Translate

Saturday, July 29, 2017

Kipre berazam untuk robek gawang Selangor malam ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

AWANG import Terengganu, ­Tchetche Kipre berazam untuk terus menjadi ‘mesin gol’ bagi membantu skuad Penyu mengatasi Selangor pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pemain kelahiran Ivory Coast tersebut berkata, kejayaannya meledak empat gol daripada tiga perlawanan berturut-turut Liga Premier sebelum ini telah meningkatkan keyakinannya untuk terus memburu jaringan.

“Saya tekad untuk mempamerkan aksi terbaik bagi memberi sumbangan bermakna kepada pasukan.

“Selain melangkah ke Liga Super pada musim depan, saya percaya pe­ngurusan (Terengganu) juga menyasarkan untuk mara sejauh mungkin dalam saingan Piala Malaysia musim ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Kipre berkata, dia percaya peluang skuad Penyu untuk melepasi perebutan dalam kumpulan D bakal cerah sekiranya mampu menumbangkan Selangor malam ini.

Sementara itu, pengendali Terengganu, Irfan Bakri Abu Salim berkata, skuad kendaliannya mencari kemena­ngan sulung selepas sekadar mencatat tiga kali seri pada saingan awal Kumpulan D, Piala Malaysia.

Begitupun, Terengganu yang me­ngutip tiga mata masih berpeluang untuk mara ke pusingan seterusnya ke­rana tidak berada jauh di belakang dua pasukan teratas kumpulan iaitu Sela­ngor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masing-masing mengumpul tujuh dan empat mata.

No comments:

Post a Comment