Translate

Sunday, August 27, 2017

EPIC lancar loji kuasa RM80 juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) melancarkan projek pembangunan loji janakuasa tenaga solar berkapasiti tinggi melibatkan kos RM80 juta.

Ahli Lembaga EPIC, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, loji janakuasa tenaga solar berskala besar pertama di negeri ini yang memiliki kapasiti 18.5 Megawatt (MW) itu dibina di tapak seluas 28.35 hektar di Teluk Kalong di sini.

Beliau berkata, pembinaan loji yang terbahagi kepada tiga fasa tersebut dijangka mula beroperasi pada Mac depan.

"EPIC menerusi anak syarikat Eastern Pacific GD Solar Sdn. Bhd. telah mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Tenaga untuk membekalkan tenaga solar kepada Tenaga Nasional selama 21 tahun sehingga tahun 2039.

"EPIC mengunjur mampu menjana pendapatan antara RM200 juta hingga RM300 juta sepanjang tempoh perjanjian tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pelancaran loji janakuasa tenaga solar itu yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Pasific (EPIC) Berhad, Noor Fadzil Mohamed Nor dan Pengarah Operasi Wilayah Stork Technical Services Holding B.V, Deon Otto.

Pada majlis sama, Ahmad Razif  turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Epic Mushtari Engineering Sdn Bhd dan firma Belanda, Stork Technical Services berhubung perkongsian teknologi dan kepakaran berhubung kejuruteraan loji, paip dan membaikpulih kapal.

Mohammad berkata, projek pembinaan loji janakuasa tenaga solar itu merupakan inisiatif EPIC untuk meneroka industri teknologi sumber tenaga hijau sekali gus mengurangkan pengantungan sepenuhnya pada bahan api gas dan minyak sebagai sumber tenaga.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, projek berskala besar itu  disasar untuk memberi impak positif kepada ekonomi negeri sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

No comments:

Post a Comment