Translate

Monday, July 31, 2017

Selangor terus menyengat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SELANGOR puas apabila berjaya menempah tiket lebih awal ke pusingan suku akhir kempen Piala Malaysia 2017 selepas melakar kemena­ngan dramatik menewaskan Terengganu pada aksi keempat kumpulan D malam kelmarin.

Pengendali Selangor, P. Maniam berkata, kejayaan meneruskan kemaraan dalam kejohanan yang dianggap paling berprestij di Malaysia itu wajar diraikan oleh barisan pemainnya serta penyokong tegar skuad The Red Giants.

“Kami juga mahu menghadiahkan kejayaan ini kepada Presiden FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor), Datuk Subahan Kamal.

“Beliau telah bekerja keras dan banyak berkorban untuk mengukuhkan FAS termasuk mencari dana,” kata Maniam ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, Selangor me­lakukan kebangkitan menakjubkan untuk mencatat kemenangan 3-2 biarpun ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama.

Francis Forkey Doe, Muhammad Syahmi Safari dan Rufino Segovia del Burgo memastikan skuad Merah Kuning meraih tiga mata berharga selepas masing-masing meledak gol pada minit ke-51, 55 dan 90.

Terengganu pula memperoleh dua gol menerusi Ismail Faruqi Ashari dan Tchetche Kipre pada minit ke-23 dan 77.

Mengulas aksi yang mendebarkan itu, Maniam mengakui anak-anak buahnya tidak bermain dengan baik pada babak pertama sehingga memberi ruang kepada pasukan tuan rumah menguasai perlawanan.

“Mereka mula menunjukkan watak sebenar pada separuh masa kedua. Berdasarkan pada apa yang dipamerkan anak-anak buah saya pada babak kedua itu, kita memang layak untuk menang.

“Begitu pun, kita ada be­rita kurang baik kerana Rufino (Burgo) telah mengalami kecederaan harmstring tidak lama selepas menjaringkan gol kemenangan,” katanya.

Selangor kini mendahului Kumpulan D dengan 10 mata diikuti Johor Darul Ta’zim (7), Terengganu (3) dan Sarawak (1).

Penganggur edar dadah dihukum gantung sampai mati

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 34.09 gram pada dua tahun lalu.
Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz turut memerintahkan Mohd. Syawaldi Mamad, 26, menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan pertuduhan kedua iaitu memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 27.84 gram.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd. Syawaldi didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 34.09 gram di sebuah rumah di Kampung Pak Pa, Pasir Panjang di sini pada pukul 6.30 petang, 3 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 27.84 gram pada masa dan lokasi sama. - K! ONLINE

Misi Terengganu makin sukar

KELEKAAN pada saat-saat akhir membuatkan Terengganu terpaksa menggigit jari apabila tewas 2-3 kepada Selangor pada aksi di laman sendiri kempen Piala Malaysia 2017 malam kelmarin.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kekalahan tipis berkenaan sa­ngat mengecewakan kerana ia semakin menyempitkan peluang skuad Penyu untuk mara ke pe­ringkat suku akhir.

“Pengakhiran yang mengecewakan. Kesilapan dua pemain pertahanan saya, Adib Aizuddin Ab. Latif dan Mohd. Firdaus Mohd. Faudzi telah memberi kesan besar kepada pasukan.

“Mereka tidak berada di posisi masing-masing sewaktu kami sedang menyerang dan situasi tersebut menyebabkan pasukan lawan mudah memerangkap dengan serangan balas yang pantas,” kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Biarpun mendahului menerusi pemain tengah Ismail Faruqi Ashari pada minit ke-23, Selangor bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit masing-masing menerusi Francis Forkey Doe, Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-51 dan 55.

Terengganu lega seketika menerusi ledakan penyerang import, Tchetche Kipre pada minit ke-77.

Begitupun, harapan tuan rumah untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata lebur apabila penyerang gantian Selangor, Rufino Segovia del Burgo muncul wira menjaringkan gol pemusnah pada masa kecederaan.

Irfan berkata, secara keseluruhannya, beliau masih berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang menguasai hampir ke­seluruhan permainan.

Apa pun, beliau berkata, Terengganu perlu mengakui hakikat peluang mereka untuk melepasi peringkat kumpulan semakin tipis de­ngan kekalahan terbaharu itu.

Selangor tempah slot suku akhir Piala Malaysia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Selangor menempah tiket awal ke suku akhir selepas menumbangkan Terengganu 3-2 pada aksi keempat Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Penyerang gantian, Rufino Segovia del Burgo muncul wira apabila meledak gol kemenangan menerusi gerakan serangan balas pantas pada masa kecederaan.

Biarpun ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama, The Red Giants bangkit meledak tiga gol pada babak kedua.

Terdahulu, Terengganu di hadapan menerusi pemain tengah, Ismail Faruqi Ashari pada minit ke-23.

Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan percuma berhampiran kotak penalti yang disempurnakan penyerang import, Francis Forkey Doe pada minit ke-51.

Pemain tengah, Muhammad Syahmi Safari pula meledak gol kedua pada minit ke-55.

Terengganu tenang seketika selepas penyerang import, Tchetche Kipre menjaringkan gol kedua dan penyamaan tuan rumah pada minit ke-77.

Keputusan itu membolehkan Selangor ampuh sebagai pendahulu Kumpulan D dengan 10 mata diikuti Johor Darul Ta'zim (tujuh), Terengganu (tiga) dan Sarawak (satu). - K! ONLINE

Tekong warga Vietnam cuba rasuah APMM diberkas

KEMAMAN – Tindakan biadab seorang tekong warga Vietnam cuba menyogok anggota penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) membawa padah apabila dia diberkas hari ini.

Lelaki warga asing terbabit cuba merasuah anggota penguatkuasa APMM dengan wang tunai RM1,000 dipercayai sebagai dorongan untuk dilepaskan daripada pelbagai kesalahan yang telah dikenalpasti dalam pemeriksaan di dalam sebuah bot nelayan tempatan pada pukul 12.30 tengah malam.

Pengarah Maritim Wilayah Timur, Datuk Mamu Said Alee berkata, kejadian berlaku sewaktu sepasukan anggota penguatkuasa APMM yang menjalankan Ops Pagar Laut dengan kapal peronda, KM Pekan sedang memeriksa bot nelayan terbabit pada kedudukan kira-kira 62 batu nautika dari perairan Kuala Kemaman dekat sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati seramai 14 daripada 20 nelayan warga Vietnam yang bekerja sebagai awak-awak bot nelayan tempatan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

“Mereka juga disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat permit Jabatan Perikanan iaitu menangkap ikan yu yang merupakan spesies ikan yang terancam.

“Tekong bot warga Vietnam berusia 40-an tiba-tiba cuba memberi suapan sebanyak RM1,000 agar mereka dilepaskan tetapi telah ditolak dengan tegas oleh anggota penguatkuasa APMM terlibat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – K Online!

Gandakan pelawat ke Tasik Kenyir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Sebanyak lima program menarik telah dirancang Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dalam usaha menggandakan lagi kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir.

Antara acara yang dirancang ialah Kembara Kenyir yang akan dianjurkan pada 25 Ogos-27 Ogos depan, Festival Kenyir (14 September hingga 17 September), Triathlon Antarabangsa Tasik Kenyir (29 Oktober), pertandingan Memancing Monsun ASEAN (30 November-3 Disember) dan pertandingan Memancing Santai Tasik Kenyir (30 Disember).

Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail berkata, sehingga Jun lalu seramai 269,512 pengunjung telah direkodkan berkunjung ke tasik buatan terbesar di negara ini sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Menurut beliau, angka tersebut merupakan peningkatan kira-kira 8.32 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sehubungan itu Ketengah menyasarkan kehadiran 750,000 pelancong dalam dan luar negara mengunjungi Tasik Kenyir menjelang akhir tahun ini iaitu peningkatan 50 peratus berbanding 500,000 pengunjung pada tahun 2016.

“Bagi menyemarakkan lagi potensi Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan yang mesti dikunjungi, kita telah merancang untuk menganjurkan sekurang-kurangnya lima aktiviti dari bulan Ogos hingga Disember depan,” katanya pada penutup program Kenali Kenyir di Pengkalan Gawi dekat sini semalam.

Menurut Omar, Ketengah juga menjangkakan pembukaan Zon Bebas Cukai Pulau Kenyir Fasa Satu di Pengkalan Gawi pada masa terdekat bakal meningkatkan lagi kehadiran pengunjung ke Tasik Kenyir.

“Taman Tema Air Kenyir yang kini ditutup sementara bagi tujuan penambahbaikan juga dijangka dibuka semula kepada pengunjung dalam tempoh dua bulan lagi,” katanya.

Tasik Kenyir seluas 209,199 hektar merangkumi 340 pulau dan 14 air terjun bukan sahaja terkenal dalam kalangan kaki pancing, malah diminati pencinta alam semula jadi kerana mempunyai beberapa produk tarikan seperti Gua Bewah dan Gua Taat yang merupakan penempatan manusia prasejarah serta santuari Kelah.

Tasik buatan manusia yang dibina pada tahun 1988 itu dikawal selia oleh Ketengah dan ketika ini terdapat 74 pengusaha rumah bot beroperasi di sini.

Sunday, July 30, 2017

Pemilik bot ikan mati ditembak

BESUT – Seorang tauke ikan mati selepas ditembak dari jarak dekat menggunakan sepucuk pistol oleh seorang lelaki tidak dikenali sewaktu sedang memandu kereta jenis Mercedes-Benz 230E di Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam itu, Daud @ Wan Ahmad Wan Awang, (gambar kecil) 68, yang memiliki beberapa bot nelayan ditemui dalam keadaan terkulai di tempat duduk pemandu akibat terkena dua das tembakan pada dada dan bahu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang rakannya dikenali sebagai Nek Der, 50-an dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gertak Seratus di sini selepas selesai minum petang di Dataran Kuala Besut.

“Kereta dipandu mangsa tiba-tiba dihimpit sebuah motosikal jenis Yahama LC ditunggang dua lelaki dan seorang daripada suspek kemudian mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan,” katanya di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, dua das tembakan mengenai dada dan bahu kanan mangsa menyebabkan kereta dipandu lelaki itu hilang kawalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik.

Katanya, suspek yang lengkap memakai topi keledar dan menutup sebahagian muka dengan sehelai sapu tangan berjaya melarikan diri sebaik kejadian berlaku.
“Kereta dipandu mangsa meluncur laju tanpa kawalan sejauh kira-kira 200 meter dari lokasi dia ditembak dan me­rempuh sebatang tiang elektrik.

“Rakan mangsa berusia 50-an yang berada di tempat duduk penumpang hadapan sempat menyelamatkan diri dengan terjun keluar daripada kereta tersebut,” katanya.

Jelasnya, mangsa sempat di bawa ke Klinik Kesihatan Kuala Besut, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Motif kejadian masih disiasat dan identiti kedua-dua suspek juga sedang dikenal pasti. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang ahli keluarga Daud yang enggan dikenali berkata, Allahyarham merupakan seorang pembekal dan pemborong ikan terkenal di daerah ini dan mang­sa tidak tidak mempu­nyai sebarang musuh.

JPN cadang memendekkan tempoh sah laku resit kad pengenalan sementara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bercadang untuk memendekkan tempoh sah laku resit kad pengenalan sementara sebagai salah satu inisiatif untuk mengurangkan kes Mykad yang tidak dituntut.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Datuk Mohd. Zahari Hasan berkata, setakat ini, hampir 160,000 Mykad yang sudah siap termasuk melebihi tempoh simpanan dua tahun masih belum dituntut di pejabat-pejabat agensi itu di seluruh negara.
Beliau berkata, tempoh sah laku resit kad pengenalan sementara selama tiga bulan tidak ditolak sebagai antara punca yang menyebabkan segelintir pemohon terlupa untuk menuntut Mykad masing-masing.
"Tempoh tiga bulan terlalu lama dan pemohon yang jarang menggunakan Mykad dalam urusan seharian mereka mungkin boleh terlupa untuk menuntut dokumen pengenalan diri yang sudah siap di pejabat JPN.
"Oleh itu, kita bercadang untuk memendekkan tempoh sah laku resit itu kepada sebulan sahaja selepas ini," katanya selepas merasmikan Hab Percetakan Mykad JPN Terengganu di UTC Terengganu di sini hari ini.
Individu yang memohon dokumen pengenalan diri baharu atau penggantian akan menerima resit kad pengenalan sementara dan boleh digunakan untuk urusan seharian termasuk berurusan dengan agensi kerajaan sehinggalah Mykad dituntut atau tiga bulan dari tarikh ia dikeluarkan. - K! ONLINE

Saturday, July 29, 2017

Kipre berazam untuk robek gawang Selangor malam ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

AWANG import Terengganu, ­Tchetche Kipre berazam untuk terus menjadi ‘mesin gol’ bagi membantu skuad Penyu mengatasi Selangor pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pemain kelahiran Ivory Coast tersebut berkata, kejayaannya meledak empat gol daripada tiga perlawanan berturut-turut Liga Premier sebelum ini telah meningkatkan keyakinannya untuk terus memburu jaringan.

“Saya tekad untuk mempamerkan aksi terbaik bagi memberi sumbangan bermakna kepada pasukan.

“Selain melangkah ke Liga Super pada musim depan, saya percaya pe­ngurusan (Terengganu) juga menyasarkan untuk mara sejauh mungkin dalam saingan Piala Malaysia musim ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Kipre berkata, dia percaya peluang skuad Penyu untuk melepasi perebutan dalam kumpulan D bakal cerah sekiranya mampu menumbangkan Selangor malam ini.

Sementara itu, pengendali Terengganu, Irfan Bakri Abu Salim berkata, skuad kendaliannya mencari kemena­ngan sulung selepas sekadar mencatat tiga kali seri pada saingan awal Kumpulan D, Piala Malaysia.

Begitupun, Terengganu yang me­ngutip tiga mata masih berpeluang untuk mara ke pusingan seterusnya ke­rana tidak berada jauh di belakang dua pasukan teratas kumpulan iaitu Sela­ngor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masing-masing mengumpul tujuh dan empat mata.

Skuad T-Team mahu kembali meratah pasukan lawan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TEWAS dalam tiga perlawanan berturut-turut termasuk dibelasah Johor Darul Ta’zim 6-1 telah menjadikan pasukan berstatus kelab, T-Team seperti harimau terluka.

Skuad yang dikenali sebagai The Titans itu kini mahu kembali ‘mengaum’ untuk menjinakkan PKNP FC pada aksi keempat Kumpulan A kempen Piala Malaysia di Stadium Proton, Tanjung Malim, Perak hari ini.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan berkata, anak-anak buahnya tiada pilihan lain ke­cuali menumbangkan PKNP bagi menghidupkan sisa-sisa peluang untuk mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

“Setakat ini, kita hanya mampu mengutip dua mata hasil keputusan dua seri dan tewas sekali pada pusingan pertama Kumpulan A Piala Malaysia.

“Kita wajib menewaskan PKNP untuk mengutip tiga mata berharga bagi menghidupkan peluang melepasi saingan peringkat kumpulan,” kata Rahmad ketika dihubungi di Kuala Terengganu semalam.

Begitu pun, Rahmad menjelaskan cabaran anak-anak buahnya tidak mudah kerana PKNP kini ampuh sebagai pendahulu kumpulan dengan mengutip tujuh mata.

Tambah pengendali berpengalaman dari Indonesia tersebut, skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu juga berada pada tahap terbaik kerana bukan sahaja muncul antara pencabar kejuaraan Liga Premier malah terbukti telah menewaskan T-Team pada aksi sulung peringkat kumpulan sebelum ini.

“Tambah merunsingkan saya, penyerang utama, Joseph Yannick Ndjeng belum pasti dapat diturunkan kerana masih bergelut dengan kecederaan yang dialaminya pada aksi menentang PKNS FC Rabu lalu.

“Perlawanan menentang PKNP pula berlangsung pada sebelah petang (4.45 petang). Apa pun itu bukan alasan untuk kami menyerah awal tanpa memberi tentangan,” katanya

Kehadiran pelancong ke Tasik Kenyir meningkat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan terbesar di negara ini semakin menunjukkan peningkatan kedatangan pelancong dengan kehadiran 269,512 orang dalam enam bulan pertama tahun ini.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Omar Ismail berkata, statistik memberangsangkan tersebut merupakan peningkatan 8.32 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
"Ketengah menyasarkan kehadiran 750,000 pelancong dalam dan luar negara mengunjungi Tasik Kenyir menjelang akhir tahun ini. Ia peningkatan 50 peratus berbanding 500,000 pengunjung pada tahun 2016.
"Bagi menyemarakkan lagi potensi Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan yang mesti dikunjungi, Ketengah telah merancang untuk menganjurkan sekurang-kurangnya lima aktiviti dari bulan Ogos hingga Disember depan," katanya pada penutup program 'Kenali Kenyir' di Pengkalan Gawi dekat sini hari ini.
Omar berkata, acara tersebut ialah Kembara Kenyir yang akan dianjurkan pada 25 Ogos hingga 27 Ogos depan, Festival Kenyir (14 Sepetember hingga 17 September), Triathlon Antarabangsa Tasik Kenyir (29 Oktober), pertandingan Memancing Monsun ASEAN (30 November - 3 Disember) dan pertandingan Memancing Santai Tasik Kenyir (30 Disember). - K! ONLINE

10,000 tetamu meriahkan sambutan hari raya

ERAT HUBUNGAN. Lebih 10,000 penduduk menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Dataran Kuala Berang, Hulu Terengganu baru-baru ini.

Mereka disajikan dengan pelbagai juadah enak seperti nasi minyak, lemang, kambing bakar, roti jala, laksa, mi goreng dan sate.

Pengunjung disambut mesra oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Kesemua hadirin terbabit turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada artis seperti Syamel AF, Syuhada dan kumpulan kebudayaan Dendang Anak.

Friday, July 28, 2017

Buruh didakwa curi 15 helai pakaian dalam wanita

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan mencuri 15 helai pakaian dalam milik dua wanita pada Isnin lalu.

Shum Kok Fai, 28, membuat pengakuan tidak bersalah sewaktu pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Kok Fai didakwa mencuri 14 helai pakaian dalam wanita milik seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di Manir di sini.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mencuri sehelai pakaian dalam wa­nita milik seorang remaja perempuan lain berusia 18 tahun di lokasi sama.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di belakang rumah sewa dua mangsa itu pada 24 Julai lalu.

Kok Fai didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sebutan semula kes itu pada 3 Ogos depan.

Kipre selamatkan maruah Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENYERANG import, Tcheche Kipre semakin menyengat apabila meledak dua gol pen­ting bagi membolehkan Terengganu mengikat Negeri Sembilan 2-2 pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Tindakan penyudah pe­main kelahiran Ivory Coast itu bukan sahaja membolehkan Terengganu melakukan kebangkitan menakjubkan selepas ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, malah berjaya meraih satu mata berharga bagi memboleh­kan skuad Penyu kekal berada di kedudukan kedua liga.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, Kipre sentiasa meletakkan namanya sebagai penjaring dalam setiap perlawanan Liga Premier sejak dia menghasilkan jaringan sulung pada aksi menentang Perlis, 14 Julai lalu.

“Sebelum ini, dia (Kipre) sentiasa juga memberi sumbangan ber­makna sejak menyertai kami pada bulan lalu.

“Biarpun tidak menjaringkan gol, dia kerap mengucar-ngacirkan kubu pasukan lawan,” kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Pada aksi yang tertangguh selama 40 minit aki­bat hujan lebat itu, Negeri Sembilan bermula garang apabila mendahului dua gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan penyerang import, Jonathan Bele.

Begitupun, Kipre kemudian menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah apabila meledak dua gol penyamaan ma­sing-masing pada minit ke-47 dan ke-90.

Mengulas aksi ma­lam kelmarin, Irfan berkata, beliau tetap berpuas hati biarpun skuad kendaliannya sekadar mampu me­ngutip satu mata.

“Sekurang-kurangnya kami masih mempertahankan kedudukan di tempat kedua liga, berkongsi 38 mata de­ngan Kuala Lumpur (pendahulu liga) dan tetap berada dalam per­saingan untuk me­rebut slot ke Liga Super musim depan.

“Anak-anak buah saya terlalu memberi ruang kepada trio import Ne­geri Sembilan iaitu Lee Tuck, Bruno Suzuki dan Nemanja Vidic me­nguasai bahagian tengah pada babak pertama sehingga dibolosi dua gol.

“Kami telah memperbetulkan kesilapan itu pada babak kedua sehingga mampu melakukan kebangkitan,” katanya.

Terengganu mahu kekal terajui Liga Premier

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SAINGAN Liga Premier semakin hampir kemuncak­nya dengan pertembu­ngan Terengganu dan Negeri Sembilan yang kini menghuni dua kedudukan teratas di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, skuad kendaliannya tiada pilihan selain memenangi aksi penting tersebut di hadapan penyokong sendiri.

“Pertemuan menentang Negeri Sembilan esok (malam ini) pasti sengit kerana kedua-dua pasukan amat memerlukan kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan dalam liga.

“Apa pun, saya percaya para pemain berada pada tahap moral tertinggi selepas menewaskan Kuala Lumpur sekali gus merampas takhta liga baru-baru ini,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Sehubungan itu, Irfan menuntut anak-anak buahnya meneruskan aksi berdisiplin seperti yang dipamerkan sewaktu me­numbangkan Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, skuad kendaliannya tidak boleh menoleh ke belakang lagi bagi memburu tiket ke Liga Super musim depan.

“Saya berharap penyokong tegar Terengganu dapat beramai-ramai memenuhi stadium untuk menyemarakkan lagi semangat pemain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Irfan memberitahu, beliau akan menurunkan barisan pemain terkuat kecuali penyerang import, Issey Farran Nakajima yang mengalami kecederaan.

Buruh didakwa bunuh anak tiri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


SETIU - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Maajistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak tirinya yang berumur lima tahun di Felda Tenang, Pasir Akar, Besut pada akhir bulan lalu.
Rosmanan Abd. Rahman, 38, yang berpakaian lokap berwarna oren tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Muhammad Hairil Amsyar Abdul Rahman di 218, Felda Tenang, Pasir Akar, Besut pada pukul 3.30 pagi, 28 Jun 2017.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kosmo! 30 Jun lalu melaporkan Muhammad Hairil Amsyar ditemui mati dengan beberapa kesan lebam baharu dan lama pada badan dipercayai didera bapa tirinya.
Rosmanan pada mulanya mendakwa anak tirinya itu mengalami kecederaan tersebut akibat dihempap motosikal yang mereka naiki beberapa jam sebelum itu.
Begitupun, pegawai perubatan Hospital Besut yang mencurigai punca kematian kanak-kanak terbabit selepas menjumpai beberapa kesan lebam baharu dan lama pada beberapa anggota badan mangsa telah membuat laporan polis. - K! ONLINE

Thursday, July 27, 2017

LPT2 laksana sistem transaksi tol elektronik sepenuhnya pada 14 Ogos depan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dikendalikan syarikat konsesi, PLUS Expressways Berhad menerusi anak syarikatnya LPT2 Sdn. Bhd. bakal melaksanakan sistem transaksi pembayaran tol secara elektronik sepenuhnya mulai 14 Ogos depan.
Pengurus Besar LPT2 Sdn. Bhd., Husni Md. Yusuf berkata, pelaksanaan itu menjadikan LPT2 sebagai lebuh raya ke-31 dan terakhir yang menggunakan sistem pembayaran tol tanpa tunai tersebut di negara ini.
Beliau berkata, sistem transaksi secara elektronik menggunakan kad Plusmiles, Touch n Go atau Smartag berkenaan bakal melibatkan 10 plaza tol yang terdapat di LPT2 iaitu Cheneh, Chukai, Kijal, Kerteh, Paka, Dungun, Bukit Besi, Ajil, Telemung dan Kuala Terengganu.
"Buat masa ini, LPT2 dilalui oleh 14,000 pengguna yang majoritinya terdiri daripada Kelas Satu (kenderaan persendirian) setiap hari dan seramai 63.8 peratus pengguna lebuh raya ini sudah membayar tol dengan menggunakan sistem transaksi elektronik.
"Sehubungan itu, kita menjangkakan kebanyakan pengguna sudah bersedia dan pelaksanaan sistem transaksi tol secara elektronik sepenuhnya pada pertengahan bulan depan akan berjalan dengan lancar," katanya pada taklimat media berhubung pelaksanaan sistem transaksi elektronik di LPT2 tersebut di sini hari ini. - K! ONLINE

Seorang maut, enam cedera parah, kereta Perodua Alza bertembung dengan van

DUNGUN - Seorang remaja perempuan maut sementara enam lagi parah selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki bertembung dengan sebuah van jenis Toyota Hiace di Kilometer 95.8, Jalan Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Tebing Tembah, Paka dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, Wan Munirah Wan Mohamad, 15, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Turut cedera parah pemandu kereta Perodua Alza, Mohammad Faiz Ramli, 24, dan empat adiknya, Siti Zaharah Ramli, 22, Siti Nabilah Ramli, 19, Yusra Ramli, 26, dan Siti Nor Wardina Ramli, 15, serta pemandu van, Teh Cheong Hong, 24.
Wan Munirah yang merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu merupakan sahabat baik Siti Nor Wardina.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Zulkifli Mohd. Ali berkata, sewaktu kejadian, Wan Munirah dan Mohammad Faiz serta adik-beradiknya dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Kampung Tok Dir dan Kampung Titian Baru, Kuala Terengganu dari Paka dekat sini.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Alza yang dipandu Mohammad Faiz tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah van.
"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa yang duduk di tempat duduk belakang maut di lokasi kejadian manakala yang lain cedera parah," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Lukisan mural rumah kedai Jalan Banggol tarikan terbaharu di Kuala Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Bandar raya Kuala Terengganu kini mempunyai satu lagi tarikan pelancongan terbaharu iaitu lukisan mural berkonsepkan Wajah Tradisional Terengganu pada dinding deretan 13 unit premis rumah kedai di Jalan Banggol di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, kesemua lukisan mural pada setiap premis terbabit telah disiapkan oleh sekumpulan penggiat seni mural tempatan dalam tempoh sebulan bermula awal Ramadan lalu.
"Program melukis mural di bangunan lama berketinggian antara empat dan lima tingkat itu tersebut yang bukan sahaja menceriakan pesekitaran bandar raya ini malah menjadi tarikan di kalangan pelancong mendapat sokongan pihak swasta seperti dengan penajaan penuh sebanyak RM77,000.
"Ia merupakan sebahagian daripada program Seni Hias Bandar bertujuan menceriakan struktur bandar di dalam kawasan pentabdiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang telah dilancarkan sejak tahun 2015," katanya selepas merasmikan lukisan mural tersebut di sini hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Terengganu, Mohd. Zulkifli Abu Bakar. - K! ONLINE

Wednesday, July 26, 2017

Maut tersepit dalam kereta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Seorang pegawai kanan kerajaan yang sepatutnya hadir pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Taman Laut Terengganu Cawangan Besut dekat sini maut selepas kenderaan pacuan empat roda milik jabatan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 341.5, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berhampiran Felda Kerteh 2 di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, mangsa, Mohd. Zulhazwan Roslan @ Abdul Ghani (gambar kecil) yang juga Timbalan Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia Terengganu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kece­deraan parah pada kepala dan anggota badan.
Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa bersama dua lagi rakannya dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur.

Dua rakan mangsa yang juga kakitangan jabatan itu, Mohd. Fatihi Abdullah, 43, dan Muhammad Ishak, 59 tahun dilaporkan turut cedera dan dikejarkan ke Hospital Du­ngun di sini untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Du­ngun, Superintendan Ahmad Zailani Yaakob berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan jenis To­yota Fortuner yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum ter­babas dan merempuh pembahagi jalan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum me­rempuh pembahagi jalan.

“Rempuhan itu menyebabkan Toyota Fortuner itu terbalik dan remuk manakala mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,”  katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Du­ngun di sini mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mayat Mohd. Zulhazwan.

Menurut beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk bedah siasat.

Tiga lelaki dipercayai pengedar dadah diberkas polis

BESUT - Tiga lelaki yang terdiri daripada dua nelayan dan seorang buruh disyaki pengedar dadah diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut dekat sini kelmarin.
Ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 25 dan 27 tahun telah diberkas bersama kesemua dadah jenis heroin, Erimin 5 dan pil kuda yang dianggarkan bernilai RM5,023 dalam serbuan berkenaan pada pukul 8.30 malam tersebut.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, serbuan dilakukan berikutan maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh yang telah melakukan operasi pencegahan dadah di Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan beberapa hari sebelum itu.
"Pemeriksaan di dalam rumah di Kampung Beris Lampu itu telah menemui empat botol yang mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin, 65 pil dipercayai dadah jenis Erimin 5 dan empat bijil pil kuda.
"Kesemua dadah jenis tersebut dijumpai disimpan di dalam sebuah anak patung Mickey Mouse yang disorok di bawah katil di salah sebuah bilik tidur di premis berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Tuesday, July 25, 2017

Pahang terus buntu buru kemenangan

KEGAGALAN Pahang menumbang­kan pasukan berstatus kelab, T-Team pada aksi Kumpulan A kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin amat mengecewakan pengendalinya, Dollah Salleh.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, keputusan seri 1-1 dengan kelab bergelar The Titans tersebut dianggap tidak berbaloi sedangkan skuad kendaliannya telah menguasai permainan.

“Kami bertandang ke Kuala Terengganu dengan motivasi tinggi dengan sasaran untuk meraih tiga mata. Saya kecewa walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan tetapi kita gagal mencipta banyak peluang untuk menghasilkan gol.

“Sepanjang 90 minit permainan, kita cuma mampu menghasilkan dua percubaan menerusi Sumareh (Mohamadou) yang menghasilkan gol pada minit pertama dan Mohamad Ashari (Samsudin) yang sedikit tersasar pada minit ke-78,” kata Dollah ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Jaringan awal Sumareh pada perlawanan tersebut gagal dipertahankan apabila gawang Pahang bocor pada minit keenam hasil jaringan perancang T-Team, Mohd. Nor Hakim Hassan bagi gol penyamaan untuk T-Team.

Dollah berkata, rentak serangan skuad kendaliannya agak terganggu selepas penyerang import, Matheus Alves Leandro yang juga penjaring terbanyak Tok Gajah dalam kempen Piala Malaysia ini dengan tiga gol mengalami kecederaan sehingga terpaksa dikeluarkan pada minit ke-67.

Beliau berkata, keputusan seri dengan T-Team itu juga menyebabkan skuad kendaliannya buntu untuk meraih kemenangan sulung pada kempen Piala Malaysia selepas mengharungi tiga perlawanan setakat ini.

“Walaupun seri tiga kali berturut-turut, namun saya masih mempunyai keyakinan tinggi kita mampu melepasi saingan kumpulan,” katanya.

Pahang yang mengutip tiga mata kini berada di tangga kedua Kumpulan A di belakang PKNP FC yang selesa dengan tujuh mata selepas menewaskan Ne­geri Sembilan 2-0 malam kelmarin.

Tunku Ismail: Tiada orang boleh atasi undang-undang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BOLEH kritik tetapi jangan melampau.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, kritikan di luar konteks terhadap mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) menjadi alasan utama penghukuman terhadap  Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang digantung selama 18 bulan dan denda RM30,000 berkuat kuasa kelmarin.

Baginda bertitah, Dollah yang juga bekas ketua jurulatih kebangsaan didapati telah membuat tuduhan melulu kononnya pengurusan FAM mengatur perlawanan dan mutu pengadilan yang lemah pada sidang akhbar selepas aksi Liga Super, Pahang bertemu Felda United yang berakhir dengan skuad Tok Gajah  tumbang 1-2 pada 1 Julai lalu.

“Apa yang Dollah katakan seolah-olah pihak atasan mengatur perlawanan. Kalau (benar) saya mengatur perlawanan, JDT (Johor Darul Ta'zim) sudah menang Piala FA dan Piala Sumbangsih.

“Di mana datang idea dia (Dollah) tentang mengatur perlawanan itu. Boleh komen berkenaan prestasi pengadil tetapi ada perkara yang kita tidak boleh bercakap,” titah baginda kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam.

Terdahulu, Tunku Ismail mempengerusikan mesyuarat kedua Jawatankuasa FAM Sesi 2017-2021 bersama barisan kepimpinan badan induk bola sepak negara itu.

Turut hadir Timbalan Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal dan Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Tunku Ismail bertitah, semua pihak berkepentingan termasuk pemain, jurulatih dan pihak pengurusan seharusnya menyatakan kritikan terhadap penganjuran Liga M termasuk mutu pengadilan liga tempatan secara objektif dan menggunakan saluran yang betul.

Baginda bertitah, peraturan larangan mengkritik secara terbuka tanpa kebenaran hingga boleh menjejaskan nama baik persatuan seperti terdapat dalam Artikel 61 Tatatertib dibaca bersama Artikel 88 yang diguna pakai dalam kes Dollah tersebut bukan sahaja dikuatkuasakan FAM, malah badan induk bola sepak antarabangsa lain seperti Persatuan Bola Sepak England (FA).

“Tiada orang yang boleh me­ngatasi undang-undang. Peraturan tetap peraturan, semua orang kena ikut. Saya dan Tan Sri Annuar Musa (Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan) juga pernah digantung dahulu,” titah baginda.

Begitupun, Tunku Ismail bertitah, Dollah masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan bagi memohon agar hukuman penggantungan tersebut diringankan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam tempoh 10 hari mulai kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Ismail bertitah, mutu pengadilan Liga M masih lemah dan banyak yang perlu diperbaiki.

“Apa sahaja ruang dan peluang yang kita ada untuk membaiki mutu pengadilan, kita harus buat termasuk menjemput jurulatih pengadil profesio­nal luar negara untuk memberi pendedahan dan kursus kepada pengadil tempatan.

“Pada masa sama, pihak pengurusan (pasukan Liga M) pun perlu berada pada tahap tertinggi dan profesional. Jangan hanya salahkan pengadil sahaja, perlu seimbang,” titah baginda.

Tekong Vietnam didenda RM10,000 rasuah pegawai APMM

KUALA TERENGGANU – Gara-gara cuba merasuah pegawai Maritim Malaysia (APMM) dua minggu lalu, seorang tekong warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz memerintahkan demikian selepas Nguyen Van Huan, 46, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Van Huan didakwa cuba memberi suapan bernilai RM1,000 kepada pegawai APMM, Robert Teh Geok Chuan pada pukul 12.10 tengah malam, 9 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut sebagai dorongan untuk melepaskan sebuah bot nelayan yang membawa 12 awak-awak warga Vietnam tanpa dokumen pengenalan dan permit kerja sah.

Van Huan didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda 10 kali ganda nilai suapan atau maksimum RM10,000 mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Monday, July 24, 2017

Kesilapan sendiri bawa padah 
– Rahmad

KESILAPAN mudah yang dilakukan barisan pemain T-Team menjadi punca kekalahan teruk pasukan kepada skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super malam kelmarin.

Demikian akui ketua jurulatih, Rahmad Darmawan (gambar) ketika ditemui sebaik tamat perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu.

Kekalahan 1-6 itu bukan setakat mengecewakan para penyokong mereka, tetapi turut melakar sejarah hitam apabila kalah buat pertama kali dengan jumlah jaringan yang besar.

Begitupun, Rahmad kekal positif dan mahu T-Team memberi tumpuan kepada lima perlawanan akan datang.
 
“Kita telah membuat banyak kesilapan sehingga pasukan lawan menjaringkan tiga gol mudah pada separuh masa pertama dan ia amat mengejutkan.

Pada separuh masa kedua kita cuba memperbaiki kesilapan itu dan ia dilihat banyak membantu namun, ketika itu kami telah tertinggal tiga gol.  

Rahmad juga mengakui bahawa kejayaan JDT menguasai perlawanan tersebut berpunca daripada ketiadaan beberapa pemain tonggak T-Team termasuk Mamadou Samassa.
   
“Saya yakin kita masih mampu bangkit untuk memperoleh kemenangan selepas ini. Kita masih ada perlawanan dengan PKNS, Melaka United, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang,” katanya.
 
Pada perlawanan malam kelmarin, gol tunggal tuan rumah hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import Joseph Yannick Ndjeng pada minit ke-83.

Gol-gol pasukan pelawat pula disumbang oleh Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-22 dan 58,  Mohamad Ghaddar (m-40), S. Kunanlan (m-43), Mohamad Fadhli Shas (m-77) serta Gonzalo Gabriel Cabrera (m-81).

JDT berpesta gol, ratah T-Team 6-1 di gelanggang lawan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasukan berstatus kelab, T-Team mengalami mimpi ngeri apabila dibelasah juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-6 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Penyerang import, Gabriel Miguel Guerra memulakan pesta gol JDT selepas memanfaatkan hantaran Mohammad Ghaddar pada minit ke-23.
Ghaddar yang merupakan penyerang kelahiran Lebanon pula menambah gol kedua pelawat menerusi rembatan deras pada minit ke-39.
Penjaga gol T-Team, Mohd. Hafidz Romly tewas buat kali ketiga selepas terperdaya dengan tendangan lencong pemain tengah pelawat, S. Kunanlan pada minit ke-43.
Guerra terus menambah luka tuan rumah selepas meledak gol kedua peribadi dan keempat buat Harimau Selatan pada minit ke-58.
Gawang T-Team terus bocor buat kali kelima menerusi tandukan pemain pertahanan, Mohamad Fadli Mohd. Shas pada minit ke-76.
Pemain tengah import, Gonzalo Gabriel Cabrera pula melengkapkan pesta JDT apabila meledak gol keenam pada minit ke-80.
Tuan rumah yang terpaksa bermain bertahan sepanjang 90 minit perlawanan akhirnya memperolehi gol saguhati menerusi penalti yang disempurnakan penyerang import, Joseph Yannick pada minit ke-83. - K! ONLINE

Kena jel kerana beli telefon bimbit guna kad kredit milik orang lain

KUALA TERENGGANU – Seorang pengusaha katering dipenjara empat tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana menggunakan kad kredit milik orang lain empat tahun lalu.

Hukuman dijatuhkan Majistret Abdul Hayyi Salim terhadap Ahmad Saifudin Abdullah, 44, selepas didapati bersalah.

Ahmad Saifudin didakwa menyalahgunakan kad kredit Visa Gold milik Tong Kwang Yong, 44, dengan membeli sebuah telefon bimbit berharga RM2,028.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai telefon di sebuah pasar raya besar di Jalan Hiliran di sini pada pukul 12 tengah hari 24 April 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Kwang Yong yang menyedari kehila­ngan kad kredit miliknya itu telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu di sini pada 11 Jun 2013 sebelum semakan dengan pihak bank mendapati kad kredit itu telah digunakan tertuduh.

Rumah baru sempena Aidilfitri

AIDILFITRI kali ini amat makna kesyukuran yang amat besar buat keluarga Abdul Roni Ismail, 44, apabila dapat beraya di rumah sendiri.

Rumah yang mempunyai tiga bilik berkenaan merupakan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) kepada keluarga tersebut yang tergolong dalam kategori asnaf miskin.

Abdul Roni berkata, sebelum ini, dia dan isteri, Yusliza Jusoh, 39, serta enam anaknya yang berusia dalam lingkungan tiga hingga 18 tahun menumpang teduh di rumah ibu mertua di Kampung Kuala Tepoh, Kuala Nerus, Terengganu sejak hampir 20 tahun lalu.

"Saya bekerja sebagai tukang cat dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan manakala isteri pula merupakan suri rumahtangga.

"Salah seorang daripada enam anak kami merupakan golongan Orang Kelainan Upaya kategori lembam manakala saya pula menghidap penyakit kencing manis," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Abdul Roni berkata, disebabkan pendapatan tidak seberapa dan niat untuk menjaga orang tua, mereka sekeluarga menetap di rumah ibu mertua tersebut sejak mendirikan rumah tangga hampir 20 tahun lalu.

Menurutnya, kematian ibu mertuanya baru-baru ini telah mendorong dia berusaha untuk memiliki rumah sendiri demi keselesaan keluarganya.

"Rumah pusaka peninggalan mertua bukan sahaja sedikit uzur malah mempunyai ramai waris.

"Saya rasa sudah masanya berusaha mencari jalan untuk memiliki rumah sendiri dan mencuba memohon bantuan dengan MAIDAM," ujarnya.

Abdul Roni berkata, dia tidak menyangka permohonan yang di buat pejabat MAIDAM di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu pada April tahun lalu telah diluluskan segera.
Dia berkata, dia dibenarkan untuk membina rumah baru itu di tapak tanah milik keluarganya di Kampung Padang Hangus, Kuala Nerus, Terengganu atas ehsan ibu dan dua saudara terdekatnya yang telah memberi persetujuan secara surat akuan bersumpah.

"Allahamdulillah MAIDAM meluluskan bantuan berjumlah RM58,000 bagi pembinaan rumah tersebut termasuk untuk kerja-kerja menambun tanah.

"Kerja-kerja penambunan tanah dan pembinaan ceracak rumah telah bermula pada bulan September tahun lalu," katanya.

Abdul Roni memberitahu, kerja-kerja pembinaan rumah berjalan lancar dan ia siap sepenuhnya termasuk penyambungan bekalan elektrik dan air pada akhir bulan Mei lalu.

Dia berkata, mereka sekeluarga kemudiannya berpindah masuk ke rumah tersebut sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

"Syukur, impian saya memiliki rumah sendiri untuk keselesaan anak-anak tercapai dengan bantuan ikhlas daripada MAIDAM.

"Ia hadiah paling berharga buat saya sekeluarga apatah lagi kebetulan kami dapat memasuki rumah itu pada bulan Syawal yang mulia ini," katanya.

Abdul Roni berkata, selain pembinaan rumah baru secara percuma tersebut, mereka sekeluarga turut menerima bantuan sara hiudp berjumlah RM3,000 daripada MAIDAM.

Menurutnya, rumah baru itu juga bagaikan sinar harapan buat dia untuk mengubah nasib keluarga.

Sunday, July 23, 2017

T-Team bernasib baik – Rahmad

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BIARPUN gagal menampilkan aksi terbaik, pasukan berstatus kelab, T-Team tetap lega kerana masih mampu mencuri satu mata selepas terikat seri 1-1 de­ngan Pahang pada aksi peringkat Kumpulan A kempen Piala Malaysia 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan berkata, anak-anak buahnya seakan hilang tumpuan dan tidak bermain mengikut strategi yang telah ditetapkan untuk perlawanan tersebut.

“Segalanya bagaikan tidak menjadi malam ini (kelmarin). Saya tidak pasti sama ada kekalahan 1-5 kepada Felda United pada saingan Liga Super tempoh hari masih mengganggu mereka.

“Lagipun ini bukan skuad terbaik kerana beberapa pemain seperti (Joseph) Yannick kurang cergas tetapi terpaksa juga diturunkan kerana kita sudah tiada pilihan,” kata Rahmad ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, gawang pasukan T-Team bocor dalam tempoh 51 saat menerusi rembatan padu penyerang utama Pahang, Sumareh Mohamadou.

Begitupun, pasukan yang dikenali sebagai The Titans itu berjaya bangkit untuk menja­ringkan gol penyamaan menerusi pemain te­ngah, Mohd. Nor Hakim Hassan pada minit keenam.

Rahmad berkata, biarpun tidak cergas seratus peratus, Yannick dilihat berusaha sedaya upaya untuk mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Pahang sepanjang perlawanan tersebut.

Pengendali berpe­ngalaman dari Indonesia itu memberitahu, penyerang kelahiran Cameroon tersebut kurang mendapat bantuan daripada rakan-rakan sepasukan sehingga menyebabkan usahanya untuk membocorkan gawang pasukan lawan tidak kesampaian.

“Apa pun, perjuangan perlu diteruskan, sekecil mana pun peluang yang tinggal, ia harus dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mencapai misi melepasi peringkat kumpulan,” katanya.

Tiga generasi ahli keluarga Muda berkumpul sempena Aidilfitri

UKHWAH. Seramai 49 ahli keluarga Allahyarham Muda Abas daripada tiga generasi menyertai Hari Perhimpunan Keluarga sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pengadang Baru, Kuala Terengganu, Terengganu, baru-baru ini.

Waris sulung Muda, Mohd. Tajmuddin Shah berkata, mereka kini kebanyakan menetap di luar Terengganu seperti Lembah Klang, Kelantan dan Melaka.

Beliau yang juga Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Terengganu memberitahu, kepulangan ahli keluarga itu juga bagi meluangkan masa dengan ibu mereka, Nakesah@Rokah Jaafar, 76.

Saturday, July 22, 2017

Terengganu mahu benam Kuala Lumpur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu bakal bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini dengan misi penting untuk me­numbangkan pendahulu Liga Premier, Kuala Lumpur.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kemenangan mut­lak dengan skuad ibu kota itu amat diperlukan bagi melicinkan lagi usa­ha untuk mengesahkan slot automatik ke Liga Super 2018.

“Jika kita berjaya menewaskan Kuala Lumpur esok (hari ini), saya percaya ia turning point untuk mencapai sasaran melangkah ke Liga Super musim depan.

“Ia juga bakal menyemarakkan lagi motivasi para pemain untuk berdepan dengan satu lagi pencabar liga, Negeri Sembilan Selasa depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, beliau menaruh kepercayaan penuh kepada anak-anak buahnya untuk menjinakkan Kuala Lumpur.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, keya­kinannya turut bertambah apabila kapten pasukan, Abdul Latiff dan pemain tengah, Ismail Faruqi Ashari telah pulih sepenuhnya daripada kecede­raan dan boleh diturunkan pada aksi penting tersebut.

“Pada masa sama, saya ingatkan para pemain agar berhati-hati supaya tidak terpedaya dengan taktikal Kuala Lumpur yang mempunyai barisan pemain import berkualiti,” katanya.

T-Team tempang hadapi JDT

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

T-TEAM yang dikejutkan dengan kekalahan 1-5 kepada Felda United pada saingan Liga Super minggu lalu, kini berada dalam keadaan tempang.

Situasi tersebut ternyata meresahkan pengendalinya, Rahmad Darmawan yang sedang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Menurut Rahmad, berkemungkinan besar skuad kendaliannya akan melayan JDT tanpa khidmat tiga tonggak import mereka iaitu Abdoulaye Maiga dan Joseph Yannick yang masih belum pulih daripada kecederaan serta sedang menjalani penggantungan perlawanan.

“Sebelum ini, kita sudah kehilangan Mamadou Samassa (penyerang utama) akibat kecederaan ligamen kaki sehingga akhir musim ini.

“Ketiadaan ketiga-tiga tonggak import itu telah memaksa saya untuk memaksimumkan potensi pemain tempatan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan tiga pemain berkenaan pada aksi menentang JDT malam esok (ini),” kata Rahmad ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Rahmad berkata, berdasarkan situasi semasa, beliau bakal mengubah formasi skuad kendaliannya dan diharap dapat membuahkan hasil memuaskan pada aksi malam ini.

Begitu pun, pengendali berpengalaman dari Indonesia itu menegaskan, kepinca­ngan itu tidak bermaksud T-Team akan memberi laluan mudah kepada JDT yang kini terlalu ampuh di persada Liga Super.

“Saya percaya dengan kemampuan anak-anak buah saya dan yakin mereka bukan sahaja tidak gentar dengan reputasi hebat JDT, malah akan bermain dengan semangat juang yang tinggi.

“Beraksi di laman sendiri di hadapan penyokong tegar juga pasti memberi motivasi tambahan kepada pemain-pemain saya untuk mencipta kejutan,” katanya.

Rahmad berkata, beliau juga yakin anak-anak buahnya akan memberi kesukaran kepada JDT pada aksi di gelanggang keramat mereka itu seperti yang telah dilakukan ke atas Kedah, Perak, Selangor dan Pahang sebelum ini.

APMM tahan dua bot nelayan Vietnam, hasil laut RM1.5 juta dirampas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot nelayan warga Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram kira-kira 105 batu nautika dari Kuala Kemaman dekat sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 9.30 pagi itu, dua tan ikan dan setan sotong kering berjaya dirampas bersama 10,000 liter minyak diesel di dalam kedua-kedua bot nelayan berkenaan yang nilainya dianggarkan RM1.5 juta.

Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Muhamad Rezal Kamal Bashah berkata, sebuah kapal peronda APMM telah terserempak dengan dua bot nelayan Vietnam terbabit sewaktu mengadakan rondaan sempena Ops Pagar Laut di perairan itu.

"Sebaik menyedari kehadiran kapal peronda APMM, suspek-suspek cuba melarikan diri dengan memecut lajut bot mereka selain memotong tali pukat yang sedang dilabuhkan.

"Begitupun, kapal peronda APMM bertindak cekap memintas kedua-dua bot itu tidak lama kemudian," katanya pada sidang akhbar di Pengkalan Maritim Kemaman di sini hari ini.-K Online!

Friday, July 21, 2017

KPDNKK sasar 500,000 ahli Friends of KPDNKK menjelang akhir tahun ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


DUNGUN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasar 500,000 keahlian skuad pengguna, Friends of KPDNKK menjelang akhir tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, setakat ini, keahlian skuad sukarelawan yang berperanan membantu kementerian dalam isu kepenggunaan itu kini sudah berjumlah 200,000 orang di seluruh negara.
"Buat masa ini, pengguna di Terengganu paling ramai mendaftar sebagai ahli Friends of KPDNKK dengan keanggotaan seramai lebih 20,000 orang.
"Kita harap lebih ramai lagi pengguna di seluruh negara mendaftarkan diri bagi membantu KPDNKK menjadi mata dan telinga dalam isu kepenggunaan," katanya selepas melancarkan skuad Friends of KPDNKK peringkat Terengganu di Arena Square, Kuala Dungun di sini hari ini. - K! ONLINE

Sambutan Hari Raya Utusan Melayu cawangan Terengganu meriah

MESRA. Seramai 200 kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan Melayu) cawangan Terengganu memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Loji Percetakan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu
baru-baru ini.

Majlis yang menjadi tradisi tahunan tersebut bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kakitangan Utusan Melayu pelbagai jabatan di negeri pantai timur tersebut pada bulan yang mulia ini.

Mereka disajikan dengan pelbagai juadah enak seperti kambing panggang, nasi dagang, nasi beriani, laksa, pulut kuning, rendang ayam dan nasi impit.

7,000 penjawat awam Terengganu beraya bersama

MERIAH. Seramai 7,000 penjawat awam Terengganu menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Kelab Wisma Darul Iman di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail turut meluangkan masa memeriahkan majlis tersebut bagi mengeratkan hubungan antara penjawat awam negeri sempena Syawal.

Para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah seperti mi jawa, lemang, mi soto, nasi dagang, rendang, sate dan kuih-muih serta buah-buahan sambil dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan lawak jenaka.

Thursday, July 20, 2017

Ops. Pagar Laut berjaya tahan 87 nelayan asing, rampas RM34 juta hasil laut, bot di Pantai Timur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Ops Pagar Laut oleh penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) di perairan Terengganu yang berakhir baru-baru ini berjaya menahan seramai 17 bot nelayan asing yang disyaki mencerobohi perairan negara.
Pengarah Maritim Wilayah Timur, Datuk Mamu Said Alee berkata, operasi yang dilancarkan dalam tempoh sebulan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu turut berjaya merampas hasil laut dan bot berjumlah kira-kira RM34 juta.
Beliau berkata, sebanyak 600 pemeriksaan terhadap bot nelayan dilakukan oleh pasukan penguat kuasa APMM di perairan Terengganu sepanjang pelaksanaan Ops Pagar Laut dari 10 Jun hingga 9 Julai lalu.
"Seramai 87 nelayan asing berusia dalam lingkungan 21 hingga 61 tahun yang kebanyakannya merupakan warga Vietnam telah berjaya ditahan dalam operasi terbabit.
"Kesemua mereka didapati bukan sahaja tidak mempunyai dokumen perjalanan sah malah tidak mempunyai permit kerja dan melanggar syarat penangkapan ikan di perairan negara," katanya.
Beliau berkata dekimian selepas menyaksikan majlis serah tugas antara Pengarah Maritim Terengganu antara Kepten Maritim Zainolabidin Jusoh dan Kepten Maritim Rahim Ramli di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

20,000 meriahkan Rumah Terbuka MB Terengganu

BERMESRA. Seramai 20,000 tetamu memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Kehadiran tetamu terbabit dari seluruh negeri sejak pukul 11 pagi disambut mesra oleh Ahmad Razif dan isterinya, Toh Puan Halina Zakaria serta ahli keluarganya.

Mereka disajikan dengan pelbagai juadah enak seperti nasi minyak, nasi beriani, lemang, ketupat, keropok lekor dan kambing panggang selain kanak-kanak turut menerima duit raya daripada Ahmad Razif.

Wednesday, July 19, 2017

Wanita rompak rakan sekerja dihukum

KUALA TERENGGANU – Seorang pekerja sebuah pusat semaian pokok hiasan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah atas pertuduhan rompakan dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita di Kampung Belukar Jambu di sini tiga bulan lalu.

Hakim Rofiah Mohamad turut me­ngenakan hukuman denda RM7,000 terhadap Norjahan Abdul Tajol, 35, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Beliau memerintahkan wanita terbabit menjalani hukuman penjara tambahan selama 10 bulan jika gagal membayar denda. Norjahan yang diwakili peguam bela, Muhammad Ramlan Taib dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd. Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, Norjahan didakwa melakukan rompakan dan menyebabkan kecederaan secara sengaja terhadap Sarifah Ibrahim, 53, yang juga rakan sekerjanya di rumah mangsa di Kampung Belukar Jambu di antara pukul 2 dan 3 petang pada 14 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahah.

Kosmo! 15 April lalu me­laporkan Sarifah yang terkejut melihat ibunya, Rokiah A. Rahman, 84, dalam keadaan terlentang selepas pulang daripada kerja tiba-tiba di­serang suspek yang bersembunyi di belakang sebuah almari dengan menggunakan kuali pemanggang.

Serangan itu menyebabkan berlakunya pergelutan antara mereka sebelum suspek akhirnya berjaya diberkas dengan bantuan penduduk kampung yang menyedari kejadian tersebut.

T-Team ikat Pahang 1-1 di gelanggang sendiri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasukan berstatus kelab, T-Team berjaya mengikat Pahang 1-1 pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Pahang mendahului menerusi ayam tambatannya, Sumareh Mohamadou seawal 51 saat selepas wisel perlawanan dibunyikan.

Tersentak dengan gol itu, T-Team kembali bangkit dan berhasil menjaringkan gol penyamaan menerusi pemain tengah, Mohd. Nor Hakim Hassan pada minit ke-6.

Sumareh berpeluang meletakkan pasukan pelawat kembali di hadapan pada minit ke-35 namun jaringan dibatalkan pengadil, Mohd. Amirul Izwan Yaacob kerana didapati berada dalam kedudukan offside.

Pemain import, Dilshod Sharofetdinov pula hampir menemui sasaran pada minit ke-81 namun tandukannya tersasar melepasi palang.

Selepas tiga perlawanan, Pahang yang mengutip tiga mata berada di tangga kedua manakala T-Team di tangga ketiga dengan dua mata dalam kumpulan A Piala Malaysia.