Translate

Monday, August 21, 2017

Dua beradik terlibat kes bunuh ditahan selepas dua bulan diburu

BESUT – Pemburuan polis selama dua bulan ke atas suspek kes bunuh seorang pembantu kedai makan di Kampung Pengkalan Nyireh di sini pada Jun lalu akhirnya membuahkan hasil selepas berjaya menahan dua beradik baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kedua-dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan di Ipoh dan Taiping, Perak pada Jumaat lalu.

“Suspek pertama berusia 24 tahun ditahan di sebuah perumahan di Ipoh manakala adiknya di Taiping. Siasatan awal mendapati mereka bersembunyi di sebuah premis di taman perumahan dua bandar berkenaan selepas melarikan diri pada hari kejadian.

“Penahanan kedua-dua suspek itu berjaya menyelesaikan kes pembunuhan Nik Mohd. Shahrulanuar Nek Der, 21, yang ditemui mati akibat ditetak sekumpulan lelaki di tapak pasar tani Kampung Pengkalan Nyireh di sini pada 21 Jun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, pasangan adik-beradik itu ditahan reman selama seminggu sehingga 19 Ogos ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menurut beliau, sebelum ini, tiga lelaki berusia dalam lingkungan 23 hingga 30 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Setiu atas pertuduhan membunuh Nik Mohd. Shahrulanuar pada 25 Julai lalu.

“Siasatan awal juga tidak menolak kemungkinan kes pembunuhan Nik Mohd. Shahrulanuar ini mempunyai kaitan dengan kes kematian seorang tauke ikan, Daud@Wan Ahmad Wan Awang, 68, yang ditembak mati dua lelaki tidak dikenali pada 27 Julai lalu,” katanya.

Kosmo! pada 23 Jun lalu melaporkan Nik Mohd. Shahrulanuar maut ditetak oleh sekumpulan lelaki yang bersenjatakan pedang berpunca daripada salah faham antara mangsa dengan suspek.

No comments:

Post a Comment