Translate

Saturday, July 8, 2017

Kurang cergas punca 
T-Team tewas mengejut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

FAKTOR kelesuan ekoran beraksi dua perlawanan berturut-turut dalam tempoh tiga hari menjadi antara sebab skuad T-Team tumpas mengejut 1-2 kepada PKNP FC pada aksi pertama Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasirudidn Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Dharmawan berkata, tahap kecergasan anak-anak buahnya terjejas apabila cuma dapat berehat dua hari selepas mengharungi aksi Liga Super menentang Selangor di laman lawan pada Sabtu lalu.

“Tahap kecergasan yang membezakan pemain saya dan PKNP FC. Pasukan lawan mempunyai cuti rehat selama tiga hari kerana perlawanan Liga Premier berlangsung pada hari Jumaat.

“Itu cabaran besar buat kita, bukan sahaja pada aksi ini, malah baki perlawanan lain sepanjang kempen Piala Malaysia nanti,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Rahmad berkata, beliau bercadang untuk melakukan penggiliran pemain pada aksi-aksi akan datang termasuk pertembungan dengan Negeri Sembilan bagi saingan Piala Malaysia esok bagi mengatasi masalah kecergasan tersebut.

Dalam perkembangan sama, pengendali berasal dari Indonesia itu mengakui PKNP FC telah bermain dengan baik pada pertemuan tersebut dan anak-anak buahnya gagal menyaingi aksi agresif pasukan pelawat tersebut.

Menurut beliau, barisan serangan T-Team yang ditunjangi duo import, Joseph Yannick dan Maha­madou Samassa juga gagal memanfaatkan banyak peluang terhidang.

“Pada separuh masa pertama, sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik di depan gawang lawan gagal diterjemahkan kepada gol. Barisan serangan dilihat agak gopoh dan kurang tenang menyebabkan kita terlepas kesempatan terbaik itu,” katanya.

Pada aksi malam kelmarin, PKNP FC berada di depan menerusi rembatan kencang kapten pasukannya, Muhammad Shahrel Fikri Md. Daud yang menewaskan penjaga gol T-Team, Mohd. Hafidz Romli pada minit ke-22.

Penyerang T-Team, Mahamadou Samassa meredakan keresahan sebentar penyokong tuan rumah apabila menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-51.

Begitupun, PKNP FC kembali di depan seminit kemudian menerusi ten­dangan lencong Muhamamad Shahrel Fikri yang menerjah penjuru kiri gawang T-Team.

No comments:

Post a Comment