Translate

Tuesday, July 25, 2017

Pahang terus buntu buru kemenangan

KEGAGALAN Pahang menumbang­kan pasukan berstatus kelab, T-Team pada aksi Kumpulan A kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin amat mengecewakan pengendalinya, Dollah Salleh.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, keputusan seri 1-1 dengan kelab bergelar The Titans tersebut dianggap tidak berbaloi sedangkan skuad kendaliannya telah menguasai permainan.

“Kami bertandang ke Kuala Terengganu dengan motivasi tinggi dengan sasaran untuk meraih tiga mata. Saya kecewa walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan tetapi kita gagal mencipta banyak peluang untuk menghasilkan gol.

“Sepanjang 90 minit permainan, kita cuma mampu menghasilkan dua percubaan menerusi Sumareh (Mohamadou) yang menghasilkan gol pada minit pertama dan Mohamad Ashari (Samsudin) yang sedikit tersasar pada minit ke-78,” kata Dollah ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Jaringan awal Sumareh pada perlawanan tersebut gagal dipertahankan apabila gawang Pahang bocor pada minit keenam hasil jaringan perancang T-Team, Mohd. Nor Hakim Hassan bagi gol penyamaan untuk T-Team.

Dollah berkata, rentak serangan skuad kendaliannya agak terganggu selepas penyerang import, Matheus Alves Leandro yang juga penjaring terbanyak Tok Gajah dalam kempen Piala Malaysia ini dengan tiga gol mengalami kecederaan sehingga terpaksa dikeluarkan pada minit ke-67.

Beliau berkata, keputusan seri dengan T-Team itu juga menyebabkan skuad kendaliannya buntu untuk meraih kemenangan sulung pada kempen Piala Malaysia selepas mengharungi tiga perlawanan setakat ini.

“Walaupun seri tiga kali berturut-turut, namun saya masih mempunyai keyakinan tinggi kita mampu melepasi saingan kumpulan,” katanya.

Pahang yang mengutip tiga mata kini berada di tangga kedua Kumpulan A di belakang PKNP FC yang selesa dengan tujuh mata selepas menewaskan Ne­geri Sembilan 2-0 malam kelmarin.

No comments:

Post a Comment