Translate

Tuesday, August 22, 2017

Skuad endurance cemerlang

PERKENAN Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk kembali mengetuai pasukan negara bagi acara endurance Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, Setiu semalam terbukti membawa tuah apabila Malaysia berjaya membolot dua pingat emas.

Tambah manis, baginda yang menunggang kuda RTES Annaversary meraih pingat emas bagi kategori individu selepas menamatkan perlumbaan dalam tempoh 3 jam 48 minit 38 saat (s).

Kuda RTES Annaversary yang ditunggang Sultan Mizan juga mencatat purata kelajuan 20.994 kilometer sejam yang juga rekod baharu Sukan SEA.

Baginda merupakan sultan pertama di negara ini yang menyertai dan memenangi pingat dalam kejohanan Sukan SEA.
Pingat perak kategori individu juga menjadi milik atlet negara menerusi Mohd. Bulkhari Rozali yang menunggang kuda JQ Tuan Junior dengan kelajuan 3:48.40s.

Biarpun seorang atlet negara, Mohammad Fuad Hashim menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan kelajuan 3:48.42s, namun pingat gangsa terpaksa diserahkan kepada atlet Thailand, Khuntaraporn Warit.

Ia berikutan peraturan yang menetapkan hanya dua atlet endurance sesebuah negara layak naik ke podium bagi kategori individu.
Khuntaraporn yang menunggang kuda Shardell Prince Ali berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh 4:16.5s.

Bagi kategori berpasukan pula, skuad negara turut gah merangkul emas dengan masa terkumpul keseluruhan 11:31.30s.

Pingat emas berpasukan diraih atlet negara menerusi Mohammad Fuad, Mohd. Adhwa Embong, Azizatul Asma Abdullah dan Mohd. Yusran Yusuf manakala Sultan Mizan dan Mohd. Bulkhari yang telah memenangi pingat dalam kategori individu dikecualikan berdasarkan peraturan pertandingan.

Catatan yang dilakukan pasukan endurance negara itu lebih pantas 4:37.52s daripada pasukan Thailand yang meraih pingat perak.

Pingat gangsa pula milik pasukan Kemboja yang berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh 16:38.38s.

No comments:

Post a Comment