Translate

Thursday, August 24, 2017

Pencerobohan kian menjadi-jadi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) mendedahkan kegiatan segelintir rakyat tempatan berperanan sebagai petua­lang menjadi salah satu punca pencerobohan nelayan Vietnam di perairan negara semakin menjadi-jadi.

Terbaharu, penguat kuasa APMM berjaya menahan dua lagi bot nelayan dari negara itu kira-kira 100 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu di sini pada Isnin lalu.

Pengarah Maritim Daerah Kuala Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, pihaknya telah menyita kedua-dua bot berkenaan, peralatan dan hasil laut seberat tiga tan serta 11,000 liter minyak diesel yang keseluruhannya berjumlah RM2.4 juta.

“Penahanan kedua-dua bot nelayan itu merupakan kes ke-19 melibatkan nelayan warga Vietnam di perairan negeri ini sejak awal Januari lalu dengan keseluruhan rampasan mencecah RM60 juta.

“Risikan APMM mendapati, lambakan nelayan Vietnam menceroboh perairan negara disebabkan kekurangan sumber di perairan negara mereka selain peranan petualang disyaki terdiri daripada rakyat tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Daerah Kuala Terengganu di sini semalam.
Rahim berkata, dalam kes terbaharu itu, kapal APMM yang sedang melakukan rondaan telah mengesan dua bot nelayan dinaiki 21 awak-awak dipercayai warga Vietnam sedang melakukan penangkapan ikan menggunakan pukat ganding di kedudukan 100 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

“Sebaik menyedari kehadiran kapal APMM, mereka bertindak memutuskan pukat ganding dan memecut bot nelayan masing-masing namun berjaya dipintas bot peronda kami kira-kira setengah jam kemudian.

“Modus operandi yang digunakan ialah mengecat bot mereka seperti milik nelayan tempatan selain mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Terengganu namun taktik itu gagal mengaburi mata APMM,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua bot nelayan itu tidak mempunyai permit daripada Jabatan Perikanan untuk menangkap ikan di perairan negara.
Katanya, kesemua 21 awak-awak warga Vietnam itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain lima daripada mereka disyaki remaja berusia 15 hingga 16 tahun.

“Lima remaja itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi diusir keluar dari negara ini.

“Baki 16 suspek direman selama 14 hari untuk membantu siasatan mengikut Akta Per­ikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

No comments:

Post a Comment