Translate

Wednesday, July 12, 2017

22 jam tahan sakit akibat melecur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang peserta perkhemahan yang melecur pada muka, tangan dan kakinya akibat terkena letupan dapur gas mudah alih terpaksa menanggung kesakitan hampir 22 jam sebelum dibawa turun dari Lata Langsir yang terletak di Gunung Berembun, Dungun semalam.

Saiful Akmal Othman, 34, yang merupakan seorang peniaga mengalami kecederaan itu sewaktu berkhemah bersama 52 peserta lain terdiri daripada 39 lelaki, sembilan wanita dan empat malim gunung di tapak perkhemahan di lata berkenaan yang terletak kira-kira 800 meter dari aras laut.

Difahamkan, rombongan peserta dari seluruh negara itu tiba di tapak perkhemahan tersebut pada Sabtu lalu dan mengikut jadual asal, mereka akan menuruni semula kaki gunung semalam.
Lata Langsir yang terkenal dalam kalangan peminat perkhemahan mempunyai air terjun setinggi 801 meter.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman (gambar kecil) berkata, mangsa yang berasal dari Penaga, Pulau Pinang dikatakan terkena letupan itu sewaktu menyalakan dapur gas mudah alih di dalam khemah­nya pada pukul 4 petang kelmarin.

“Letupan yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas memasak itu menyebabkan mukanya terbakar kira-kira 80 peratus manakala sebahagian tangan dan kakinya sedikit melecur.
“Kejadian itu hanya dapat dimaklumkan kepada bomba pada pukul 4.40 petang akibat kesukaran mendapat liputan telekomunikasi di kawasan perkhemah­an tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memantau operasi membawa Saiful Akmal menggunakan sebuah helikopter yang mendarat di padang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini semalam.

Terdahulu, Sharikan memberitahu, sepasukan sembilan anggota bomba termasuk daripada Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat, Ibu Pejabat JBPM negeri telah mendaki Gunung Berembun setinggi 1,038 meter pada pukul 7 petang kelmarin.
Katanya, pasukan itu termasuk anggota paramedik tiba di tapak perkhemahan di Lata Langsir pada pukul 2 pagi semalam dan sebaik tiba, bantuan kecemasan awal telah diberikan kepada mangsa.

“Sebuah helikopter Agusta 109 milik JBPM yang berlepas dari Pangkalan Udara JBPM, Subang pada pukul 11.45 pagi tiba di lokasi kejadian pada 1.05 petang untuk membawa turun Saiful Akmal kerana laluan di kawasan kejadian terlalu cerun dan kecederaan mangsa pula agak serius.

“Setelah tiba di padang IPD Kuala Terengganu pada pukul 1.55 petang, mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan dengan menaiki ambulans dan keadaannya kini dilaporkan stabil,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment