Translate

Sunday, June 4, 2017

Jambatan Pulau Sekati mula dibuka


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Fasa pertama Jambatan Pulau Sekati yang menghubungkan bandar raya ini dengan Kuala Nerus mula dibuka kepada pengguna semalam.

Laluan sepanjang tiga kilometer itu menghubungkan Pulau Sekati yang berada di tengah-tengah Sungai Terengganu ke Losong dan Paloh di sini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, ia merupakan satu lagi laluan alternatif untuk orang ramai ke pusat bandar dengan perjalanan yang lebih cepat dan selesa.

Menurut beliau, pembukaan sebahagian daripada jambatan tersebut dapat memberikan kelegaan kepada pengguna terutama menjelang Aidilfitri.

“Laluan fasa kedua sepanjang tiga kilometer ke Banggol Tuan Muda dan Jeram Tok Kong, Manir di sini pula akan dibuka 19 Jun ini.

“Keseluruhan projek Jambatan Pulau Sekati sepanjang enam kilometer ini melibatkan peruntukan sebanyak RM245 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani dokumen penyerahan projek jambatan itu antara kontraktor utama, Zainal Shariff Sdn. Bhd. (Zainal Shariff) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di sini semalam.

Ahmad Razif berkata, jambatan itu juga akan mempunyai akses sehingga ke plaza tol terakhir Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kampung Gemuroh, Kuala Nerus.

Menurut beliau, projek jambatan baharu itu turut akan merancakkan pembangunan di Pulau Sekati yang selama ini dihubungkan dengan jambatan kayu yang dibina pada 1990-an.

No comments:

Post a Comment