Translate

Saturday, July 15, 2017

Gonzales harap penyokong Kelantan bersabar

PENGARAH Teknikal pasukan Kelantan, Alfredo Gonzales terpaksa akur dengan kekalahan kepada T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Kekalahan itu sudah pastinya akan meningkatkan rasa tidak puas hati para penyokong tegar skuad The Red Warriors terhadap Gonzales yang masih gagal membuktikan kemampuannya mengubah nasib pasukan tersebut.

Pada pertemuan malam kelmarin, Kelantan gagal mengekalkan kelebihan satu dan terpaksa menerima hakikat pahit apabila tumpas 1-3 kepada skuad kendalian Rahmad Darmawan.

Gonzales berkata, anak-anak buahnya hilang fokus pada peng­hujung perlawanan sehingga membolehkan pasukan tuan rumah meledak tiga gol dalam tempoh tujuh minit.

“Saya faham perasaan penyokong. Mereka hadir ke stadium dengan penuh harapan.

“Ia perkara normal apabila para penyokong marah, lebih-lebih lagi selepas pa­sukan ke­sayangan mereka mengalami kekalahan dan tidak bermain dengan baik.

“Saya mohon agar mereka lupakan aksi buruk ini, kami janji akan bangkit. Saya berharap para penyokong kami bersabar,” kata Gonzales ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Gonzales juga mengakui kemelut yang menghantui Kelantan selama ini banyak mengganggu persiapan pasukan sehingga memberi kesan terhadap persembahan mereka pada pusingan kedua Liga Super dan Piala Malaysia.

No comments:

Post a Comment