Translate

Saturday, June 3, 2017

Terengganu gugur Falcone, Turaev

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUA tonggak import Terengganu, Federico Falcone dan Lut­fulla Turaev sah digugurkan daripada skuad Penyu dan bakal digantikan tidak lama lagi pada jendela perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) yang telah bermula sejak 15 Mei lalu.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kedua-dua pemain yang masing-masing berasal dari Argentina dan Uzbekistan tersebut telah ditamatkan kontrak mereka pada Jumaat lalu.

“Kami mengambil keputusan untuk melepaskan Falcone dan Turaev setelah mereka gagal memberi sumbangan bermakna sejak menyertai pa­­sukan pada awal musim.

“Sebelum ini kita telah memberi kata dua kepada kedua-dua pemain itu bagi meningkatkan prestasi tetapi persembahan mereka masih belum mencapai tahap dikehendaki sehingga jendela kedua perpindahan pemain dibuka baru-baru ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Irfan berkata, Falcone dan Turaev kini berstatus pemain bebas dan mereka boleh memi­lih mana-mana pasukan baharu.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga bekas pe­ngendali Felda United memberi­tahu, pengurusan Persatuan Bola Sepak Ne­geri Terengga­nu (PBNT) telah mengenal pasti dua pemain import baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Falcone dan Turaev.

“Kedua-dua mereka bermain di posisi serangan. Seorang akan bertindak sebagai penye­rang utama dan seorang lagi sebagai pembantunya,” katanya.

Begitupun, Irfan enggan mendedahkan identiti dua pemain itu, sebaliknya memberi bayangan bahawa mereka tidak beraksi dalam Liga M dan salah seorang daripadanya berasal dari sebuah negara di Afrika.

Sebelum ini, Falcone, 27, menyertai Terengganu dengan reputasi gah sebagai penyerang berbisa kelab Valletta FC yang beraksi di Liga Premier Malta sekadar mampu meledak tiga gol daripada 13 penampilan dalam Liga Premier dan Piala FA.

Turaev pula yang pernah beraksi bersama Felda United sewaktu dibimbing Irfan musim lalu juga gagal memainkan peranan berkesan sebagai perancang skuad Penyu.

Ekoran penyingkiran kedua-dua pemain itu, Terengganu mengekalkan dua pemain import iaitu Issey Farran Nakajima dan Lazaro yang bermain di posisi serangan dan pertahanan.

No comments:

Post a Comment