Translate

Tuesday, July 25, 2017

Tunku Ismail: Tiada orang boleh atasi undang-undang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BOLEH kritik tetapi jangan melampau.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, kritikan di luar konteks terhadap mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) menjadi alasan utama penghukuman terhadap  Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang digantung selama 18 bulan dan denda RM30,000 berkuat kuasa kelmarin.

Baginda bertitah, Dollah yang juga bekas ketua jurulatih kebangsaan didapati telah membuat tuduhan melulu kononnya pengurusan FAM mengatur perlawanan dan mutu pengadilan yang lemah pada sidang akhbar selepas aksi Liga Super, Pahang bertemu Felda United yang berakhir dengan skuad Tok Gajah  tumbang 1-2 pada 1 Julai lalu.

“Apa yang Dollah katakan seolah-olah pihak atasan mengatur perlawanan. Kalau (benar) saya mengatur perlawanan, JDT (Johor Darul Ta'zim) sudah menang Piala FA dan Piala Sumbangsih.

“Di mana datang idea dia (Dollah) tentang mengatur perlawanan itu. Boleh komen berkenaan prestasi pengadil tetapi ada perkara yang kita tidak boleh bercakap,” titah baginda kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam.

Terdahulu, Tunku Ismail mempengerusikan mesyuarat kedua Jawatankuasa FAM Sesi 2017-2021 bersama barisan kepimpinan badan induk bola sepak negara itu.

Turut hadir Timbalan Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal dan Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Tunku Ismail bertitah, semua pihak berkepentingan termasuk pemain, jurulatih dan pihak pengurusan seharusnya menyatakan kritikan terhadap penganjuran Liga M termasuk mutu pengadilan liga tempatan secara objektif dan menggunakan saluran yang betul.

Baginda bertitah, peraturan larangan mengkritik secara terbuka tanpa kebenaran hingga boleh menjejaskan nama baik persatuan seperti terdapat dalam Artikel 61 Tatatertib dibaca bersama Artikel 88 yang diguna pakai dalam kes Dollah tersebut bukan sahaja dikuatkuasakan FAM, malah badan induk bola sepak antarabangsa lain seperti Persatuan Bola Sepak England (FA).

“Tiada orang yang boleh me­ngatasi undang-undang. Peraturan tetap peraturan, semua orang kena ikut. Saya dan Tan Sri Annuar Musa (Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan) juga pernah digantung dahulu,” titah baginda.

Begitupun, Tunku Ismail bertitah, Dollah masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan bagi memohon agar hukuman penggantungan tersebut diringankan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam tempoh 10 hari mulai kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Ismail bertitah, mutu pengadilan Liga M masih lemah dan banyak yang perlu diperbaiki.

“Apa sahaja ruang dan peluang yang kita ada untuk membaiki mutu pengadilan, kita harus buat termasuk menjemput jurulatih pengadil profesio­nal luar negara untuk memberi pendedahan dan kursus kepada pengadil tempatan.

“Pada masa sama, pihak pengurusan (pasukan Liga M) pun perlu berada pada tahap tertinggi dan profesional. Jangan hanya salahkan pengadil sahaja, perlu seimbang,” titah baginda.

No comments:

Post a Comment