Translate

Thursday, June 8, 2017

Padah palsukan sijil nikah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perbuatan tiga lelaki termasuk dua kakita­ngan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerima rasuah untuk mengeluarkan surat dan kad perakuan nikah palsu setahun lalu berbalas apabila mereka dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz memutuskan hukuman tersebut selepas Mohd. Yazuan Yatim, 32, Mohd. Raduwan Abu Bakar, 44, dan Eirman Yusdie Ahmad Hanafiah, 35, mengubah pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes.

Beliau turut mengarahkan Eirman Yusdie yang menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu memalsukan rekod perkahwinan dikenakan tambahan denda RM10,000. Kesemua tertuduh membayar denda yang dikenakan dan mereka menjalani hukuman penjara di Penjara Marang.

Terdahulu, Mohd. Yazuan dan Mohd. Raduwan yang merupakan pembantu operasi JHEAT serta Eirman Yusdie yang bekerja sendiri membuat pengakuan tidak bersalah sewaktu kes ter­babit pertama kali disebut pada 26 Oktober tahun lalu.
Mohd. Yazuan dan Mohd. Raduwan masing-masing menghadapi satu pertuduhan manakala Eirman Yusdie pula berhadapan dengan dua pertuduhan berhubung pengeluaran surat perakuan dan kad nikah palsu untuk pasangan Muhammad Hasleezam Sabarudin dan Nurzahidah Yacop.

Tertuduh pertama, Mohd. Yazuan didakwa menerima rasuah RM1,300 daripada tertuduh ketiga yang disampaikan oleh Mohd. Raduwan sebagai upah menye­rahkan surat dan kad nikah palsu tersebut di Medan Selera Mydin Mall di sini pada pukul 5.35 petang 19 Jun tahun lalu.

Tertuduh kedua, Mohd. Raduwan pula didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada Muhammad Hasleezam sebagai upah untuk menyerahkan dokumen serupa di lokasi dan hari yang sama tetapi pada pukul 12.30 tengah hari.

Eirman Yusdie didakwa turut menerima suapan berupa RM1,300 daripada tertuduh pertama sebagai upah untuk menyediakan dan menyerahkan dokumen berkenaan di Warung Pak Maidin, Pantai Batu Burok di sini pukul 8.40 malam hari yang sama.
Dia juga menghadapi pertuduhan kedua memalsukan rekod perkahwinan Mohd. Hasleezam dan Nurzahidah dengan memalsukan surat perakuan dan kad nikah seolah-olah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Pahang di Kampung Paloh dan Kedai Iklan SS Aniwarna Enterprise, Jalan Sultan Omar di sini pada Mei dan Jun lalu.

Kesemua pertuduhan bagi tertuduh pertama, kedua dan ketiga didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Kosmo! pada 21 Jun 2016 me­laporkan, tiga lelaki direman oleh SPRM bagi membantu siasatan kes sindiket pengeluaran sijil dan akuan nikah palsu pasangan berkahwin di negara jiran.

No comments:

Post a Comment