Translate

Tuesday, July 18, 2017

APMM rampas RM34 juta hasil laut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebanyak RM34 juta hasil laut negara berjaya dirampas Maritim Malaysia (APMM) di perairan Terengganu sepanjang Ops Pagar Laut yang berakhir baru-baru ini.

Ini adalah tangkapan da­ripada 17 bot nelayan asing yang ditahan kerana menceroboh perairan negara pada operasi tersebut.

Pengarah Maritim Wilayah Timur, Datuk Mamu Said Alee berkata, operasi bermula dari 10 Jun hingga 9 Julai lalu itu dijalankan bagi mengekang ancaman jenayah termasuk pencerobohan nelayan asing sepanjang Aidilfitri.

Menurut beliau, ia melibatkan 600 pemeriksaan terhadap bot nelayan di perairan negeri itu.

“Kita turut menahan 87 nelayan asing berusia lingkungan 21 hingga 61 tahun yang kebanyakannya warga Vietnam.

“Kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, tiada permit kerja dan melanggar syarat menangkap ikan melebihi 30 batu nautika di perairan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan maj­lis serah tugas Pengarah Maritim Terengganu antara Kepten Maritim Zainolabidin Jusoh dan Kepten Maritim Rahim Ramli di Pejabat Maritim Terengganu di sini semalam.

Rahim yang merupakan bekas Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Sabah menggantikan Zainolabidin yang bersara.

Mengulas lanjut, Mamu berkata, kehadiran dua aset baharu iaitu Kapal Maritim (KM) Langkawi dan KM Pekan turut membantu kejayaan Ops. Pagar Laut apabila melonjakkan keupayaan rondaan pasukan tersebut.

No comments:

Post a Comment