Translate

Friday, May 12, 2017

Skuad Terengganu tagih sokongan peminat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

ANDAI mahu melihat Terengganu melangkah bergaya ke final Piala FA musim ini, para penyokong setia pasukan tersebut harus membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam esok.

Sokongan serta so­rakan mereka amat ditagih bagi menyemarakkan lagi semangat barisan pemain skuad Terengganu yang akan turun membuat perhitungan dengan Kedah pada aksi separuh ak­hir kedua Piala FA.

Pada aksi separuh akhir pertama di Alor Setar, 30 April lalu, Terengganu tewas 0-1, namun kelebihan yang dimiliki Kedah itu tidak sama sekali melunturkan semangat skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu.

Terengganu cukup kental untuk ditewaskan di gelanggang sendiri, maka para penyokong setia mereka harus memainkan peranan untuk memberi sokongan terhadap perjuangan skuad Penyu itu.

Kapten Terengganu, Abdul Latif Suhaimi berkata, biarpun ketinggalan satu gol kepada pasukan lawan, mereka tetap yakin untuk mengubah keputusan tersebut, sekali gus melangkah ke pentas akhir piala berprestij itu selepas kali terakhir melakukannya pada 2011.

“Saya percaya ketua jurulatih (Irfan Bakti) ada ramuan tersendiri untuk membawa Terengganu mara ke pentas akhir. Kebetulan, sewaktu kami menjulang Piala FA enam tahun lalu, skuad Terengganu ketika itu turut dibimbing Irfan.

“Kami berjanji untuk mempamerkan semangat juang tinggi pada aksi separuh kedua nanti seperti mana yang telah dibuktikan sepanjang saingan Liga Premier sebelum ini,” kata Abdul Latif ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Abdul Latif berkata, beliau percaya walaupun tewas 0-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Kedah tempoh hari, peluang buat mereka bangkit masih belum tertutup rapat.

Perancang utama skuad Penyu itu berkata, misi terpenting mereka pada aksi malam esok ialah memburu gol awal bagi mengimbangi kelebihan yang kini dimiliki skuad Helang Merah.

“Kami berharap para penyokong tegar Terengganu dapat me­menuhi stadium pada malam Sabtu ini (esok) kerana sorakan keramat mereka sebagai pemain ke-12 dalam pasukan, mampu menyemarakkan semangat kami untuk terus menjulang maruah negeri.

“Saya secara peribadi telah bersedia dari segi mental dan fizikal, malah teruja untuk membantu pa­sukan. Apatah lagi sewaktu aksi separuh akhir pertama, saya tidak dapat diturunkan kerana mengalami penggantungan satu perlawanan,” katanya.

No comments:

Post a Comment