Translate

Sunday, August 20, 2017

Ajal dirempuh lori tanah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Malang menimpa seorang ibu tunggal apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar oleh sebuah lori yang mengundur secara tiba-tiba di Kampung Paya Cik Lijah di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi tersebut, Marini Ismail, 53, maut akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan.

Difahamkan pemandu lori berusia 24 tahun itu mengundurkan lori yang membawa muatan tanah secara tiba-tiba apabila ternampak sekatan jalan raya oleh pasukan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Che Lijah di sini.

Pemandu lori terbabit dipercayai melakukan demikian kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak memiliki lesen Kenderaan Barang-Barang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Mohd. Zailani Yaakob berkata, sewaktu kejadian, Marini dalam perjalanan ke bengkel membaiki kenderaan milik anaknya di Kampung Che Lijah dari rumahnya di Taman Rak­yat Jaya di sini.

“Siasatan awal mendapati lori dari Kampung Paya tiba-tiba mengundur sebaik tiba di persimpangan masuk ke Jalan Che Lijah.

“Lori itu kemudiannya merempuh motosikal ditunggang mangsa yang berada di belakangnya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zailani berkata, rempuhan itu menyebabkan Marini yang merupakan ibu tunggal kepada empat anak tercampak sejauh beberapa meter dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut beliau, pemandu lori itu dibebaskan selepas keterangannya diambil. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment