian telah terjun ke laut dari kapal yang membawa muatan diesel bernilai RM7 juta itu tanpa disedari penguat kuasa APMM.

“Suspek mendakwa sepanjang tiga minggu itu, dia telah terapung di perairan Terengganu sebelum terdampar. Dia kini direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Khamis lalu, Kosmo! melaporkan seorang ketua lanun dan 10 konconya yang terdiri daripada warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah merompak kapal tangki MT MGT 1 pada awal bulan ini.

EPIC buka loji janakuasa tenaga solar 18.5 MW di Kemaman


KEMAMAN - Syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) melancarkan projek pembangunan loji janakuasa tenaga solar berkapasiti tinggi iaitu 18.5 Megawatt (MW) melibatkan kos RM80 juta.
Ahli Lembaga EPIC, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, loji janakuasa tenaga solar berskala besar pertama di negeri ini tersebut dibina di tapak seluas 28.35 hektar di Teluk Kalong di sini.
Beliau berkata, pembinaan loji yang terbahagi kepada tiga fasa tersebut dijangka mula beroperasi pada Mac depan.
"EPIC menerusi anak syarikat Eastern Pacific GD Solar Sdn. Bhd. telah mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Tenaga untuk membekalkan tenaga solar kepada Tenaga Nasional selama 21 tahun sehingga tahun 2039.
"EPIC mengunjur mampu menjana pendapatan antara RM200 juta hingga RM300 juta sepanjang tempoh perjanjian tersebut," katanya. - K! ONLINE

Siap sedia hadapi bencana banjir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjangkakan musim tengkujuh yang dikhuatiri menyebabkan banjir di Pantai Timur merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang bakal bermula pada pertengahan November depan.

Ketua Pengarah Nadma, Datuk Abd. Rashid Harun berkata, berdasarkan data yang diberikan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), monsun Timur Laut yang membawa taburan hujan tinggi di kawasan berkenaan bakal bermula pada tempoh tersebut.

Beliau berkata, MET Malaysia juga memaklumkan perairan negara termasuk Pantai Timur akan dilanda fenomena air pasang besar untuk dalam tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember depan.

“Kita risau hujan lebat yang berlaku di pedalaman (negeri-negeri Pantai Timur) dalam kuantiti tinggi akan lambat mengalir keluar ke laut akibat fenomena air pasang besar itu sekali gus menyebabkan banjir.

“Sehubungan itu, kita telah membuat persiapan awal dengan memanggil kesemua agensi terlibat di negeri-negeri tersebut bermula dengan Terengganu untuk melakukan simulasi banjir,” katanya selepas merasmikan penutup Latihan Persediaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut di Kem Batalion 9, Pasukan Gerakan Am di sini semalam.

Abd. Rashid berkata, latihan persediaan menghadapi bencana banjir terbabit melibatkan 100 wakil pelbagai agensi di peringkat daerah seperti pegawai daerah, ketua polis daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Pendidikan Daerah.

“Latihan persediaan ini juga akan diadakan di negeri-negeri berpotensi bermula dengan Kelantan pada minggu depan,” katanya.

Saturday, September 23, 2017

Lanun rompak kapal tangki MT MGT 1 berjaya ditahan selepas tiga minggu lolos

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Salah seorang daripada tiga lanun yang berjaya meloloskan diri daripada kawalan Maritim Malaysia (APMM) selepas merampas sebuah kapal tangki kira-kira tiga minggu lalu akhirnya berjaya ditahan pada Khamis lalu.
Lelaki warga Indonesia berusia 46 tahun yang disyaki anggota kumpulan lanun terbabit dijumpai beberapa penduduk kampung terdampar di pantai Seberang Takir, Kuala Nerus sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, sewaktu ditemui suspek yang berada dalam keadaan lemah telah mengenalkan diri kononnya sebagai Sabri Adnan.
"Bagaimanapun, pemeriksaan Jabatan Imigresen dengan kerjasama APMM mendapati suspek sebenarnya salah seorang daripada tiga lanun yang berjaya meloloskan diri dalam operasi menyelamatkan kapal tangki, MT MGT 1 di perairan Terengganu berhampiran Pulau Yu Besar pada 6 September lalu.
"Ia berdasarkan semakan gambar pasport milik suspek tersebut yang berada dalam simpanan APMM," katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Lanun rompak kapal tangki dijel

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU – Seorang ke­tua lanun dan 10 konconya yang terdiri daripada warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah merompak sebuah kapal tangki membawa minyak diesel bernilai RM7 juta pada awal bulan ini.

Tujuh daripada 11 tertuduh terbabit yang berusia dalam lingkungan 31 hingga 46 tahun turut dihukum lima sebatan.

Bagaimanapun, ketua lanun, Heinrick Piterson Parera, 59, dan tiga yang lain terlepas daripada hukuman sebat berikutan faktor usia.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahah Mohd. Suah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Heinrick membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.
Dia didakwa bersubahat untuk merompak secara berkumpulan kapal MT MGT 1 milik syarikat Marine Global Transport berpangkalan di Thailand dengan bersenjatakan pisau dan parang bersama 10 tertuduh lain serta tiga lagi yang masih bebas di perairan Terengganu pada 6 September lalu.

Heinrick didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, Seksyen 395 dan Seksyen 397 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Sementara itu, 10 tertuduh lain iaitu Anne Raja, 40, Kreston Muhaling, 40, La Abu, 43, Badiun, 46, Meidy Hermanus Wajongkere, 47, Rollan Kapahese, 38, Oktemi Supri, 31, Arsito Mohd. Hardi, 52, Bram Ali, 54, dan Lurther Marnis Zachawerus, 51, mengaku salah merompak kapal tangki tersebut di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 akta sama turut didakwa mendatangkan kerugian serta ketakutan terhadap 14 kru kapal MT MGT 1 yang kesemuanya warga Thailand.

Selain hukuman penjara 16 tahun, Rofiah memerintahkan Anne, Kreston, La, Badiun, Meidy, Rollan dan Oktemi  menerima sebatan sebanyak lima kali.

Mengikut fakta kes, Heinrick telah ditahan pasukan penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) di sebuah hotel bajet di Larkin, Johor Bahru pada pukul 8.30 malam, 7 September lalu.
Penangkapan itu dilakukan selepas APMM menerima maklumat daripada salah seorang perompak yang dicekup setelah rompakan kapal tangki berkenaan berjaya dipatahkan agensi tersebut pada awal pagi 7 September lepas.

Siasatan mendapati tertuduh pertama merupakan perancang utama rompakan itu dengan menyediakan kapal dan bot pancung kepada konco-konconya untuk merompak kapal tangki tersebut.

Heinrick juga berperanan memantau, mengkaji dan membuat pemerhatian terhadap pergerakan kapal MT MGT 1 menerusi laman web pencarian kapal di internet selama dua bulan sebelum rompakan berlaku.

Kosmo! 8 September lalu melaporkan APMM berjaya menggagalkan tindakan sekumpulan 10 lanun dipercayai warga Indonesia untuk melarikan kapal dagang, MT MGT 1 yang dikesan berada pada kedudukan kira-kira tiga batu nautika dari Pulau Yu Besar berhampiran Pulau Redang dekat sini pada pukul 2.05 pagi.

Peniaga hantar SMS lucah kepada cikgu sekolah dijel

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara menghantar 10 sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) lucah terhadap seorang cikgu wanita di sebuah sekolah rendah pada tahun lalu, seorang peniaga runcit dijatuhi penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Mohd. Basyir Abu Bakar, 37, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah sewaktu pertama kali kes itu disebut pada 9 Ogos lalu telah menukar pengakuan bersalah pada sebutan semula kes di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Hakim Mohammad Haldar kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 30 bulan atau tiga bulan terhadap setiap pertuduhan tersebut.

Begitupun, beliau memerintahkan hukuman penjara berkenaan dijalankan secara serentak bermula dari tarikh Mohd. Basyir ditahan iaitu 8 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazrul Nizam manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhd. Zul Basysyar Saharrudin.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Basyir didakwa membuat penghantaran komunikasi lucah menggunakan SMS secara sedar ke nombor telefon bimbit lain dengan niat untuk mengganggu individu berkenaan yang merupakan seorang guru wanita.

Tertuduh didakwa menghantar SMS lucah itu kepada mangsa antara pukul 12.40 tengah malam, 1 Mac 2016 dan pukul 6.08 petang, 4 Mac 2016.
SMS tersebut didakwa dibaca penerima di sebuah premis tidak bernombor di hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Puteri, Kampung Tok Has, Jerteh, Besut.

Mohd. Basyir didakwa mengikut Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Friday, September 22, 2017

Taburan hujan luar biasa punca banjir kilat

KUALA NERUS – Kejadian banjir kilat di beberapa bandar utama termasuk di Pulau Pinang dan Kedah pada Jumaat lalu disebabkan oleh taburan hujan yang luar biasa akibat perubahan iklim global.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Hamim Samuri berkata, kebanyakan sistem saliran sedia ada di lokasi banjir kilat tersebut tidak mampu lagi menampung kuantiti air hujan terlalu tinggi secara tiba-tiba dan ia diburukkan lagi oleh pelan pembangunan yang tidak dikawal.

“Perubahan iklim global itu menyebabkan kita tidak dapat lagi menjangka jumlah keamatan hujan di sesuatu kawasan berdasarkan data lampau selain taburan (hujan) yang tidak lagi mengikut musim selain perubahan lokasi tumpuan (hujan).

“Umpamanya ada beberapa kawasan lembangan sungai di negara ini yang dahulu merupakan kawasan tadahan hujan kerana faktor muka bumi kini tidak lagi menerima hujan dalam kuantiti tinggi. Perubahan ini didapati semakin ketara sejak setahun lalu,”  katanya selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Air Larian Hujan, Kawalan Hakisan dan Kelodak Kebangsaan di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Datuk Jaseni Maidinsa memberitahu, banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di George Town berpunca daripada kesan Taufan Doksuri.

Remaja mati, rakan parah terbabas elak babi

SETIU – Gara-gara mengelak seekor babi yang tiba-tiba melintas, seorang remaja maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang ditunggang masing-masing terbabas di Kilometer 12, Jalan Chalok-Telaga Papan dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 11 malam itu, Mohamad Sulaiman Salleh, 19, maut akibat kecederaan pada kepala manakala rakannya, Muhammad Al-Qusyairi Awang Mat, 17, yang menunggang motosikal berasingan pula patah tangan dan kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua lelaki yang masing-masing menunggang motosikal Honda C100 dan Honda C70 dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Kubang Puyu, Chalok dari Telaga Papan dekat sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, seekor babi tiba-tiba melintas menyebabkan ke­dua-dua motosikal ditunggangi mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta Perodua Axia.

“Rempuhan itu menyebabkan Mohamad Sulaiman tercampak sejauh beberapa meter dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Zulkifli memberitahu, Muhammad Al-Qusyairi yang turut tercampak pula ce­dera parah manakala pemandu Perodua Axia yang berusia 23 pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat Mohamad Sulaiman dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk dibedah siasat dan Muhammad Al-Qusyairi turut dirawat di hospital sama.

Thursday, September 21, 2017

Musim tengkujuh dijangka bermula pertengahan November depan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjangkakan musim tengkujuh yang dikhuatiri menyebabkan banjir di Pantai Timur merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang bakal bermula pada pertengahan November depan.
Ketua Pengarah Nadma, Datuk Abd. Rashid Harun berkata, berdasarkan data yang diberikan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Monsun Timur Laut yang membawa taburan hujan tinggi di kawasan berkenaan bakal bermula pada tempoh tersebut.
Beliau berkata, Met Malaysia juga memaklumkan perairan negara termasuk Pantai Timur akan dilanda fenomena air pasang besar di dalam tempoh tiga bulan iaitu dari Oktober hingga Disember depan.
"Kita risau hujan lebat yang berlaku di pendalaman (negeri-negeri Pantai Timur) dalam kuantiti tinggi akan lambat mengalir keluar ke laut akibat fenomena air pasang besar itu sekali gus menyebabkan banjir.
"Sehubungan itu, kita telah membuat persiapan awal dengan memanggil kesemua agensi terlibat di negeri-negeri tersebut bermula dengan Terengganu untuk melakukan simulasi banjir," katanya selepas merasmikan penutup Latihan Persediaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut di Kem Batalion 9, Pasukan Gerakan Am di sini hari ini. - K! ONLINE

Dua termasuk pegawai polis wanita maut, kereta terbabas rempuh pembahagi jalan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Seorang pegawai polis wanita dan rakannya maut selepas kereta Proton Satria yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Tengku Mizan berhampiran jejantas Bukit Tunggal di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada 3.15 pagi itu, Junaidah Zainal, 32, yang berpangkat Inspektor dan Mohd Lokman Ridzwan, 29, cedera parah di bahagian kepala setelah kereta yang mereka hilang kawalan lalu terbabas merempuh pembahagi jalan.

Mohd. Lokman meninggal dunia sewaktu mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada pukul 9.20 pagi.

Junaidah yang bertugas di Pusat Latihan Polis Dungun pula menghembuskan nafas terakhir di wad sama pada pukul 4.20 petang setelah hampir 14 jam bertarung nyawa.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke bandar raya Kuala Terengganu dari arah Batu Enam di sini.

"Kereta Proton Satria yang dipandu Mohd. Lokman dipercayai menghala ke Jambatan Sultan Mahmud untuk memasuki bandar raya Kuala Terengganu.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas merempuh pembahagi jalan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Idris berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat.

Difahamkan, Junaidah yang berasal dari Teluk Intan, Perak pernah terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan tulang paha kirinya patah pada 19 September tahun lalu.

Dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 50, Jalan Kuala Terengganu- Kampung Raja berhampiran Kampung Telaga Putat, Setiu itu, kereta yang dipandu Junaidah terbabas lalu merempuh sebarang pokok selepas mengelak sebuah kereta lain dari arah bertentangan yang memotong di garisan berkembar. - K! ONLINE

Wednesday, September 20, 2017

11 lanun Indonesia rompak kapal tangki Thailand dipenjara 16 tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU - Seorang ketua lanun dan 10 konco-konconya dijatuhi hukuman penjara selama 16 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merompak sebuah kapal tangki membawa minyak diesel bernilai RM7 juta pada awal bulan ini.
Tujuh daripada 11 tertuduh terbabit yang berusia dalam lingkungan 31 hingga 46 tahun turut dikenakan lima sebatan manakala empat lain termasuk ketua lanun, Heinrick Piterson Parera, 59, terlepas daripada hukuman berkenaan berikutan faktor usia.
Heinrick Piterson membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.
Tertuduh didakwa bersubahat untuk merompak secara berkumpulan kapal MT MGT-1 milik syarikat Marine Global Transport yang berpangkalan di Thailand dengan bersenjatakan pisau dan parang bersama 10 tertuduh lain dan tiga yang masih bebas di perairan Terengganu pada 6 September lalu.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel bajet di Larkin, Johor Bahru, Johor pada pukul 8.30 malam, 6 September lalu dan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, Seksyen 395 dan Seksyen 397 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Sementara itu, 10 tertuduh lain iaitu Anne Raja, 40, Kreston Muhaling, 40, La Abu, 43, Badiun, 46, Meidy Hermanus Wajongkere, 47, Rollan Kapahese, 38, Oktemi Supri, 31, Arsito Mohd. Hardi, 52, Bram Ali, 54 dan Lurther Marnis Zachawerus, 51, pula turut membuat pengakuan bersalah merompak kapal tangki tersebut di hadapan Hakim Rofiah Mohamad. - K! ONLINE

Suami isteri didakwa buat tuntutan palsu tender pembekalan telur dan susu hospital

KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM211,646 terhadap tender pembekalan telur dan susu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini antara Februari dan Julai lalu.
Pengurus sebuah syarikat pembekalan, Mohd. Fikri Izani, 26, dan isterinya Noormazida Mukhtar, 28, yang merupakan Pembantu Tadbir Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga keempat, Mohd. Fikri dan Noormazida didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu berhubung pembekalan telur berjumlah keseluruhan RM113,066 yang sebenarnya tidak wujud kepada Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ antara 12 Februari dan 31 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kelima dan keenam pula, kedua-dua tertuduh didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu pembekalan susu berjumlah RM98,580 yang sebenarnya tidak pernah dibekalkan kepada Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ pada 9 Jun dan 3 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai barangan atau RM10,000, mana lebih tinggi. - K! ONLINE

Tauke kedai parah ditetak ‘Taufik’

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT – Seorang tauke kedai runcit terpaksa menahan kesakitan hampir lima jam selepas dia diserang dan ditetak ala mafia oleh sekumpulan lelaki dipercayai bermotifkan hutang dadah di depan Klinik Sri Medang, Tembila dekat sini semalam.

Kejadian pada pukul 2.30 pagi itu terbongkar apabila mangsa yang berusia 31 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu kereta Honda Jazz.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata (gambar kecil), sebelum kejadian, mangsa dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun dalam perjalanan pulang dari kedai runcitnya di Alor Lintang ke rumah mereka di Taman Desa Gong Badang dekat sini.

Katanya, di pertengahan jalan, mangsa sempat menghantar anaknya ke rumah adik iparnya di Kampung Padang Luas di sini yang terletak kira-kira 10 kilo­meter dari kedainya sebelum dia diserang.

“Ketika hendak meneruskan perjalanan, kereta mangsa tiba-tiba dipintas oleh dua buah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam sebaik dia tiba di Jalan Besar Kampung Gong Badang.

“Mangsa sempat menghubungi seorang anggota polis di Balai Polis Kampung Raja dekat sini untuk memaklumkan mengenai kejadian itu namun polis yang tiba tidak lama kemudian gagal menemui kereta mangsa di situ,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, sekitar pukul 7 pagi orang ramai menemui mangsa yang telah pengsan akibat kehilangan banyak darah di dalam kereta akibat ditetak di kepala selain kesan luka di lengan dan kaki di depan klinik tersebut.

Jarak antara klinik dengan lokasi kereta mangsa dipintas kira-kira tujuh kilometer.

Menurut Mohd. Zamri, mangsa kini dirawat di Hospital Besut di sini dan masih belum sedarkan diri.

“Anak mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis tidak menolak kemungkinan serangan itu berpunca kerana dendam atau hutang berkaitan aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

Semakan mendapati mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Siasatan awal mendapati serangan itu diketuai oleh seorang lelaki dikenali sebagai ‘Taufik’ dan polis sedang mengenal pasti suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326/363 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera serta culik.

Tuesday, September 19, 2017

Murid SK Gelugor buat wau Jalur Gemilang sepanjang 3,000m sempena Bulan Kebangsaan

KUALA TERENGGANU - Seramai 645 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gelugor di sini menghasilkan wau sepanjang 3,000 meter (m) dengan menggunakan Jalur Gemilang hari ini sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.
Guru Besar SK Gelugor, Norainy Hussain membeitahu, sebanyak 1,500 Jalur Gemilang telah digunakan untuk menghasilkan wau gergasi tersebut.
"Penghasilan wau gergasi daripada Jalur Gemilang tersebut dilakukan oleh semua murid sekolah ini dari pra sekolah hingga tahun enam sebagai simbolik sambutan Bulan Kemerdekaan ke-60.
"Ia juga bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dan mencintai negara dalam kalangan murid SK Gelugor," katanya pada majlis penutup sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat SK Gelugor di sini hari ini. - K! ONLINE

Kerajaan negeri Terengganu cadang anjur program bulan madu untuk keluarga bermasalah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Selepas kejayaan program perkahwinan perdana untuk golongan muda dan bulan madu kedua bagi pasangan yang ingin bercerai, kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk membantu keluarga yang mempunyai anak bermasalah pula.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YBKT) akan menganjurkan program percutian ala bulan madu bagi membantu keluarga bermasalah tersebut untuk membaiki hubungan masing-masing.
"Sepanjang percutian selama tiga hari dua malam tersebut, seisi keluarga terlibat akan menjalani pelbagai aktiviti bersama yang dikendalikan oleh kaunselor-kaunselor berpengalaman.
"Peserta terlibat akan dikenalpasti daripada keluarga pelajar yang mempunyai masalah disiplin dan akhlak di sekolah dan ia akan dicalonkan oleh Jabatan Pendidikan negeri," katanya selepas menghadiri program Keluarga Generasi Transformasi Terengganu Baharu (TTB) : Perkahwinan Perdana di Taman Tamadun Islam di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, September 18, 2017

Peniaga hantar SMS lucah dipenjara tiga bulan

KUALA TERENGGANU - Gara-gara menghantar 10 khidmat pesanan ringkas (SMS) lucah terhadap seorang guru wanita pada tahun lalu, seorang peniaga dijatuhi penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Mohd. Basyir Abu Bakar, 37, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Basyir didakwa membuat penghantaran komunikasi lucah menggunakan SMS secara sedar ke nombor telefon bimbit lain dengan niat untuk mengganggu individu berkenaan yang merupakan seorang guru wanita antara pukul 12.40 tengah malam, 1 Mac 2016 dan pukul 6.08 petang, 4 Mac 2016.
Tertuduh didakwa menghantar SMS lucah itu kepada mangsa yang dibaca di sebuah premis tidak bernombor di hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Puteri, Kampung Tok Has, Jerteh, Besut.
Mohd. Basyir didakwa mengikut Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Taburan hujan luar biasa akibat perubahan iklim global punca banjir kilat di bandar utama


KUALA NERUS - Kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di beberapa bandar utama sepanjang tahun ini termasuk terbaharu di Pulau Pinang dan Kedah pada Jumaat lalu disebabkan oleh taburan hujan yang luar biasa akibat perubahan iklim global.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Hamim Samuri berkata, kebanyakan sistem saliran sedia ada di lokasi banjir kilat tersebut tidak mampu lagi menampung kuantiti air hujan terlalu tinggi secara tiba-tiba dan ia diburukkan lagi oleh pelan pembangunan yang tidak dikawal.
"Perubahan iklim global itu menyebabkan kita tidak dapat lagi menjangka jumlah keamatan hujan di sesuatu kawasan berdasarkan data lampau selain taburan (hujan) yang tidak lagi mengikut musim selain perubahan lokasi tumpuan (hujan).
"Umpamanya ada beberapa kawasan lembangan sungai di negara ini yang dahulu merupakan kawasan tadahan hujan kerana faktor muka bumi kini tidak lagi menerima hujan dalam kuantiti tinggi. Perubahan ini didapati semakin ketara sejak setahun lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Air Larian Hujan dan Kawalan Hakisan dan Kelodak kebangsaan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Suhaimi Mamat dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, Idrus Ahmad. - K! ONLINE