Translate

Sunday, July 16, 2017

Idea lukisan mural ceriakan bangunan lama

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Bandar raya Kuala Terengganu kini mempunyai satu lagi tarikan pelancongan terbaru iaitu lukisan mural berkonsepkan Wajah Tradisional Terengganu pada dinding deretan 13 unit premis rumah kedai di Jalan Banggol di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, ke­semua lukisan mural pada setiap premis terbabit telah disiapkan oleh sekumpulan penggiat seni mural tempatan dalam tempoh sebulan bermula awal Ramadan lalu.

“Program melukis mural di bangunan lama berketinggian antara empat dan lima tingkat tersebut yang bukan sahaja menceriakan persekitaran bandar raya ini malah menjadi tarikan di kalangan pelancong mendapat sokongan pihak swasta seperti dengan penajaan penuh sebanyak RM77,000.

“Ia merupakan sebahagian daripada program Seni Hias Bandar bertujuan menceriakan struktur bandar di dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang telah dilancarkan sejak tahun 2015,” katanya selepas merasmikan lukisan mural tersebut di sini semalam.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Terengganu, Mohd. Zulkifli Abu Bakar.

Mohd. Jidin berkata, lukisan mural yang memaparkan aktiviti pelancongan dan kebudayaan Terengganu seperti bermain wau, mencanting batik dan membina perahu payang di deretan rumah kedai di Jalan Banggol tersebut merupakan fasa keempat program Seni Hias Bandar terbabit.

Menurut beliau, fasa pertama hingga ketiga program keceriaan berkenaan yang telah dimulakan sejak 12 Julai 20115 melibatkan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini dan Kompleks Tempat Letak Kereta Pasar Kedai Payang di sini.

Dalam pada itu, Mohd. Zulkifli berkata, program Seni Hias Bandar akan dite­ruskan dengan fasa kelima iaitu menghias laluan pejalan kaki antara bangunan Paya Bunga Sentral dan Perbadanan Memajukan Iktisad Ne­geri Terengganu di sini pada masa terdekat. 

No comments:

Post a Comment