Translate

Friday, August 18, 2017

UMT anjur pameran ikan lut sinar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini dengan kerjasama Muzium Biologi Laut dan Akuarium Nasional (NMMBA) Taiwan menganjurkan Pameran Ikan Lut Sinar yang julung kali diadakan di negara ini.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokthar berkata, pameran hampir 1,000 ikan lut sinar yang dibawa khas dari Taiwan tersebut terbuka kepada umum selama empat bulan mulai esok sehingga November depan dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang setiap hari kecuali cuti umum.
Beliau berkata, pengunjung akan menerima kad lut sinar bersaiz 8.5 sentimeter untuk kenangan.
"Pameran ikan lut sinar ini bertujuan untuk lebih mendekatkan masyarakat dengan bidang biologi menerusi pendekatan pendidikan dan penghayatan seni memandangkan cirinya yang menarik dan cantik.
"Penghasilan ikan lut sinar menerusi proses pengawetan penting untuk pengecaman spesies dan taksonomi ikan, mengenali sejarah evolusi kumpulan ikan dan mengkaji hubungan di antara setiap pengkelasan jenis ikan," katanya kepada pemberita di INOS, UMT di sini hari ini.
Majlis perasmian pameran yang disempurnakan Penasihat Sains Perdana Menteri, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Taiwan, Dr. Tsai Ching-Hwa dan Pengurus Besar NMMBA, Dr. Chen Chii-Shiarng. - K! ONLINE

Thursday, August 17, 2017

Ibu maut dirempuh lori tanah yang mengundur tiba-tiba

DUNGUN - Seorang ibu tunggal maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar oleh sebuah lori yang mengundur secara tiba-tiba di Kampung Paya Cik Lijah di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi tersebut, Marini Ismail, 53, maut akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Mohd. Zailani Yaakob berkata, sewaktu kejadian, Marini dalam perjalanan ke bengkel membaiki kenderaan milik anaknya di Kampung Che Lijah di sini dari rumahnya di Taman Rakyat Jaya di sini.
"Siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dari Kampung Paya tiba-tiba mengundur sebaik tiba di persimpangan masuk ke Jalan Che Lijah.
"Lori itu kemudiannya merempuh motosikal ditunggangi mangsa yang kebetulan berada di belakangnya," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Tauke balak didakwa rasuah pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu

KUALA TERENGGANU - Seorang tauke balak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merasuah seorang pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu pada dua bulan lalu.
Chow Kwee Chai, 47, dari Taman Bersekutu, Kemaman membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Berdasarkan pertuduhan, Kwee Chai didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM2,000 kepada seorang penolong pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu di Binjai, Kemaman.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 manakala yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Pelajar UTHM maut motosikal rempuh pembahagi jalan

KEMAMAN – Seorang pelajar Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) maut selepas motosikal jenis Yamaha FZ 150 yang ditunggangnya terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Kilometer 297.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kijal di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 7.10 petang itu, Syahiram Hanis Mohamad (gambar), 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala dan dada.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, Syahiram Hanis yang sedang menjalani latihan industri dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Felda Seberang Tayor di sini dari sebuah syarikat penapisan minyak di Paka, Dungun.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha FZ 150 yang ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan sehingga merempuh pembahagi jalan di tengah lebuh raya tersebut.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak sejauh beberapa meter dan mengalami kecederaan parah yang menyebabkan kematiannya,” kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Said membe­ritahu, difahamkan Syahiram Hanis baru menjalani latihan industri di sebuah syarikat sejak kira-kira dua minggu lalu dan berulang-alik dari rumahnya di Felda Seberang Tayor dengan menunggang motosikal itu.

Katanya, mayat pelajar UTHM itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat.

Wednesday, August 16, 2017

Maut tunggang ‘super bike’ rakan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga maut selepas motosikal ‘super bike’ jenis BMW HP4 yang ditungganginya terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Jalan Bukit Jong-Paloh berhampiran Kampung Banggol Donas, Manir dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, Putera Edy Nurazeraf Abd. Aziz (gambar kecil), 33, yang berasal dari Kampung Losong Haji Mohd. meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan mengerikan dengan kepala dan tangannya terputus.

Difahamkan, motosikal yang berharga kira-kira RM140,000 itu baru dibeli rakan mangsa sebelum Aidilfitri lalu.

Kelajuan maksimum motosikal ini ialah 300 kilometer sejam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, sewaktu kejadian, Putera Edy Nurazeraf difahamkan sedang menguji motosikal milik rakannya itu.
“Mangsa difahamkan menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis BMW HP4 tersebut dari Kampung Kubang Jela hingga ke Kampung Jeram, Manir sejauh kira-kira empat kilometer.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian yang terletak berhadapan Kompleks Usahawan Terengganu, motosikal tersebut tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Idris, rempuhan kuat menyebabkan Putera Edy Nurazeraf mengalami kece­deraan parah termasuk kepala dan tangannya terputus dipercayai akibat terkena besi pembahagi jalan berkenaan.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk bedah siasat.

Tuesday, August 15, 2017

Dua kapal kargo Vietnam tangkap ikan secara haram ditahan APMM

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua kapal kargo Vietnam yang disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara baru-baru ini.
Sebuah kapal maritim APMM yang sedang melakukan rondaan telah terserempak dengan kedua-dua kapal kargo tersebut dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 25 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada pukul 1.50 petang, Jumaat lalu.
Pengarah Maritim Terengganu, Zainolabidin Jusoh berkata, sewaktu didekati kapal maritim APMM, kedua-dua kapal kargo terbabit didapati dalam keadaan merapat bagi melakukan aktiviti penangkapan ikan secara patrol yang telah diharamkan mengikut undang-undang negara ini.
"Salah sebuah kapal kargo terbabit melepaskan pukat sebelum memecut laju untuk melepaskan diri daripada ditahan pasukan penguat kuasa APMM tetapi berjaya dipintas pada kedudukan 37 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu kira-kira sejam kemudian.
"Pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal kargo Vietnam tersebut tidak mempunyai permit sah dan lesen perkapalan dalam negeri untuk berada di perairan negara," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, August 14, 2017

Pengutip barang terpakai maut dipanah petir di kawasan pembuangan sampah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seorang pengutip barangan terpakai ditemui mati akibat di panah petir di sebuah kawasan pembuangan sampah di Batu 22, Jalan Kuala Berang-Ajil dekat sini semalam.
Mayat Sabri Mat Junoh, 51, dari Kampung Merbau Pulas, Ajil dekat sini ditemui di kawasan pembuangan sampah itu pada pukul 7.25 petang.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mayat Sabri dijumpai dalam keadaan terlentang berhampiran sebuah pondok di kawasan pembuangan sampah tersebut oleh ahli keluarganya.
"Ahli keluarganya mencari mangsa selepas hujan lebat yang melanda daerah ini reda petang semalam (kelmarin) kerana terlalu risaukan dia yang tidak pulang ke rumah seperti biasa pada pukul 5 petang.
"Pemeriksaan pada mayat Sabri menjumpai kesan melecur seperti terbakar pada leher, tangan dan perutnya," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Sistem transaksi tol elektronik sepenuhnya di LPT2

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dikendalikan syarikat konsesi, PLUS Expressways Berhad menerusi anak syarikatnya LPT2 Sdn. Bhd. bakal melaksanakan sistem transaksi pembayaran tol secara elektronik sepenuhnya mulai 14 Ogos depan.

Pengurus Besar LPT2 Sdn. Bhd., Husni Md. Yusuf berkata, pelaksanaan itu menjadikan LPT2 sebagai lebuh raya ke-31 dan terakhir yang menggunakan sistem pembayaran tol tanpa tunai tersebut di negara ini.

Beliau berkata, sistem transaksi secara elektronik menggunakan kad Plusmiles, Touch n Go atau SmartTag berkenaan bakal melibatkan 10 plaza tol yang terdapat di LPT2 iaitu Cheneh, Chukai, Kijal, Kerteh, Paka, Dungun, Bukit Besi, Ajil, Telemung dan Kuala Terengganu.

“Buat masa ini, LPT2 dilalui oleh 14,000 pengguna yang majoritinya terdiri daripada Kelas Satu (kenderaan persendirian) setiap hari dan seramai 63.8 peratus pengguna lebuh raya ini sudah membayar tol dengan menggunakan sistem transaksi elektronik.

“Sehubungan itu, kita menjangkakan kebanyakan pengguna sudah bersedia dan pelaksanaan sistem transaksi tol secara elektronik sepenuhnya pada pertengahan bulan depan akan berjalan dengan lancar,” katanya pada taklimat media berhubung pelaksanaan sistem transaksi elektronik tersebut di sini semalam.

Husni berkata, sistem transaksi tol secara elektronik sepenuhnya itu disasar dapat mengurangkan sekurang-kurangnya 90 peratus ke­sesakan di LPT2 yang biasanya berlaku pada musim perayaan dan cuti persekolahan.

Sunday, August 13, 2017

Reka bentuk bangunan pejabat masa depan perlu lebih mesra penyusuan bayi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Reka bentuk bangunan pejabat kerajaan pada masa depan dicadang agar lebih mesra penyusuan bayi bagi menggalakkan lagi pemberian susu ibu secara eksklusif sekurang-kurangnya sehingga usia enam bulan bayi dalam kalangan ibu bekerja.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, biarpun kesedaran tentang kepentingan penyusuan secara sepenuhnya susu ibu telah meningkat kepada 47.1 peratus berbanding 14.5 peratus dalam tempoh 10 tahun namun masih terdapat kekangan besar terutama dalam kalangan ibu bekerja.
Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan pernah menggalakkan majikan terutama pejabat kerajaan agar menyediakan pusat jagaan bayi yang membolehkan ibu bekerja menyusukan bayi mereka seketika pada waktu bekerja namun kurang berjaya kerana kekangan ruang.
"Walaupun inisiatif itu diberi insentif oleh kerajaan namun tidak banyak pejabat kerajaan dapat menyediakannya kerana reka bentuk bangunan tidak mengizinkannya.
"Oleh itu, saya mencadangkan reka bentuk bangunan pejabat kerajaan masa depan digalakkan lebih mesra bayi. Ia sama seperti mesra golongan OKU (orang kelainan upaya) yang menjadi dasar pembinaan bangunan kerajaan pada masa ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri majlis sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat negeri yang dirasmikan isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Halina Zakaria. - K! ONLINE

Tekong Vietnam cuba rasuah pegawai APMM dipenjara sehari dan denda RM10,000

KUALA TERENGGANU - Gara-gara cuba merasuah pegawai Maritim Malaysia (APMM) dua minggu lalu, seorang tekong warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz memerintahkan demikian selepas Nguyen Van Huan, 46, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Van Huan didakwa cuba memberi suapan bernilai RM1,000 kepada pegawai APMM, Robert Teh Geok Chuan pada pukul 12.10 tengah malam, 9 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut sebagai dorongan untuk melepaskan sebuah bot nelayan yang membawa 12 awak-awak warga Vietnam tiada dokumen pengenalan dan permit kerja sah.

Van Huan didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda 10 kali ganda nilai suapan atau maksimum RM10,000 mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. - K Online!

Saturday, August 12, 2017

Selepas adik, kakak disengat tebuan meninggal dunia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua hari selepas adiknya meninggal dunia, Irdina Bayrisyia Abdul Wahab Al Hadi, 8, yang sebelum ini kritikal akibat disengat tebuan menghembuskan nafas terakhir semalam.
Kanak-kanak perempuan itu meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 2.30 pagi.

Ibu saudaranya, Zuraida Abdul Ghafar, 37, berkata, Irdina Bayrisyia menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Zuriati Abdul Ghafar, 35.

“Saya difahamkan doktor HSNZ yang merawat anak saudara saya telah sedaya upaya untuk memulihkan Irdina namun ketentuan Allah mengatasi segalanya.

“Selepas adik meninggal dunia, giliran kakak pula. Sedih memang sedih tetapi kami reda dengan takdir Allah ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Zuraida memberitahu, jena­zah Irdina Bayrisyia selamat dikebumikan pada pukul 12.30 tengah hari semalam bersebelahan dengan kubur adiknya, Iffriah Darwisah, 3, yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Tiong, Dungun kelmarin.
Kosmo! semalam melaporkan kegirangan tiga beradik bermain di kawasan rumah berakhir de­ngan tragedi apabila adik bongsu mereka berusia tiga tahun maut manakala kakaknya kritikal akibat disengat tebuan di Kampung Batu Tiong, Kuala Dungun, Du­ngun pada Rabu lalu.

Kejadian pada pukul 6.30 petang itu meragut nyawa Iffriah Darwisah dan Irdina Bayrisyia kerana disengat tebuan yang tiba-tiba keluar dari semak berhampiran manakala anak lelaki Zuriati terselamat sebab sempat melarikan diri.

11 lagi pelajar vokasional direman kes buli junior

SETIU – Seramai 11 lagi pelajar Tahun Dua Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus ditahan sebelum direman tiga hari kerana disyaki membelasah seorang pelajar junior Selasa lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, kesemua remaja berusia 17 tahun tersebut ditahan kelmarin di asrama sekolah tersebut dan rumah mereka di sekitar negeri.

“Kita telah memohon perintah tahanan reman terhadap 11 pelajar yang disyaki terlibat dalam kes membelasah seorang pelajar berusia 17 tahun pada Isnin lalu.

“Siasatan awal mendapati dua daripada 11 pelajar tersebut turut terlibat dalam kes membelasah dua pelajar berusia 16 tahun sebelum ini. Dua pelajar itu sudah direman empat hari semalam,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Aidi berkata, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Menurut beliau, siasatan awal juga mendapati kejadian buli tersebut berpunca daripada rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar senior terhadap pelajar junior terbabit.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Pendaftar Mahkamah Majistret, Roszita Md. Saat membenarkan 11 pelajar kolej terbabit yang berusia 17 tahun ditahan reman selama tiga hari sehingga esok.

Kosmo! semalam melaporkan seramai 20 pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus bertindak seperti gengster apabila didakwa membelasah tiga rakan seasrama dalam dua insiden berasingan pada malam Isnin dan awal pagi Selasa.

Friday, August 11, 2017

Budak maut disengat tebuan

DUNGUN – Kegirangan tiga beradik bermain di kawasan rumahnya berakhir dengan tragedi apabila adik bongsu mereka berusia tiga tahun maut manakala kakaknya kritikal akibat disengat tebuan di Kampung Batu Tiong, Kuala Dungun di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 6.30 petang itu meragut nyawa Iffriah Darwisha Abdul Wahab Al Hadi Sudin manakala kakaknya, Irdina Bayrisyia, 8, pula kritikal.

Seorang lagi abang Iffriah Darwisha, Izzat Al Haziq, 6, terselamat kerana sempat melarikan diri.

Ibu saudara mangsa, Zuraida Abdul Ghafar, 37, berkata, sewaktu tiga beradik itu sedang bermain tidak berapa jauh dari rumah mereka tiba-tiba beberapa ekor tebuan datang dari semak berhampiran.
“Iffriah Darwisha dan kakaknya, Irdina Bayrisyia tidak dapat mengelak daripada sengatan tebuan. Izzat Al Haziq pula bernasib baik kerana sempat melarikan diri.

“Sejurus masuk ke dalam rumah, dia segera memaklumkan kejadian itu kepada ibunya, Zuariati Abdul Ghafar, 35, sebelum mereka sekeluarga bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kampung Batu Tiong di sini semalam.

Zuraida berkata, dua beradik berkenaan yang mengerang kesakitan segera dihantar ke Hospital Dungun di sini oleh ayah mereka, Sudin Ibrahim, 49.

Menurutnya, Iffriah Darwisha kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan hospital itu pada pukul 10.30 malam kelmarin.
“Irdina Bayrisyia pula dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada pukul 1 pagi (semalam). Dia yang dirawat di unit rawatan rapi hospital itu dilaporkan kritikal,” katanya.

RM1.5 juta hasil laut dirampas

KEMAMAN – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot nelayan warga Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram kira-kira 105 batu nautika dari Kuala Kemaman dekat sini kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 9.30 pagi itu, dua tan ikan dan satu tan sotong kering berjaya dirampas bersama 10,000 liter minyak diesel di dalam kedua-kedua bot nelayan berkenaan yang nilainya dianggarkan RM1.5 juta.

Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Muhamad Rezal Kamal Bashah berkata, sebuah kapal peronda APMM telah terserempak dengan dua bot nelayan Vietnam terbabit sewaktu mengadakan rondaan sempena Ops Pagar Laut di perairan itu.

“Sebaik menyedari kehadiran kapal peronda APMM, suspek-suspek cuba melarikan diri dengan memecut laju bot mereka selain memotong tali pukat yang sedang dilabuhkan.

“Begitupun, kapal peronda APMM bertindak cekap memintas kedua-dua bot itu tidak lama kemudian,” katanya.

Muhamad Rezal berkata, seramai 24 nelayan termasuk dua tekong yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 52 tahun berjaya ditahan dalam serbuan berkenaan.

Menurut beliau, sebanyak tiga ekor anjing yang berada di dalam bot nelayan berkenaan turut dirampas dan kesemuanya ditunda ke Pangkalan Maritim Kuala Kemaman dekat sini.

“Pemeriksaan mendapati kesemua nelayan Vietnam terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit untuk menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan.

“Mereka ditahan reman selama 14 hari untuk membantu siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Thursday, August 10, 2017

20 pelajar kolej vokasional buli junior yang dituduh sombong

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 20 pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembusu di Kuala Nerus bertindak seperti gengster apabila didakwa membelasah tiga rakan seasrama dalam dua insiden berasingan pada malam Isnin dan awal pagi kelmarin.

Dua daripada tiga mangsa buli berkenaan cedera teruk sehingga terpaksa menerima rawatan di Wad Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini akibat kecederaan dan lebam pada kepala, badan dan kaki.

Dalam insiden pertama pada pukul 10.30 malam Isnin lalu, Muhammad Luqman Hakim Mohd. Shukri, 17, dibelasah sekumpulan 15 pelajar di surau dan bilik asrama sehingga luka dan lebam teruk pada belakang badan.

Dia yang merupakan pelajar tahun dua jurusan Teknologi Elektronik mendakwa, kejadian mungkin berpunca daripada pertengkaran dan ejek-mengejek dengan salah seorang pelajar beberapa bulan lalu.

“Pelajar itu dengan rakan-rakan tiba-tiba memukul dan menendang saya di surau sebelum menyambungnya di bilik asrama,” ceritanya kepada pemberita.

Terdahulu dia dan dua mangsa buli lain diziarahi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Terengganu, A. Latiff Awang dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Sementara itu, Ahmad Zikrill A’zim Hasbullah dan Wan Ahmad Faris Wan Zakaria yang kedua-duanya berusia 16 tahun serta merupakan pelajar tahun pertama jurusan Teknologi Elektronik mendakwa menjadi mangsa buli senior dalam peristiwa kedua pada pukul 1.30 pagi kelmarin.

Ahmad Zikrill mendakwa, dia yang sedang tidur tiba-tiba diselubung dengan selimut sebelum dibelasah dan ditendang bertubi-tubi oleh sekumpulan senior.

“Tidak cukup dengan itu, saya diminta bergusti dengan rakan sebilik, Wan Ahmad Faris,” katanya lagi.

Ahmad Zikrill yang merupakan seorang atlet boling mendakwa kumpulan pelajar senior membulinya kerana dituduh sombong.

Sementara itu, A. Latiff berkata, beliau kesal dan memandang serius kejadian buli yang merupakan insiden ketiga melibatkan kolej vokasional yang sama.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar mengesahkan 15 pelajar kolej vokasional terbabit yang disyaki sebahagian daripada suspek kes buli telah ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

Beliau berkata, perintah reman itu dikenakan Pendaftar Mahkamah Majistret, Roszita Md. Saat dan kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Difahamkan, sebahagian daripada 15 suspek yang direman terlibat dalam kedua-dua kes buli terbabit dan baki pelajar yang membelasah ketiga-tiga mangsa dijangka dapat dikesan dalam masa terdekat.

Peladang Muda pikat belia ceburi pertanian

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) menubuhkan Peladang Muda sebagai inisiatif untuk menggalakkan lebih ramai golongan belia untuk menceburi sektor pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Peladang Muda tersebut juga akan menjadi platform kepada 124,000 peladang dan petani berusia 40 tahun ke bawah di seluruh negara untuk menyuarakan pandangan dan idea baharu bagi kemajuan industri pertanian.

“Kita mahu memberikan pilihan kepada anak muda untuk menjadikan pertanian sebagai salah satu bidang yang boleh diceburi sesuai dengan kehendak dan cita rasa mereka yang mengikut peredaran zaman.

“Peladang Muda ini juga bakal jadi penggerak kepada agenda permodenan aktiviti pertanian yang berasaskan Internet of Things (Internet Saling Berhubung) menggunakan gajet moden,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan watikah Pengerusi Penaja Peladang Muda Kebangsaan kepada Datuk Ahmad Mukhriz Ahmad Fuad pada majlis pelancaran sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan ke-42 di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Tan Sri Zai­nal Dahalan.

Warga asing guna E-Kad palsu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu mengesan penggunaan dua keping Enforcement Card (E-Kad) disyaki palsu sewaktu melakukan pemeriksaan terhadap 28 warga asing di tapak pembinaan di sekitar bandar raya ini kelmarin.

E-Kad yang dikemukakan dua buruh binaan warga Indonesia terbabit disyaki palsu selepas pemeriksaan mendapati maklumat tentang dua lelaki tersebut tidak terdapat dalam pangkalan data JIM.

Pengarah Imigresen negeri, Wan Suhaini Wan Mohamad berkata, selain itu, E-Kad milik dua lelaki terbabit juga berkualiti rendah dengan imej dan tulisannya agak kabur.

“JIM Terengganu mengesyaki E-Kad milik dua warga asing adalah palsu. Ini merupakan kes pertama direkodkan di Terengganu berhubung pemalsuan kad berkenaan yang mula dikuatkuasakan pada 1 Julai lalu.

“Siasatan lanjut berhubung penemuan E-Kad ini sedang dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Wan Suhaini memberitahu, Operasi Mega yang dijalankan di empat tapak pembinaan di sekitar bandar raya ini dari pukul 9 pagi hingga 3 petang kelmarin telah memeriksa 28 buruh binaan warga Indonesia yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an.

Menurutnya, lapan lelaki daripada kumpulan warga asing yang diperiksa itu telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Seramai empat suspek ditahan kerana menetap di negara ini melebih tempoh masa ditetapkan manakala tiga orang termasuk dua yang mengemukakan E-Kad disyaki palsu turut diberkas.

“Seorang lagi ditahan kerana disyaki menyalahgunakan dokumen perjalanan. Kesemua suspek tersebut kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Suhaini berkata, sejak penguatkuasaan E-Kad pada 1 Julai lalu, JIM Terengganu telah melakukan sebanyak 28 operasi secara berkala di seluruh negeri ini dan berjaya menahan 123 individu yang disyaki pendatang asing tanpa izin.

Wednesday, August 9, 2017

Lelaki didakwa hantar SMS lucah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menghantar mesej berbaur lucah kepada seorang wanita pada tahun lalu.
Mohd. Basyir Abu Bakar, 27, yang melakukan kerja-kerja kampung membuat pengakuan tidak bersalah sewaktu pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.
Berdasarkan kesemua pertuduhan tersebut, Mohd. Basyir didakwa membuat penghantaran komunikasi bersifat lucah dengan niat untuk mengganggu orang lain menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) di Kampung Tok Has, Jerteh, Besut antara pukul 12.40 tengah malam dan 1.11 pagi, 1 Mac 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Penuntut UMS maut, lima cedera

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan TOREK SULONG

BESUT – Seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) maut selepas bot yang dinaiki bersama 14 pelajar lain terbalik di perairan Besut berhampiran Pulau Rhu, kira-kira lima kilometer dari Jeti Kuala Besut dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa, Nurnasibah Husna Ibrahim, 21, dari Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh, Kelantan bersama kumpulan pelajar lain dikatakan dalam perjalanan pulang ke Jeti Kuala Besut dari Pulau Perhentian selepas menghadiri satu program kepimpinan di pulau tersebut sejak kelmarin.

Difahamkan, mereka merupakan sebahagian daripada 60 pelajar kelahiran Kelantan dari universiti seluruh negara yang mengikuti kursus Kepimpinan Pemimpin Muda Mahasiswa Kelantan (Himsak) di Universiti Malaysia Kelantan, Pengkalan Chepa, Kota Bharu sejak Jumaat lalu.

Aktiviti dua hari satu malam di Pulau Perhentian itu merupakan sebahagian daripada tentatif program kursus yang dikhususkan kepada pemimpin pelajar kelahiran Kelantan dari universiti seluruh negara.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, mangsa meninggal dunia selepas terperangkap di dalam bot yang terbalik manakala lima penumpang lain mengalami kecederaan.

“Sewaktu menghampiri Pulau Rhu kira-kira lima kilometer dari Jeti Kuala Besut, bot yang mereka naiki tiba-tiba mengalami masalah enjin sebelum ia berputar dan terbalik.

“Insiden itu menyebabkan kesemua penumpang yang lengkap memakai jaket keselamatan termasuk pemandu bot terjatuh ke dalam laut,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, ke­semua mangsa kemudian diselamatkan oleh beberapa bot lain yang kebetulan berada tidak jauh dari lokasi kejadian.

Katanya, mayat mang­sa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat manakala lima pelajar lain yang cedera dirawat di hospital yang sama.

Sementara itu, ibu Nurnasibah, Rosnani Abdullah, 46 berkata, anaknya yang merupakan Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS merupakan anak sulung daripada empat beradik dan pelajar semester ke­dua di universiti berkenaan.

Katanya, arwah begitu teruja dalam menyertai program berkenaan dan tidak sabar untuk bertemu dengan nenenknya di Binjai, Kota Bharu.

15 pelajar kolej vokasional direman kerana disyaki buli dua rakan sekolah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seramai 15 pelajar sebuah kolej vokasional di Kuala Nerus direman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes buli dua rakan sekolah di asrama sekolah terbabit pada semalam.

Perintah reman tersebut dibenarkan Pendaftar Mahkamah, Rozita Md. Saat di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, kesemua suspek berusia 17 tahun yang merupakan pelajar tahun dua kolej vokasional tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, dua pelajar tahun satu jurusan Teknologi Elektronik berusia 16 tahun mendakwa dibelasah oleh sekumpulan pelajar sewaktu sedang tidur di dalam asrama kolej vokasional tersebut pada pukul 1.30 pagi semalam. - K! ONLINE

Prestasi T-Team bikin Rahmad resah

PRESTASI kurang konsisten pasukan berstatus kelab, T-Team terus memeningkan pengendalinya, Rahmad Darmawan (gambar).

Pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasi­ruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin, T-Team terlalu mudah diratah Melaka United 5-1 walaupun mereka masih segar dengan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Negeri Sembilan pada kempen Piala Malaysia di venue sama, Selasa lalu.

Rahmad berkata, anak-anak buahnya sebenarnya telah beraksi baik sehingga mampu mendahului Melaka United 1-0 pada babak pertama, namun sebaliknya berlaku pada babak kedua sehingga dibolosi lima gol.

“Pemain-pemain saya bermain baik pada separuh masa pertama tetapi moral dan semangat mereka terus runtuh sebaik pasukan pelawat menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-49.

“Saya paling kesal dengan sikap se­gelintir pemain yang mula menya­lahkan antara satu sama lain sedangkan aksi di atas padang masih belum berakhir hingga menyebabkan mereka kehilangan fokus untuk bermain,” kata Rahmad ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Beliau berkata, biarpun ada da­lam kalangan mereka melakukan kesilapan, sikap menyalahkan antara satu sama lain sepatutnya tidak berlaku kerana ia boleh menjatuhkan moral pasukan.

Pengendali berpengalaman dari Indonesia itu berkata, pemain-pemainnya sepatutnya terus memberi saingan dan bukannya menyalahkan sesama sendiri.

Nafas umum dividen 10 peratus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengumumkan agihan dividen sebanyak 10 peratus untuk Skim Pelaburan Khas Peladang-Dana Peladang Kebangsaan (SPKP-DPK) bagi tahun kewangan 2016.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ia melibatkan pembayaran dividen yang berjumlah RM8.1 juta yang akan diagihkan kepada seluruh persatuan peladang dan individu yang bernaung di bawah Nafas.

Menurutnya, pembayaran dividen itu merupakan peningkatan RM1.1 juta berbanding RM7 juta pada tahun lalu.

“Empat tahun berturut-turut sejak tahun 2014, Nafas dapat memberikan dividen SPKP-DPK sebanyak 10 peratus.

“Ia merupakan prestasi yang sangat baik dan membanggakan dalam kea­daan iklim ekonomi mencabar pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengumumkan dividen tersebut pada majlis pelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan ke-42 di sini semalam.

Ahmad Shabery menjelaskan, pemberian dividen secara konsisten itu  di­sebabkan keuntungan tahunan Nafas yang semakin mengukuh kepada RM120 juta pada tahun lalu.

Tambah beliau, Nafas menyasarkan untuk mencatat keuntungan sekurang-kurangnya RM130 juta pada akhir tahun ini.

Tuesday, August 8, 2017

Seorang pelajar universiti maut, lima cedera selepas bot terbalik sewaktu pulang dari Pulau Perhentian

BESUT - Seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyertai program perhimpunan pelajar maut akibat lemas selepas bot yang dinaikinya terbalik di perairan Besut berhampiran Pulau Rhu kira-kira lima kilometer dari Jeti Kuala Besut dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12.20 tengah hari itu, Nurnasibah Husna Ibrahim, 21, gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap di bawah bot laju yang terbalik berkenaan.
Sewaktu kejadian, Nurnasibah Husna yang berasal dari Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh, Kelantan bersama 14 pelajar lain di dalam bot berkenaan dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian dekat sini setelah berada di pulau peranginan tersebut sejak semalam.
Difahamkan mereka merupakan sebahagian daripada 60 pelajar kelahiran Kelantan dari beberapa universiti seluruh negara yang mengikuti kursus Kepimpinan Pemimpin Muda Mahasiswa Kelantan (HIMSAK) di Universiti Malaysia Kelantan, Pengkalan Chepa, Kota Bahru sejak Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian bot laju yang membawa Nurnasibah Husna dan 14 pelajar lain dalam perjalanan pulang ke Jeti Kuala Besut dari Pulau Perhentian.
"Sewaktu menghampiri Pulau Rhu kira-kira lima kilometer dari Jeti Kuala Besut, bot yang mereka naiki tiba-tiba mengalami masalah enjin yang menyebabkannya berputar lalu terbalik. Insiden itu kemudiannya menyebabkan kesemua penumpang termasuk mangsa terjatuh ke dalam laut.
"Mangsa meninggal dunia akibat lemas selepas terperangkap di dalam bot yang terbalik. Ia juga menyebabkan lima pelajar lain mengalami kecederaan manakala selebihnya terselamat tanpa sebarang kecederaan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Dua E-Kad disyaki palsu dikesan di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu mengesan dua Enforcement Card (E-Kad) disyaki palsu sewaktu melakukan pemeriksaan terhadap 28 warga asing di tapak pembinaan di sekitar bandar raya ini semalam.
E-Kad yang dikemukakan dua buruh binaan warga Indonesia tersebut disyaki palsu selepas pemeriksaan mendapati maklumat tentang dua lelaki tersebut tidak terdapat dalam pengkalan data JIM.
Pengarah Imigresen Terengganu, Wan Suhaini Wan Mohamad berkata, selain itu, E-Kad milik dua lelaki terbabit juga berkualiti rendah dengan imej dan tulisannya agak kabur.
"JIM Terengganu mengesyaki E-Kad milik dua warga asing adalah palsu. Ia merupakan kes pertama direkodkan di Terengganu berhubung pemalsuan kad berkenaan yang mula dikuatkuasa pada 1 Julai lalu.
"Siasatan lanjut berhubung penemuan E-Kad disyaki palsu terbabit sedang dijalankan mengikut Seskyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. - K! ONLINE

Penganjur pesta durian perlu jujur

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meminta penganjur program pesta makan durian agar memaklumkan jenis dan lokasi asal bekalan raja buah yang dibawa kepada pengguna.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, maklumat itu penting bagi memastikan pengguna tidak berasa tertipu apabila terbeli buah durian yang tidak masak sepenuhnya.

“Maklumat itu penting. Durian Thailand tidak sama dengan durian kita (tempatan). Durian kita yang jatuh (gugur) diambil untuk jualan manakala durian Thailand yang masih mentah dipetik dari pokok.

“Durian yang dipetik memerlukan masa untuk masak. Ini perlu dimaklumkan kepada pengguna,” katanya ketika mengulas kemarahan ribuan pengunjung program Kendurian Makan Sampai Pengsan di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, Selangor kelmarin.

Pengunjung itu kempunan apabila 15 tan metrik buah didapati tidak masak sepenuhnya.

Ahmad Shabery tidak menolak kemungkinan ada segelintir penganjur yang mengambil kesempatan membekalkan buah durian dari negara jiran kerana harganya yang lebih murah.

“Mungkin ada orang yang mengambil kesempatan ter­hadap pengguna dengan membawa durian dari luar (negara) misalnya durian Thailand yang tidak sama dengan durian kita (tempatan),” katanya.

Menurut beliau, sejak akhir­akhir ini harga durian kampung dan D34 didapati me­ningkat sedikit di pasaran.

Katanya, kenaikan itu adalah kesan daripada harga durian Musang King yang semakin mahal.

Melaka United yakin kekal di Liga Super musim depan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMENANGAN besar 5-1 Melaka United ke atas T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin mencerahkan lagi harapan skuad Sang Kancil untuk terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Pengendali Melaka Uni­ted, Eduardo Almeida berkata, mereka bertandang ke Kuala Terengganu dengan misi mengutip tiga mata penuh serta menjarakkan diri daripada zon penyingkiran.
Mereka juga mahu me­ngejar kedudukan T-Team yang berada di tangga kelapan liga dengan 18 mata.

“Kemenangan besar malam ini (kelmarin) memang tidak dijangka dan pencapaian ini telah memudahkan misi untuk kekal dalam saingan Liga Super (musim depan).

“Saya gembira dengan keputusan ini, namun kita harus lebih fokus menghadapi tiga baki perlawanan di gelanggang sendiri selepas ini,” kata Almeida ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

T-Team mendahului satu gol menerusi tandukan padu penyerang gantian, Muhammad Fauzi Abdul Kadar pada minit ke-32, namun giliran Melaka United pula mengamuk pada separuh masa kedua apa bila meledak lima gol.

Penyerang import, Marko Simic cemerlang menyumbang dua gol untuk pasukan pelawat pada minit ke-49 dan ke-89, manakala tiga gol lagi disumbangkan oleh Muhammad Fauzi Roslan (m-70), G. Puaneswaran (m-70) dan Felipe de Souza (m-73).

Almeida berkata, tempoh berehat sebulan sehingga 9 September depan akan digunakan sepenuhnya untuk melakukan persiapan rapi, bukan sahaja untuk kekal dalam saingan Liga Super, malah mara lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia.

Mengulas perlawanan malam kelmarin, Almeida mengakui anak-anak buahnya tidak bermain dengan baik pada separuh masa pertama sehingga mudah dibolosi, namun perubahan taktikal pada separuh masa kedua berjaya mengubah rentak permainan Melaka United.

Pengendali berusia 39 tahun yang ber­asal dari Portugal itu berkata, gol penya­maan yang dijaringkan Simic pada minit ke-49 telah menaikkan semangat anak-anak buahnya untuk lebih agresif sehingga mampu meledak empat lagi gol sebelum wisel penamat dibunyikan.

Dalam pada itu, bekas pengendali sementara T-Team tersebut juga berkata, kehadirannya di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam kelmarin sejak meninggalkannya pada tahun 2014 sangat bersifat peribadi.

Beliau dedikasikan kemenangan berke­naan kepada bekas pegawai media skuad The Titans, Zainuddin Muhammad yang meninggal dunia awal tahun ini.

Sorok heroin, eramin 5, pil kuda dalam anak patung Mickey Mouse

BESUT – Taktik tiga lelaki disyaki pengedar dadah menyembunyikan bahan terlarang itu dalam anak patung Mickey Mouse gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut dekat sini pada Isnin lalu.

Dua nelayan dan seorang buruh berusia 25 hingga 27 tahun ber­kenaan diberkas bersama kesemua dadah jenis heroin, eramin 5 dan pil kuda yang dianggarkan bernilai RM5,023 dalam serbuan pada pukul 8.30 malam itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, serbuan dilakukan berikutan maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh yang telah melakukan operasi pencegahan dadah di Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan beberapa hari sebelum itu.

“Pemeriksaan di dalam rumah di Kampung Beris Lampu itu me­nemui empat botol yang mengan­dungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin, 65 pil dipercayai dadah jenis eramin 5 dan empat biji pil kuda.

“Kesemua dadah tersebut dijumpai disorok di dalam sebuah anak patung Mickey Mouse yang diletakkan di bawah katil di salah sebuah bilik tidur di rumah ber­kenaan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek  juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Monday, August 7, 2017

PDRM pastikan KL2017 selamat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah bersiap sedia dalam memastikan kelancaran dan keselamatan pada penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang bakal bermula 19 Ogos depan.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Azizan Abd. Aziz (gambar kecil) berkata, seramai 14,000 anggota polis akan dikerahkan untuk mengawal gelanggang sukan dan lokasi strategik sepanjang penganjuran temasya sukan terbesar Asia Tenggara berkenaan.

“Sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman ke­selamatan dan bencana termasuk serangan pengganas sepanjang KL2017, PDRM telah mengadakan latihan Ex-Rimau.

“Sebanyak lima lokasi telah terpilih untuk latihan berkenaan iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Pusat Pelayaran Nasional (NSC) Langkawi, Taman Kuda Lasak Antarabangsa Terengganu (TIEP), Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan KL Sentral,” katanya selepas menyaksikan Latihan Amal Ex-Rimau di TIEP, Lembah Bidong, Setiu, Terengganu semalam.

Turut hadir menyaksikan latihan yang melibatkan 371 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK) ialah Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Idris Abdullah.

Azizan berkata, setakat ini, latihan Ex-Rimau berkenaan telah dilakukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, NSC dan TIEP sejak akhir Mei lalu dan lokasi selebihnya akan menyusul pada masa terdekat.

Menurut beliau, latihan Ex-Rimau terbabit melibatkan keanggotaan sebahagian besar sumber manusia dan aset PDRM seperti Unit Pemusnah Bom, Unit Tindakan Khas, Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Gerakan Am, Unit Anjing Pengesan, Jabatan Siasatan Jenayah dan anggota tugas am.

“Penekanan diberikan kepada tiga senario utama iaitu rempuhan terhadap penonton, serangan gas beracun dan penculikan atlet dan petugas KL2017.

“Selain Kuala Lumpur, empat lokasi pertandingan KL2017 ialah TIEP bagi sukan kuda lasak, NSC (pelayaran), Sunway Pyramid (boling) dan Velodrom Nasional Nilai (berbasikal),” katanya.

Sementara itu, Idris memberitahu, enam negara dijangka menyertai acara kuda lasak yang bakal diadakan di TIEP dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyertai kontinjen negara bagi sukan berkenaan.

Sunday, August 6, 2017

Melaka United belasah T-Team 5-1 di gelanggang lawan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Melaka United menang bergaya 5-1 terhadap T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Biarpun ketinggalan satu gol pada babak pertama, pasukan pelawat bangkit meledak lima gol pada separuh masa kedua.
Penyerang Melaka United, Marko Simic cemerlang meledak dua gol pada minit ke-49 dan 89.
Tiga gol lagi disumbang Muhammad Fauzi Rozlan pada minit ke-60, G. Puaneswaran (m-70) dan Felipe Souza (m-73).
Terdahulu, T-Team mendahului menerusi pemain gantian, Muhammad Fauzi Abdul Kadar pada minit ke-32.
Begitupun keputusan tersebut tidak mengubah kedudukan T-Team dan Melaka United yang masing-masing berada di kedudukan kelapan dan kesembilan liga selepas 19 perlawanan.

Misi Terengganu ke Liga Super semakin hampir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMENANGAN ke atas pasukan berstatus kelab, Kuantan FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin meletakkan skuad Terengganu semakin hampir menempah slot ke Liga Super musim depan.

Skuad Penyu kini mengekori rapat pendahulu, Kuala Lumpur dengan kutipan mata sama iaitu 41 mata dengan aksi Liga Premier hanya masih berbaki tiga perlawanan.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau gembira anak-anak buahnya dapat merealisasikan misi wajib menang yang telah ditetapkan bagi aksi menentang Kuantan FA tersebut.

“Saya percaya, para pemain semakin yakin untuk mengotakan janji sejak awal musim lagi iaitu melangkah ke Liga Super musim depan.

“Cuti rehat selama sebulan bagi memberi laluan kepada penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ini akan digunakan sepenuhnya untuk melakukan persiapan rapi bagi mengharungi baki tiga perlawanan Liga Premier berkenaan,” katanya kepada Kosmo! Ahad di Kuala Terengganu semalam.

Pada aksi kelmarin, Terengganu bergaya membenam cabaran Kuantan FA menerusi dua jaringan penyerang import berbisa, Tchetche Kipre pada minit ke-35 dan 48 serta Adib Aizuddin Ab. Latif pada minit ke-57.

Irfan berkata, beliau juga mengharapkan anak-anak buahnya tidak terlalu leka kerana persaingan melibatkan empat pasukan teratas Liga Premier iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan dan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) terlalu sengit.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, pemain-pemainnya perlu fokus pada baki tiga perlawanan tersebut kerana perebutan untuk dua slot ke Liga Super masih terbuka.

“Boleh saya katakan, kita perlu menang sekurang-kurangnya dua perlawanan untuk berada di kedudukan selesa untuk mencapai misi mengisi posisi dua teratas liga,” katanya.

Ombak kuat dan angin kencang sukarkan pencarian tiga nelayan hilang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN - Ombak kuat dan angin kencang yang melanda perairan Dungun telah menyukarkan operasi mencari dan menyelamat tiga nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot fiber yang dinaiki mereka terbalik pada Rabu lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat hari ketiga hari ini gagal menemui baki tiga nelayan yang masih hilang iaitu Che Mohd. Afendi Che Ismail, 34; Mohamad Zawawi Mohamed, 17, dan Abdul Wahab Zakaria, 44.
"Keadaan laut yang bergelora tidak membolehkan skuad penyelam skuba melakukan selaman. Oleh itu, misi pencarian hari ini (semalam) lebih tertumpu pada pencarian di permukaan air dan tepi pantai.
"Begitu pun kawasan pencarian telah diperluaskan sehingga 52 kilometer persegi dari Tanjung Jara hingga Teluk Mayat di sini dengan menggunakan lima bot penunda," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan mayat Mohd. Nazri Yaakob, 37, yang merupakan salah seorang nelayan yang hilang telah ditemui terapung kira-kira 300 meter dari lokasi bot fiber dinaiki mereka terbalik.
Sebelum itu, keempat-empat mangsa termasuk Mohd. Nazri yang sudah 22 hari berada di laut dalam untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan dikhuatiri lemas selepas bot fiber dinaiki mereka terbalik dipukul ombak kuat sewaktu menghampiri Jeti Kuala Dungun di muara Sungai Dungun.
Seorang lagi mangsa iaitu Mohd. Shazrin Yaakob, 33, terselamat selepas berjaya berenanag melawan arus selama dua jam sebelum sampai ke daratan. - K! ONLINE

Misi wajib menang Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu bertandang ke Kuantan dengan misi wajib menang pada aksi menentang Kuantan FA kempen Liga Premier di Stadium Darul Makmur malam ini.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, tiga mata perlu dibawa pulang sebagai bekalan untuk mencerahkan lagi peluang skuad Penyu melangkah ke Liga Super musim depan.

“Kita tidak boleh keciciran sebarang mata lagi dalam empat aksi terakhir Liga Premier termasuk menentang Kuantan FA malam esok (ini).

 “Saya juga telah mengarahkan anak-anak buah saya agar bermain bermati-matian seolah-olah beraksi pada pentas final kerana kami hanya mahukan tiga mata pada perlawanan itu nanti,” kata Irfan di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, persaingan melibatkan empat pasukan yang masih berpeluang untuk mengisi dua kedudukan teratas liga iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan dan PKNP FC sangat sengit dan berkemungkinan besar akan berlanjutan sehingga aksi terakhir musim ini.

Dalam perkembangan sama, bekas pengendali Felda United itu menegaskan, anak-anak buahnya sudah melupakan aksi buruk ketika dibelasah 5-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi kelima Piala Malaysia, Selasa lalu.

Menurutnya, beliau menaruh kepercayaan tinggi bahawa kekalahan besar berkenaan tidak akan memberi kesan terhadap moral dan prestasi barisan pemain Terenganu.

“Itu adalah risiko apabila kami merehatkan enam pemain utama pada perlawanan menentang JDT itu. Memang sejak awal lagi, kami memutuskan untuk memberi tumpuan penuh kepada pertemuan dengan Kuantan FA kerana misi utama ialah melangkah ke Liga Super musim depan.

“Saya juga telah merancang taktikal dan strategi ampuh yang diyakini mampu menjinakkan Kuantan FA di hadapan penyokong mereka malam esok (ini),” katanya.

Irfan berkata, beliau juga mempunyai pilihan untuk me­nurunkan kesebelasan utama terbaik skuad Penyu pada aksi Liga Premier malam ini kecuali penyerang import, Issey Farran Nakajima yang masih belum cergas sepenuhnya.

Saturday, August 5, 2017

T-Team mahu bikin Melaka Utd merana


PASUKAN berstatus kelab, ­T-Team tidak akan membenarkan Melaka United berpesta apabila kedua-dua pasukan turun membuat perhitungan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

T-Team kini sedang memiliki motivasi tinggi dan mereka sudah tidak sabar untuk meratah Melaka United.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan berkata, episod kemerosotan prestasi skuad kendaliannya sehingga tewas dalam empat perlawanan berturut-turut sebelum ini sudah berakhir selepas melakar kemenangan bergaya 4-1 ke atas Negeri Sembilan pada saingan Piala Malaysia Selasa lalu.

“Kejayaan menewaskan Ne­geri Sembilan bukan sahaja menghidupkan semula peluang kami mara lebih jauh pada kempen Piala Malaysia, malah telah menaikkan semula moral para pemain.

“Sebelum ini kami sukar bangkit hingga tewas berturut-turut kepada Felda United, JDT (Johor Darul Ta’zim), PKNS FC dan PKNP FC kerana kekangan psikologi yang membelenggu pemain saya,” kata Rahmad ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Rahmad berkata, kemenangan dengan Melaka United penting bagi mengelakkan T-Team daripada terjebak dalam kelompok bawahan liga.

Pengendali berpengalaman dari Indonesia itu memberitahu, secara matematiknya, skuad kendaliannya hanya memerlukan sekurang-kurangnya lima mata daripada empat baki perlawanan untuk kekal dalam saingan Liga Super.

Jadual Liga M musim depan lebih fleksibel

PERSATUAN BOLA SEPAK MALAYSIA (FAM) meminta Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) agar menyusun jadual Liga Malaysia musim depan yang lebih fleksibel dan memberi keutamaan kepada pasukan kebangsaan.

Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, badan induk bola sepak kebangsaan tersebut mahu memastikan masalah yang dihadapi pada musim ini seperti keengganan beberapa kelab untuk melepaskan pemain masing-masing menyertai pasukan kebangsaan ekoran kepadatan jadual pertandingan tidak berulang.

"Jadual (Liga Malaysia) padat menjadi punca sesetengah pasukan tidak melepaskan pemain. Jadi, saya telah berbincang dengan FMLLP agar mengkaji semula jadual pertandingan liga tempatan yang boleh memberi lebih ruang kepada pasukan kebangsaan.

"Saya juga akan berbincang dengan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), AFF (Federasi Sepak Bola ASEAN) agar FMLLP dapat menyusun jadual pertandingan yang paling sesuai," titah baginda kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam.

Terdahulu, Tunku Ismail mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa FAM Sesi 2017-2021 bersama barisan kepimpinan badan induk bola sepak negara itu termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal dan Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Tunku Ismail bertitah, jadual Liga Malaysia yang lebih fleksibel tersebut diharap dapat memberi ruang dan masa kepada kelab-kelab bertanding untuk lebih mudah melepaskan pemain mereka untuk menyertai pasukan kebangsaan.

Baginda bertitah, isu berbangkit yang timbul baru-baru ini amat diambil berat oleh FAM kerana  kejayaan pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa tetap menjadi keutamaan badan induk utama bola sepak nasional tersebut.

Sebelum ini, persiapan skuad bawah 22 tahun (B-22) kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee berhadapan kepincangan apabila gagal menghimpunkan semua 26 pemain yang disenaraikan untuk tugasan tersebut ekoran beberapa pasukan seperti Johor Darul Ta'zim dan Kedah enggan melepaskan pemain mereka dengan alasan untuk memberi tumpuan kepada liga.

Dalam perkembangan lain pula, Tunku Ismail turut mengumumkan Bojan Hodak yang mengemudi UPB-MyTeam, Kelantan dan JDT sebagai jurulatih baharu skuad Bawah 19 tahun kebangsaan manakala Naib Presiden FAM, Datuk Ab. Ghani Hassan sebagai pengurus pasukan.

Friday, August 4, 2017

Lelaki gila seks menyamar doktor telefon wanita hamil anak sulung

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Terengganu mengesan perbuatan tidak senonoh seorang lelaki yang dipercayai melakukan gangguan seksual menerusi panggilan te­lefon terhadap sekurang-kurangnya tiga wanita hamil anak sulung di daerah Besut, dua minggu lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, siasatan mendapati suspek menyamar sebagai doktor pakar perbidanan dan sakit puan (O&G) Hospital Besut, Jertih untuk memperdaya seorang kakitangan sebuah klinik kesihatan di daerah sama bagi mendedahkan butiran peribadi mangsa terbabit.

“Dia memperkenalkan dirinya sebagai ‘Dr. Haji Abu Bakar’ untuk mendapatkan data peribadi termasuk nombor telefon bimbit 12 wanita hamil anak sulung yang melakukan pemeriksaan antenatal di sebuah klinik kesihatan di Besut.

“Suspek mendakwa kononnya mahu menjadikan ibu hamil tersebut sebagai responden bagi melengkapkan kajiannya pada 15 Julai lalu,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Kesihatan negeri di sini semalam.
Mohammad berkata, kakita­ngan klinik kesihatan terbabit yang berasa curiga telah meng­hubungi Hospital Besut untuk membuat pengesahan dan didapati tiada doktor bernama ‘Haji Abu Bakar’ bertugas di hospi­tal terbabit.

Menurut beliau, kakitangan klinik kesihatan tersebut telah menghubungi 12 ibu hamil terbabit bagi memberi peringatan namun tiga daripadanya mengakui telah menerima panggilan daripada suspek.

“Kesemua mangsa mendakwa telah diminta oleh suspek menerusi panggilan telefon untuk melakukan urutan payudara sambil mengeluarkan bunyi selain diminta memegang alat sulit masing-masing.

“Satu laporan polis berhubung kes itu telah dibuat klinik ke­sihatan terbabit pada 18 Julai lalu. Siasatan mendapati nombor telefon yang digunakan lelaki tersebut untuk menghubungi mangsa sudah tidak berfungsi,” katanya sambil memberitahu kes sama pernah dilaporkan di Kuala Terengganu pada tahun 2010 ­dan 2012.

TTAS bantu graduan menganggur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu akan melancarkan program Skim Siswazah Pelancongan Terengganu (TTAS) bagi melatih graduan kelahiran negeri itu dalam industri pelancongan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman (gambar ke­cil) berkata, pengenalan skim baharu terbabit merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk membantu graduan tempatan memperoleh peluang pekerjaan.

Beliau berkata, ia juga merupakan pendekatan serampang dua mata bagi memenuhi permintaan tenaga kerja dalam industri pelancongan tempatan yang semakin berkembang pada masa ini.

“TTAS terbuka kepada graduan kelahiran Terengganu yang masih belum memperoleh pekerjaan tetap, berminat dalam bidang pelancongan dan mestilah fasih sekurang-kurangnya dalam bahasa Inggeris.

“Mereka yang terpilih akan menjalani kursus bagi persijilan dalam bidang pelancongan selama enam bulan sebelum ditempatkan sebagai pelatih di syarikat atau pusat berkaitan industri di negeri ini selama enam bulan lagi,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 untuk kursus persijilan skim tersebut, manakala syarikat pelancongan akan membayar elaun RM1,000 sewaktu pelatih menjalani latihan praktikal.

Menurut beliau, graduan terbabit berpeluang untuk diserapkan sebagai kakitangan tetap di syarikat dan pusat berkaitan pelancongan di ne­geri tersebut sebaik selesai menjalani program berkenaan.

Thursday, August 3, 2017

Buruh tamak tidur penjara 1 hari

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sikap tamak seorang buruh mendapatkan dana bantuan banjir RM500 buat kali kedua menggunakan dokumen palsu memakan diri apabila dia dihukum penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tengku Yolhendri Tengku Nazeri, 31, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Hakim Mohamad Haldar turut memerintahkan Tengku Yolhendri menjalani hukuman penjara tambahan selama 10 bulan jika gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada empat anak berusia tiga bulan hingga empat tahun dari Kampung Paya Berenjut, Kemaman itu didakwa mengemukakan Borang Penyampaian Dana Bantuan Banjir Dewan Undangan Negeri Chukai 2014 yang mengandungi maklumat palsu pada 6 Mei 2014.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat cawangan Kemaman dengan tujuan untuk memperoleh dana bantuan banjir berjumlah RM500.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Tengku Yolhendri yang menetap dengan keluarganya pada waktu tersebut telah memohon dana bantuan banjir berkenaan sedangkan dia sedar bapanya telah membuat tuntutan sebelum itu.

Kerajaan negeri Terengganu menetapkan hanya seorang ketua isi rumah setiap mangsa banjir tersebut layak menerima dana bantuan berkenaan.

Tiga wanita hamil anak sulung diganggu "Dr. Haji Abu Bakar" di Besut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Terengganu mengesan perbuatan tidak senonoh seorang lelaki yang dipercayai melakukan gangguan seksual menerusi panggilan telefon terhadap sekurang-kurangnya tiga wanita hamil anak sulung di daerah Besut pada dua minggu lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, siasatan awal mendapati suspek tersebut menyamar sebagai doktor pakar perbidanan dan sakit puan (O&G) Hospital Besut untuk memperdaya seorang kakitangan sebuah klinik kesihatan di daerah sama bagi mendedahkan butiran peribadi mangsa-mangsa terbabit.
"Dia memperkenalkan diri sebagai Dr. Haji Abu Bakar bagi memperdaya seorang kakitangan kesihatan untuk mendapatkan data peribadi termasuk nombor telefon bimbit 12 wanita hamil anak sulung yang melakukan pemeriksaan antenatal di sebuah klinik kesihatan di daerah Besut.
"Suspek mendakwa kononnya mahu menjadikan ibu hamil tersebut sebagai responden bagi melengkapkan kajiannya pada 15 Julai lalu," katanya pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Kesihatan negeri di sini hari ini.
Mohammad berkata, kakitangan klinik kesihatan tersebut kemudiannya segera menghubungi semula 12 ibu hamil terbabit selepas taktik lelaki itu diketahui namun, tiga daripadanya mengakui telah menerima panggilan daripada suspek.
"Kesemua mangsa mendakwa telah diarah oleh suspek menerusi panggilan telefon untuk melakukan urutan payudara sambil mengeluarkan bunyi tersebut selain diminta memegang alat sulit masing-masing.," katanya. - K! ONLINE

Pengasuh ada HIV dijel 5 tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Perbuatan zalim seorang pengasuh mendera bayi perempuan jagaannya hingga mengalami kecederaan serius pada mata kiri dan kepala berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdi memerintahkan demikian selepas Asmayuzi Ismail @Abdul Wahab, 33, mengekalkan pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi manakala tertuduh yang disahkan menghidap penyakit HIV pula tidak diwakili peguam bela.

Asmayuzi didakwa menganiayai Wan Shifa Amani Wan Mohd. Farid sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada bayi tersebut yang ketika itu berusia tujuh bulan di rumahnya di Taman Wan Adnan Kerteh di sini antara pukul 7.30 pagi dan 10.12 pagi, 27 April 2016.

Mengikut fakta kes, Asmayuzi didakwa telah memukul kepala kiri Wan Shifa Amani selepas bayi perempuan itu menangis dan enggan meminum susu botol yang diberikan.

Pukulan tersebut menyebabkan mangsa pengsan dan mengalami kecederaan dalaman pada sebelah kanan kepalanya.

Tertuduh kemudian menggoncang kepala dan badan Wan Shifa Amani berulang kali akibat panik sebelum menghubungi ibu bapa bayi berkenaan dan menghantarnya ke Hospital Kemaman di sini.

Wan Shifa Amani yang mengalami kecederaan serius kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang sebelum pegawai perubatan membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan Asmayuzi pada 10 Mei 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Asmayuzi dalam rayuannya mendakwa dia melakukan perbuatan tersebut kerana terlalu tertekan selepas disahkan menghidap HIV yang berpunca daripada suaminya seorang penagih dadah.

Begitupun, Syazwani dalam hujah balasnya berkata, tertuduh tidak sepatutnya melepaskan tekanan perasaan terhadap mangsa yang bukan sahaja tidak berdaya malah tidak ada kena-mengena dengan masalah dihadapinya.

Beliau juga memberitahu, Wan Shifa Amani juga telah mengalami masalah penglihatan pada bahagian mata kiri selain deria motornya disahkan perlahan berbanding bayi normal akibat penderaan berkenaan.

“Ibu mangsa yang merupakan seorang guru memberitahu dia mengalami tekanan perasaan kerana terlalu memikirkan nasib anak perempuannya akibat perbuatan zalim tertuduh,” katanya.

Buruh kemuka dokumen palsu untuk terima dana bantuan banjir RM500 dipenjara sehari, denda RM5,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Gara-gara mengemukakan dokumen palsu semata-mata untuk menerima dana bantuan banjir RM500 pada tiga tahun lalu, seorang buruh dihukum penjara sehari dan denda RM5,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tengku Yolhendri Tengku Nazeri, 31, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Mohamad Haldar turut memerintahkan Tengku Yolhendri menjalani hukuman penjara tambahan selama 10 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh yang merupakan bapa empat anak berusia tiga bulan hingga empat tahun dan menetap di Kampung Paya Berenjut, Kemaman membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Tengku Yolhendri didakwa mengemukakan Borang Penyampaian Dana Bantuan Banjir Dewan Undangan Negeri Chukai 2014 yang mengandungi maklumat palsu pada 6 Mei 2014.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat cawangan Kemaman dengan tujuan untuk memperolehi dana bantuan banjir berjumlah RM500.
Mengikut fakta kes, Tengku Yolhendri yang menetap dengan keluarganya pada waktu tersebut telah memohon dana bantuan banjir berkenaan sedangkan dia sedar bapanya telah membuat tuntutan sebelum itu.
Kerajaan negeri Terengganu menetapkan hanya seorang ketua isi rumah setiap mangsa banjir tersebut layak menerima dana bantuan berkenaan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - K! ONLINE