Translate

Sunday, July 30, 2017

Pemilik bot ikan mati ditembak

BESUT – Seorang tauke ikan mati selepas ditembak dari jarak dekat menggunakan sepucuk pistol oleh seorang lelaki tidak dikenali sewaktu sedang memandu kereta jenis Mercedes-Benz 230E di Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam itu, Daud @ Wan Ahmad Wan Awang, (gambar kecil) 68, yang memiliki beberapa bot nelayan ditemui dalam keadaan terkulai di tempat duduk pemandu akibat terkena dua das tembakan pada dada dan bahu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang rakannya dikenali sebagai Nek Der, 50-an dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gertak Seratus di sini selepas selesai minum petang di Dataran Kuala Besut.

“Kereta dipandu mangsa tiba-tiba dihimpit sebuah motosikal jenis Yahama LC ditunggang dua lelaki dan seorang daripada suspek kemudian mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan,” katanya di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, dua das tembakan mengenai dada dan bahu kanan mangsa menyebabkan kereta dipandu lelaki itu hilang kawalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik.

Katanya, suspek yang lengkap memakai topi keledar dan menutup sebahagian muka dengan sehelai sapu tangan berjaya melarikan diri sebaik kejadian berlaku.
“Kereta dipandu mangsa meluncur laju tanpa kawalan sejauh kira-kira 200 meter dari lokasi dia ditembak dan me­rempuh sebatang tiang elektrik.

“Rakan mangsa berusia 50-an yang berada di tempat duduk penumpang hadapan sempat menyelamatkan diri dengan terjun keluar daripada kereta tersebut,” katanya.

Jelasnya, mangsa sempat di bawa ke Klinik Kesihatan Kuala Besut, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Motif kejadian masih disiasat dan identiti kedua-dua suspek juga sedang dikenal pasti. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang ahli keluarga Daud yang enggan dikenali berkata, Allahyarham merupakan seorang pembekal dan pemborong ikan terkenal di daerah ini dan mang­sa tidak tidak mempu­nyai sebarang musuh.

No comments:

Post a Comment