Translate

Friday, June 2, 2017

Lintasan pejalan kaki 3D pertama

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kewujudan lintasan pejalan kaki tiga dimensi (3D) di pekarangan medan selera berkonsep kabin, Dapo Pata, Tok Jembal di sini sejak Selasa lalu mendapat perhatian ramai terutama dalam kala­ngan pelancong.

Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abd. Jalil berkata, lintasan itu merupakan tarikan pelancongan ter­baru yang mahu diperkenalkan di daerah ber­kenaan.

“Ia merupakan inisiatif Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Nerus untuk meningkatkan daya penarik dalam kalangan pengunjung ke daerah ini.

“Lokasi Dapo Pata dipilih kerana ia merupakan antara kawasan tumpuan pelancong di Kuala Nerus dan kita ga­lakkan mereka bergambar de­ngan lintasan penjalan kaki 3D yang pertama di Terengganu tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di sini semalam.

Tengku Farouk Hussin berkata, projek membuat lintasan pejalan kaki 3D di jalan berkenaan yang bermula pada Isnin lalu memakan masa dua hari untuk disiapkan.

Beliau berkata, lintasan pejalan kaki yang menggunakan cat putih dan hitam itu dilukis oleh artis tempatan, Hatta Hamzah dengan kos minimum.
“Hatta juga sebelum ini terlibat dalam projek lukisan mural di bangunan tempat letak kereta Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu.

“Selain mahu mewujudkan tarikan pelancongan terbaru, projek lintasan pejalan kaki 3D ini juga merupakan medium kami untuk menghargai bakat pelukis tempatan,” katanya.

Tengku Farouk berkata, pihaknya juga bercadang untuk menambah dua lagi lintasan pejalan kaki 3D sama di kawasan Pantai Teluk Ketapang di sini yang juga salah satu lokasi tumpuan ramai di daerah ini pada masa terdekat.

No comments:

Post a Comment