Translate

Saturday, July 29, 2017

Skuad T-Team mahu kembali meratah pasukan lawan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TEWAS dalam tiga perlawanan berturut-turut termasuk dibelasah Johor Darul Ta’zim 6-1 telah menjadikan pasukan berstatus kelab, T-Team seperti harimau terluka.

Skuad yang dikenali sebagai The Titans itu kini mahu kembali ‘mengaum’ untuk menjinakkan PKNP FC pada aksi keempat Kumpulan A kempen Piala Malaysia di Stadium Proton, Tanjung Malim, Perak hari ini.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan berkata, anak-anak buahnya tiada pilihan lain ke­cuali menumbangkan PKNP bagi menghidupkan sisa-sisa peluang untuk mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

“Setakat ini, kita hanya mampu mengutip dua mata hasil keputusan dua seri dan tewas sekali pada pusingan pertama Kumpulan A Piala Malaysia.

“Kita wajib menewaskan PKNP untuk mengutip tiga mata berharga bagi menghidupkan peluang melepasi saingan peringkat kumpulan,” kata Rahmad ketika dihubungi di Kuala Terengganu semalam.

Begitu pun, Rahmad menjelaskan cabaran anak-anak buahnya tidak mudah kerana PKNP kini ampuh sebagai pendahulu kumpulan dengan mengutip tujuh mata.

Tambah pengendali berpengalaman dari Indonesia tersebut, skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu juga berada pada tahap terbaik kerana bukan sahaja muncul antara pencabar kejuaraan Liga Premier malah terbukti telah menewaskan T-Team pada aksi sulung peringkat kumpulan sebelum ini.

“Tambah merunsingkan saya, penyerang utama, Joseph Yannick Ndjeng belum pasti dapat diturunkan kerana masih bergelut dengan kecederaan yang dialaminya pada aksi menentang PKNS FC Rabu lalu.

“Perlawanan menentang PKNP pula berlangsung pada sebelah petang (4.45 petang). Apa pun itu bukan alasan untuk kami menyerah awal tanpa memberi tentangan,” katanya

No comments:

Post a Comment