Translate

Monday, July 10, 2017

Terengganu kembali fokus Liga Premier, buru tiga mata


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu kembali fokus kepada saingan Liga Premier menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malam ini selepas mengharungi dua aksi dalam kempen Piala Malaysia sebelum ini.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, skuad kendaliannya memburu tiga mata berharga pada aksi yang bakal dilangsungkan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tersebut.

“Saingan untuk memburu dua tangga teratas bagi slot automatik ke Liga Super musim depan sangat sengit.

“Kita tiada pilihan selain mengelak kehilangan sebarang mata lagi untuk terus kekal dalam momentum bagi mencapai misi utama Terengganu pada musim ini,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, saingan semakin sengit dengan Terengganu kini perlu berebut dengan sekurang-kurangnya empat pasukan lain iaitu Negeri Sembilan, kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), Kuala Lumpur dan pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM FC) untuk menakluk takhta Liga Premier.

“Minggu lalu, disebabkan seri dengan JDT II (Johor Darul Ta’zim II), kita turun ke tangga keempat dari kedudukan kedua liga.

“Begitupun, pungutan mata kita dengan tiga pasukan teratas liga tidak begitu jauh. Oleh itu, kita perlu menang dengan ATM esok (malam ini) bagi mengurangkan jurang mata,” katanya.

Bekas pengendali Felda United itu memberitahu, berikutan aksi Liga Malaysia merangkumi jadual Liga Premier dan Piala Malaysia yang terlalu padat, beliau akan me­lakukan sistem penggiliran pemain bermula dengan pertemuan dengan ATM.

“Berdasarkan pengalaman musim lalu, saya bimbang segelintir pemain akan mengalami gejala kelesuan selepas terpaksa mengharungi tiga perlawanan dalam seminggu.

“Saya bakal melakukan penggiliran pemain apatah lagi selepas ini kita hanya dapat berehat tiga hari sahaja sebelum perlu beraksi lagi pada Jumaat,” katanya.

No comments:

Post a Comment