Translate

Saturday, August 19, 2017

8,300 anak karang berjaya ditanam serentak

KUALA NERUS – Sebanyak 8,300 anak atau fragmen karang berjaya ditanam secara besar-besaran dalam program Restorasi Karang di enam Pusat Taman Laut (PTL) di seluruh negara semalam.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program konservasi Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) itu bertujuan menjana semula kawasan yang telah mengalami kerosakan kepada kea­daan yang hampir semula jadinya.

Menurutnya, program Restorasi Karang yang dijalankan semalam melibatkan PTL Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu, Pulau Tinggi (Johor), Pulau Tioman (Pahang) Pulau Payar (Kedah) serta Taman Laut Wilayah Persekutuan Labuan.

“Program ini menumpukan usa­ha konservasi di kawasan yang terumbu karangnya terjejas akibat pelbagai faktor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Laut Sedunia peringkat kebangsaan di PTL Pulau Redang dekat sini semalam.

Wan Junaidi memberitahu, penjagaan terumbu karang di perairan negara secara berterusan amat penting demi kelestarian sumber laut kerana ia merupakan habitat kepada kepelbagaian hidupan marin.

Katanya, setakat ini, sebanyak 32,498 anak karang telah ditanam menerusi program Restorasi Karang di kawasan seluas kira-kira 2.7 hektar di 42 taman laut di seluruh negara sejak 2011.

“Malaysia telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 12 negara di dunia yang telah disenaraikan sebagai negara mega biodiversiti.

“Kawasan perairan negara kita juga kaya dengan sumber marin seperti 1,394 spesies ikan karang dan 405 spesies karang yang me­rupakan khazanah berharga yang perlu dipulihara, dijaga dan diurus dengan baik,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment