Translate

Sunday, July 2, 2017

Budak lima tahun mati didakwa didera bapa tiri panas baran

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARUDIN HAMZAH

KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui mati dengan beberapa kesan lebam baharu dan lama pada badan dipercayai didera bapa tirinya di Felda Tenang, Hulu Besut kelmarin.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, suspek berusia 38 tahun pada mulanya mendakwa anak tirinya, Muhammad Hairil Amsyar Abdul Rahman  mengalami kecederaan tersebut akibat dihempap motosikal yang mereka naiki beberapa jam sebelum itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Besut, pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

“Pegawai perubatan yang mencurigai punca kematian kanak-kanak terbabit selepas menjumpai beberapa kesan lebam baharu dan lama pada beberapa anggota badan mangsa telah membuat laporan polis.

“Berdasarkan aduan itu, bapa tiri mangsa yang merupakan seorang buruh telah ditahan manakala mayat Muhammad Hairil Amsyar telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk dibedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Fazlisyam berkata, siasatan awal mendapati suspek yang mengahwini ibu mangsa berusia 27 tahun positif dadah jenis methaphetamine.

Menurut beliau, laporan bedah siasat mendapati koyakan pada usus kecil akibat hentakan kuat menjadi punca kematian Muhammad Hairi Amsyar.

“Hentakan itu telah dikesan pada bahagian belakang kanak-kanak malang terbabit,” katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu ibu mangsa, Nor Syafiqah Abd. Kadir berkata, sewaktu kejadian, dia sedang mengambil upah membuat gula manisan di rumah jirannya.

“Hati  tidak tenang sepanjang bekerja dan saya pulang awal. Sebaik tiba di rumah pada pukul 2.30 pagi, saya terkejut Amsyar terbaring di ruang tamu sedangkan sebelum saya keluar rumah untuk bekerja, dia sudah tidur di dalam bilik.

“Suami memberitahu Amsyar demam panas tetapi apabila saya mahu menyapu air asam jawa pada kepalanya, badan Amsyar sudah keras,” ceritanya ketika ditemui di HSNZ di sini semalam.

Nor Syafiqah mengakui suaminya yang dikahwini sejak tiga tahun lalu seorang panas baran dan pernah menjalani hukuman penjara selama enam bulan atas kesalahan mendera Muhammad Hairil Amsyar sewaktu mereka menetap di Puchong, Selangor pada tahun 2015.

No comments:

Post a Comment