Translate

Sunday, July 9, 2017

Strategi pertaruh pemain tempatan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais lega skuad kendaliannya berjaya membawa pulang satu mata berharga biarpun diasak hebat pasukan Liga Premier, Terengganu pada aksi Kumpulan D Piala Malaysia kelmarin.

Pada pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, Morais membuat percaturan membariskan 100 peratus pemain tempatan bagi menghadapi skuad Penyu.

Pengendali yang berasal dari Portugal itu berkata, strategi­nya merehatkan barisan pemain import tidak bermaksud JDT berniat untuk merendahkan kemampuan Terengganu mahu pun memandang mudah kempen Piala Malaysia.

“Ia merupakan sebahagian daripada sistem penggiliran pemain yang perlu dilakukan berikutan jadual Liga Malaysia yang padat masa ini.
“Saya mempunyai 29 pemain berkualiti yang boleh dipercayai untuk membawa cabaran JDT. Liga Super mahu pun Piala Malaysia yang pen­ting buat kami,” katanya.

Morais berkata, satu mata yang dibawa pulang selepas diikat tanpa jaringan oleh Terengganu pada aksi malam kelmarin sangat berharga bagi misi mereka menjulang Piala Malaysia tersebut.

Dalam perkembangan sama, dia memuji tentangan hebat yang diberikan oleh skuad Terengganu kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

“Terengganu merupakan pasukan yang baik dan sukar untuk dihadapi. Mereka menguasai perlawanan dalam tempoh 30 minit pertama sebelum kami dapat menyainginya kembali selepas itu.

“Apa pun yang penting, kami dapat membawa pulang satu mata yang penting dalam pertemuan sengit ini,” katanya.

Sepanjang tempoh 90 minit perlawanan, penjaga gol muda JDT, Muhammad Haziq Nadzli terpaksa bekerja keras mematahkan serangan Terengganu yang dikemudi Tchetche Kipre, Issey Farran Nakajima, Mohd. Faiz Mohd. Nasir dan Gabriel Davis Dos Santos.

JDT turut mendapat beberapa peluang untuk memecah kebuntuan menerusi percubaan bahaya daripada Muhammad Safawi Rasid, Azammuddin Mohd. Akil dan Muhd. Nazmi Faiz Mansor tetapi mudah diselamatkan penjaga gawang tuan rumah, Mohd. Suffian Rahman Kungi Raman.

No comments:

Post a Comment