Translate

Monday, May 22, 2017

Pekerja pelantar minyak tengah tunggu bas ekspres kena samun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja pelantar minyak kerugian lebih RM1,000 selepas disamun sekumpulan lelaki di Jerteh Souq, Jerteh, Besut semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.45 malam itu, pemuda berusia 19 tahun yang menetap di Taman Seratus, Kuala Besut, Besut itu kehilangan telefon bimbit jenama Lenovo, wang tunai RM1,000, kad ATM, Mykad dan beberapa dokumen kerja.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang baru keluar dari sebuah tandas Jertih Souq telah didatangi seorang lelaki.
"Lelaki itu tiba-tiba menekup muka mangsa dengan sehelai baju sebelum memaksa dia memasuki sebuah kereta yang diletakkan berhampiran bangunan itu.
"Mangsa memberitahu dua lelaki lain berada di dalam kereta terbabit. Dia juga mendakwa telah dipukul sebelum dipaksa untuk menyerahkan semua barang berharganya kepada ketiga-tiga penjenayah terbabit sebelum ditolak keluar dari kereta tersebut," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Tokoh Guru Terengganu derma wang untuk iftar di Masjidilharam

KUALA NERUS – Bekas Guru Cemerlang Sains Gred Khas C, Hamzah Othman, 61, dinobatkan sebagai Tokoh Guru Terengganu 2017 semalam.

Bapa kepada enam anak itu menerima hadiah wang tunai RM6,000, plak, medal, tafsir al-Quran, sijil dan sepersalinan baju Melayu pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu kali ke-46 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini.

Hamzah turut mendapat hadiah peribadi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman yang menaja beliau dan isteri mengerjakan umrah.

Hamzah berkata, beliau berniat untuk mendermakan wang tunai RM6,000 itu untuk majlis iftar jemaah umrah di Mekah pada bulan Ramadan ini.

“Saya akan menunaikan umrah selama sebulan dan akan berangkat ke Tanah Suci pada 26 Mei ini.

“Saya berniat mendermakan wang tunai kemenangan sebagai iftar kepada jemaah yang mengerjakan ibadah umrah di Masjidilharam nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, pemilihan Hamzah yang telah bersara awal pada tahun 2010 sebagai menghargai sumbangan dan kegigihannya dalam memperkasakan mata pelajaran Sains.

“Beliau telah mencipta Kaedah Pecutan Kognitif Sains yang merupakan pendekatan inovatif pemahaman subjek berkenaan yang masih dimanfaatkan oleh pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dan Pentaksiran Tingkatan Tiga sehingga kini.

“Sebelum ini, beliau juga pernah meraih anugerah Inovatif Kementerian Pendidikan pada tahun 2001 selain dinobat sebagai Guru Inovatif Terengganu sebanyak tujuh kali pada tahun 1993, 1994, 1995, 1997, 1999 dan 2001,” katanya.

Dakwaan pokok Ceiba Chodatii, mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus telah mati disangkal

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya pokok benang sutera atau nama saintifiknya, ceiba chodatii dianggarkan berharga RM180,000 yang menjadi mercu tanda unik di Bandar Baharu Kuala Nerus sejak lima bulan lalu telah mati.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pokok gergasi berasal dari Brazil itu sebenarnya hanya mengalami keguguran daun berikutan musim panas terik yang melanda negeri Pantai Timur sejak kebelakangan ini.
"Saya amat terkejut kerana ingatkan isu (penanaman pokok ceiba chidatii) ini sudah selesai. Dulu dakwa kerajaan negeri (Terengganu) bazirkan duit membeli pokok tersebut kini tuduh (pokok) sudah mati pula.
"Apa motif cuba menimbulkan isu ini semula sedangkan pokok tersebut tidak ada kena-mengena dengan kerajaan negeri, ia ditanam kontraktor utama (Bandar Baru Kuala Nerus)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kononnya pokok benang sutera terbabit yang ditanam pada 22 Disember lalu telah mati baru-baru ini berikutan keadaan kesemua daunnya yang gugur baru-baru ini. - K! ONLINE

Sunday, May 21, 2017

Nelayan Vietnam tangkap gamat secara haram ditahan APMM

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur berjaya mematahkan kegiatan sekumpulan nelayan warga Vietnam yang menangkap 50 kilogram (kg) gamat secara haram di perairan Kertih dekat sini Jumaat lalu.
Kesemua tekong dan awak-awak nelayan asing berusia dalam lingkungan 26 dan 57 tahun itu berjaya ditahan selepas hampir sejam dikejar kapal peronda APMM pada pukul 10.30 pagi.
Pengarah Maritim Pangkalan Kemaman, Mohd. Marmizi Mohd. Nor berkata, kapal peronda APMM yang sedang melakukan rondaan rutin telah terserempak bot dinaiki nelayan Vietnam tersebut pada kedudukan 13 batu nautika dari Tanjung Labohan, Kertih dekat sini.
"Sewaktu ditemui kesemua nelayan asing berkenaan sedang asyik menangkap gamat di perairan itu.
"Mereka tidak memberi kerjasama kepada pasukan penguatkuasa APMM sebalik bertindak melarikan diri denga memecut laju bot namun berjaya dipintas kira-kira sejam kemudian," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

1,500 PKS bakal sertai DFTZ

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan seramai  1,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan disenaraikan dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia Digital Economy Corporation Sdn. Bhd. (MDEC) dan SME Corp. Malaysia (SME Corp.) telah mengenal pasti sebahagian daripada PKS yang berpotensi untuk menyertai zon yang bakal menggunakan platform e-dagang Alibaba iCloud milik jutawan Internet dari China, Jack Ma.

“DFTZ akan mula beroperasi pada 1 Oktober depan.

“Pemilihan usahawan akan dilakukan secara inklusif melibatkan pelbagai jenis produk dan kawasan di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Minggu PKS peringkat kebangsaan di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Mustapa menjelaskan, terdapat tiga kriteria asas telah ditetapkan bagi pemilihan tersebut iaitu usahawan terbabit perlu menetapi definisi PKS, mempunyai kemampuan untuk mengeksport dan memiliki sijil yang diperlukan bagi perdagangan digital rentas sempadan tersebut.

Tambah beliau, pelaburan Alibaba Group menerusi DFTZ merupakan pemangkin yang cukup signifikan kepada kemajuan PKS tempatan untuk membantu produk-produk keluaran industri terbabit menembusi pasaran global.

“Negara China sendiri merupakan pasaran yang cukup besar. Buat masa ini, antara produk PKS tempatan yang mendapat sambutan hangat di pasaran China adalah produk minuman siap sedia dan makanan berasaskan durian," katanya.

Saturday, May 20, 2017

AirAsia lancar laluan Kuala Terengganu-Johor Bahru bermula 22 Jun ini

KUALA TERENGGANU – AirAsia Bhd. (AirAsia) melancarkan laluan baharu dari Kuala Terengganu ke  Johor Bahru bermula 22 Jun ini.

Ahli Lembaga Pengarah AirAsia, Datuk Aziz Bakar berkata, buat permulaan, perkhidmatan tersebut akan menawarkan kekerapan tiga penerbangan seminggu.

“Jabatan Penerbangan Awam te­lah meluluskan jadual penerbangan kedua-dua hala antara Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum perjanjian persefahaman dengan kerajaan negeri Terengganu yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman.
Aziz menjelaskan, AirAsia juga akan mengambil inisiatif menyediakan kemudahan bas ulang-alik dari LTAS ke Singapura bagi menarik pelancong dari negara jiran tersebut menggunakan perkhidmatan penerbangan Johor Bahru-Kuala Terengganu berkenaan.

“Kemudahan bas ulang-alik itu juga disasarkan kepada pelancong China yang transit di Singapura. Berdasarkan maklum balas, pengunjung dari negara tersebut gemar bercuti di pulau peranginan di  ne­geri ini seperti Pulau Perhentian serta Pulau Redang dan pengenalan laluan baharu ini memudahkan akses mereka ke Terengganu,” ujarnya.

Friday, May 19, 2017

Pokok Ceiba chodatii botak akibat cuaca panas

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya pokok benang sutera atau nama saintifiknya, Ceiba chodatii yang dianggarkan berharga RM180,000 dan menjadi mercu tanda unik di Bandar Baharu Kuala Nerus sejak lima bulan lalu telah mati.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pokok gergasi berasal dari Brazil itu sebenarnya hanya mengalami keguguran daun berikutan musim panas terik yang melanda negeri Pantai Timur sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Penge­rusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Rosli Othman berkata, berdasarkan maklumat daripada kontraktor landskap terlibat, keguguran daun pokok Ceiba chodatii berkenaan merupakan proses normal bagi pokok yang  dipindahkan dari nurseri ke tapak berikutan faktor cuaca.

Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati pro­ses pertumbuhan semula pucuk daun pada ranting-ranting pokok itu telah bermula beberapa hari lalu dan mula mengeluarkan tunas.

Makan Konate bakal kembali perkuat jentera tengah T-Team

PASUKAN berstatus kelab, T-Team mahu ‘merujuk’ semula de­ngan ‘ayam tambatannya’ musim lalu, Makan Konate yang sebelum ini terpaksa dilepaskan akibat kecederaan bagi memperkuatkan jentera The Titans menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Kemasukan semula Konate, 26, pasti memberi khabar gembira buat peminat The Titans kerana pemain kelahiran  Mali itu telah memberi impak besar kepada kelab pada musim lepas.

Bekas pemain kelab ternama Indonesia, Persib Bandung itu bukan sahaja meledak enam gol daripada 21 penampilan, malah telah memainkan watak penting mengemudi jentera tengah T-Team sehingga mampu mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Penolong ketua jurulatih T-Team, Mohd. Azhari Salim mengesahkan Konate merupakan salah seorang pemain yang ingin diikat pasukannya pada jendela perpindahan Liga M yang mula dibuka Isnin lalu.

“Kami sedang melakukan run­dingan dengan ejen pemain itu di Indonesia dan sekiranya mereka bersetuju dengan tawaran yang diberikan, dia bakal beraksi semula dengan skuad The Titans,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Mohd. Azhari berkata, sebelum kontrak ditandatangani, Konate masih tetap perlu diuji bagi memastikan dia benar-benar cergas dan bebas sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang dialami pemain itu pada aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang Sela­ngor akhir tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan salah seorang daripada empat pemain import sedia ada terutama yang beraksi di posisi tengah iaitu Farhod Tadjiyev, Dilshod Sherofetdinov atau Mamadou Samassa bakal digugurkan bagi memberi laluan kepada Konate.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga mengesahkan tiga pemain tempatan telah dikenal pasti untuk dibawa masuk dalam masa terdekat bagi memperkuatkan lagi skuad The Titans.

“Dua daripada mereka kini beraksi dalam saingan Liga Premier, manakala seorang lagi merupakan anak jati Terengganu yang merupakan pemain pasukan Liga Super.

“Saya belum boleh umumkan nama mereka kerana ia masih dalam peringkat rundingan yang dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya hujung bulan ini,” katanya.

Thursday, May 18, 2017

Keputusan lepas dan bebas bekas Hakim Syarie Terengganu tuduhan ingkar titah sultan dibatal

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini membatalkan keputusan melepas dan membebaskan bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu, Ismail Yahaya daripada pertuduhan menghina Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta mempertikaikan titah Sultan Terengganu dalam penstrukturan semula jawatankuasa agama itu pada tahun 2012.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menerusi Hakim Syarie Mohd. Nazri Yusof pada 1 September tahun lalu memerintahkan agar Ismail dilepas dan dibebaskan atas dua pertuduhan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie pada akhir kes pendakwaan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang diketuai Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut secara sebulat suara menerima rayuan pihak pendakwaan sekali gus mengarahkan kes tersebut di bawa semula ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk dibicarakan semula.
Sehubungan itu, panel hakim yang turut disertai Datuk Seri Dr. Md. Yusof Che Teh dan Datuk Daud Mohamad tersebut telah mengarahkan Ismail, 61, membela diri di mahkamah tersebut pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian. - K! ONLINE

1,500 perusahaan kecil dan sederhana tempatan tersenarai dalam Zon Perdagangan Bebas Digital menjelang akhir tahun ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasar kouta 1,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang ditetapkan bagi menyertai Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang bakal dilancarkan dalam tempoh lima bulan lagi dapat dipenuhi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia Digital Economy Corporation Sdn. Bhd. (MDEC) dan SME Corp. Malaysia (SME Corp.) telah mengenal pasti sebahagian daripada PKS tempatan berpotensi berkenaan bagi menyertai DFTZ yang bakal menggunakan platform e-dagang Alibaba iCloud milik jutawan Internet dari China, Jack Ma.
"DFTZ akan mula beroperasi pada 1 Oktober depan. Kita yakin kesemua 1,500 PKS tempatan yang disasarkan dapat menyertai platform dagangan rentas sempadan secara dalam talian itu menjelang hujung tahun ini.
"Pemilihan akan dilakukan secara inklusif melibatkan pelbagai jenis produk dan kawasan di seluruh Malaysia," katanya selepas melancarkan Minggu PKS peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.

Merokok seawal tahun satu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Tabiat merokok dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini semakin membimbangkan apabila kajian mendapati, seramai 1,276 murid terlibat dengan gejala tidak sihat itu pada tahun lalu.

Lebih memeranjatkan, kajian melalui program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) itu mendedahkan murid tahun satu turut terlibat dengan gejala tersebut.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar (gambar kecil) berkata, jumlah itu merupakan 1.2 peratus daripada 105,162 murid dan pelajar yang disaring melalui program penjagaan gigi kelolaan JKNT.

“Seramai 150 murid sekolah rendah terma­suk seorang murid darjah satu dan dua orang darjah dua me­ngaku mempu­nyai tabiat me­rokok.
“Selebihnya 1,126 pelajar sekolah menengah di seluruh negeri ini juga dikesan merokok menerusi program Kotak pada tahun 2016,” katanya selepas merasmikan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia peringkat Terengganu di sini semalam.

Tambahnya, setakat ini, 274 pelajar atau 21.47 peratus daripada golongan tersebut telah berjaya berhenti daripada tabiat merokok menerusi sesi kaunseling yang dijalankan oleh JKNT.

Menurut Mohammad, dianggarkan terdapat lima juta atau 23 peratus daripada penduduk berusia 15 tahun ke atas di negara ini mempunyai tabiat merokok.

“Berhentilah merokok kerana ia akan menjejaskan kesihatan gigi selain meningkatkan risiko untuk menghidap penyakit gusi, kanser mulut dan kanser lidah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Kajian Kesihatan Mulut Kebangsaan 2010 menunjukkan sembilan daripada 10 orang dewasa di Terengganu mengalami kerosakan sekurang-kurangnya dua batang gigi.

“Kajian sama juga mendapati hanya empat daripada 10 orang dewasa di negeri ini masih mempunyai gigi asli dan tidak memerlukan gigi palsu.

“Ia menunjukkan masih ramai orang dewasa di Terengganu belum mahir dalam aspek penjagaan gigi dengan hampir lima peratus daripada golongan itu tidak pernah mendapatkan rawatan pergigian,” katanya.

Wednesday, May 17, 2017

AirAsia lancar laluan baharu, Kuala Terengganu - Johor Bahru bermula 22 Jun depan


KUALA TERENGGANU - Syarikat penerbangan tambang murah tempatan, AirAsia Berhad (AirAsia) melancarkan laluan baru Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor yang bakal bermula 22 Jun depan.
Ahli Lembaga Pengarah AirAsia, Datuk Aziz Bakar berkata, buat permulaan, laluan baru antara Kuala Terengganu dan Johor Bahru tersebut akan dihubungkan dengan kekerapan tiga penerbangan seminggu.
"Jabatan Penerbangan Awam telah meluluskan jadual penerbangan kedua-dua hala antara LTSM dan LTAS pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu. Penerbangan dari LTAS akan berlepas pada pukul 1.45 petang dan dijangka tiba di LTSM pada pukul 2.50 petang.
"Penerbangan dari LTSM pula akan berlepas pada pukul 3.15 petang dan dijangka tiba di LTAS pada pukul 4.20 petang," katanya selepas menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan kerajaan negeri Terengganu yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman. - K! ONLINE

Kastam Terengganu rampas 1.2 juta rokok seludup

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu berjaya mematahkan percubaan sindiket untuk menyeludup 1.2 juta batang rokok seludup bernilai RM864,960 di Kampung Petaling, Kuala Nerus semalam.
Dalam serbuan pada pukul 10 pagi itu, pemandu lori yang membawa 6,000 karton rokok jenama League berkenaan telah bertindak meninggalkan kenderaannya di tengah jalan untuk melarikan diri selepas lebih lima kilometer dikejar pasukan penguat kuasa KDRM Terengganu.
Pengarah Kastam Terengganu, Aidid Tajuddin berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kegiatan membawa masuk rokok seludup yang akan melalui negeri ini dari Thailand pada Jumaat lalu.
"Kemungkinan mengetahui sedang diburu, pemandu lori itu dipercayai bertindak bersembunyi di sempadan Kelantan-Terengganu selama tiga hari sebelum di kesan berada di daerah Kuala Nerus pada pagi semalam.
"Walaupun menukar modus operandi dengan bergerak pada waktu siang dan melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 namun ia gagal untuk mengaburi mata pasukan penguat kuasa KDRM," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan KDRM Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Nidzam layak jadi ketua jurulatih Kedah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) tidak perlu pening kepala mencari mengganti Tan Cheng Hoe kerana pengendali sementara, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff dilihat mampu memikul tugas tersebut.

Kewibawaan jurulatih ber­usia 49 tahun itu mula terserlah selepas berjaya mencapai misi skuad Helang Merah me­langkah ke pentas akhir Piala FA 2017 pada 20 Mei ini selepas menumbangkan Terengganu menerusi agregat 4-0 pada peringkat separuh akhir.

Nidzam berkata, beliau sedia menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Kedah sekiranya mendapat kepercayaan daripada KFA.
“Setakat ini saya diamanahkan untuk memangku tugas sahaja dan terpulang kepada pihak pengurusan (KFA) untuk menilai dan menentukan masa depan saya.

“Saya tidak menjangkakan (ditawarkan jawatan sebagai ketua jurulatih) tetapi sekiranya diberi ke­percayaan, saya akan sahut cabaran itu,” kata Nidzam ketika ditemui selepas aksi separuh akhir kedua menentang Te­rengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Nidzam berkata, beliau sedar sebagai salah sebuah pasukan elit dalam Liga Malaysia, KFA sudah pastinya mahu memilih jurulatih yang mempu­nyai nama besar dan berprofil tinggi.

Sehubungan itu, bekas pembantu jurulatih Cheng Hoe tersebut menegaskan, beliau tidak terlalu memikirkannya kerana mahu memberi tumpuan penuh membimbing Kedah mengekalkan reputasi yang dimiliki pada masa ini.

“Fokus utama saya adalah untuk menjulang Piala FA pada 20 Mei nanti, sekali gus membawa pulang piala itu yang kali terakhir kami menangi pada tahun 2008,” katanya.

Kosmo! sebelum ini me­laporkan, KFA tidak menolak kemungkinan menaikkan pangkat Nidzam sebagai ketua jurulatih selepas persatuan itu menerima peletakan jawatan Cheng Hoe baru-baru ini.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar  ber­kata, keputusan tersebut bakal diambil sekiranya Nidzam dapat membuktikan kemampuannya dalam beberapa perlawanan selepas ini termasuk aksi separuh akhir kedua kempen Piala FA menentang Terengganu.

Tuesday, May 16, 2017

Kedah, Pahang 
mara ke final

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI dan MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Kedah dan Pahang mengesahkan tempat ke final Piala FA 2017.
Kedah mara selepas meleburkan impian Terengganu 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Kemaraan Pahang pula diperoleh selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kedah yang menang 1-0 pada separuh akhir pertama 30 April lalu, mara dengan agregat 4-0, manakala Pahang mara dengan kelebihan agregat 3-1.
Pada aksi separuh akhir pertama di Kuantan pada 30 April lalu, Pahang menang 1-0.

Pada aksi malam tadi, Kedah tampil dalam kelas tersendiri tanpa memberi ruang kepada pasukan tuan rumah untuk meloloskan diri.

Ia malam gemilang buat skuad Helang Merah yang menyaksikan tiga pemain importnya muncul wira selepas meledak tiga gol pada perlawanan tersebut.

Penyerang import Kedah, Liridon Krasnigi membuka jaringan buat pasukannya pada minit kelapan diikuti gol kedua oleh Ken Ilso pada minit ke-28 sebelum Sandro da Silva melengkapkan malam gemilang Helang Merah itu menerusi jaringan pada minit ke-48.

Terengganu cuba bangkit, namun tidak dibenarkan oleh Kedah untuk melancarkan asakan.

Di Paroi, gol awal Pahang menerusi jaringan pemain import, Jaewon Heo pada minit ke-6 telah membunuh rentak Negeri Sembilan walaupun skuad Hoben Jang Hoben itu dilihat tampil lebih bertenaga pada separuh masa kedua.

Begitupun, situasi agak mencemaskan seketika apabila tuan rumah, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi jaringan Bruno Suzuki tetapi kegembiraan itu tidak kekal lama kerana Pahang berjaya menambah jaringan menerusi Christie Jayaseelan pada masa kecederaan, sekali gus meranapkan impian 40,000 penyokong Negeri Sembilan yang membanjiri Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu.

Aksi final yang bakal menemukan Pahang dan Kedah akan berlangsung pada 20 Mei ini di Stadium Shah Alam.

Pemandu lori cuba rasuah polis RM50 dipenjara sehari, denda RM10,000

KUALA TERENGGANU – Gara-gara cuba merasuah seorang anggota polis, seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, V. Nanthakumar, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh turut diperintah dipenjara selama enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Nanthakumar membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba memberi suapan wang tunai RM50 kepada seorang anggota polis yang mahu menahan Md. Akkas Ali yang merupakan kelindan lori warga Bangladesh dalam sekatan jalan raya di Jambatan Sungai Limbong, Chukai, Kemaman pada pukul 5.35 petang, 27 Mac 2015.

Dia yang memandu lori membawa bahan binaan berkenaan didakwa cuba merasuah penjawat awam itu sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki warga asing itu daripada ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Strategi Helang Merah membuahkan hasil

STRATEGI skuad Kedah me­rehatkan ramai pemain utama pada aksi Liga Super menentang PKNS FC, Selasa lalu membuahkan hasil apabila mereka tampil gagah menumbangkan Terengganu malam kelmarin.

Pada aksi separuh akhir ke­dua Piala FA 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, skuad Helang Merah mudah membenam Terengganu 3-0, sekali gus melangkah bergaya ke pentas akhir dengan agregat 4-0.

Pengendali sementara Kedah, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff berkata, perancangannya merehatkan enam pemain termasuk Liridon Krasniqi dan Rizal Ghazali pada aksi menentang PKNS sebelum ini telah membolehkan kesemua pemain berada dalam keadaan cergas sehingga mampu mempamerkan prestasi cemerlang pada pertembungan dengan skuad Penyu malam kelmarin.

“Alhamdulillah semua pemain terutama mereka yang direhatkan sebelum ini telah memberikan persembahan menakjubkan bagi membolehkan kita melangkah sekali lagi ke pentas final.

“Kita tidak sangka boleh menang 3-0. Tahniah kepada pemain-pemain saya yang telah memberikan komitmen penuh bagi mencapai kejayaan ini,” kata Nidzam ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Nidzam berkata, kekebalan benteng pertahanan Kedah walaupun tanpa pemain import, Zachary Micheal Anderson yang masih mengalami kecederaan, menjadi faktor utama kemena­ngan bergaya pasukannya.

Menurutnya, barisan pertahanan yang dikemudi kapten pasukan, Khairul Helmi Johari telah bertindak cemerlang menyekat setiap serangan skuad Penyu yang diketuai Issey Farran Nakajima.

“Kami memang sudah menjangka Terengganu akan menggunakan taktikal hantaran jauh bagi menggempur kubu kami.

“Saya gembira kerana barisan pertahanan sangat berdisiplin, kurang melakukan kesilapan dan mengikut apa yang telah saya terapkan dalam latihan sebelum ini,” katanya.

Nidzam berkata, beliau juga bertekad untuk membantu Kedah menjulang Piala FA pada aksi final dengan Pahang, Sabtu ini.

Monday, May 15, 2017

Pemandu lori cuba rasuah polis RM50 dipenjara sehari, denda RM10,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Gara-gara cuba merasuah seorang anggota polis semata-mata mahu rakan warga Bangladesh daripada ditahan pihak berkuasa pada dua tahun lalu, seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz memerintahkan demikian selepas V. Nanthakumar, 35, dari Sungai Lembing, Kuantan, Pahang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa cuba memberi suapan wang tunai RM50 kepada seorang anggota polis yang mahu menahan Md. Akkas Ali yang merupakan kelindan lori warga Bangladesh dalam sekatan jalan raya di Jambatan Sungai Limbong, Chukai, Kemaman pada pukul 5.35 petang, 27 Mac 2015.
Dia yang memandu lori membawa bahan binaan berkenaan didakwa cuba merasuah penjawat awam tersebut sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki warga asing itu daripada ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi. - K! ONLINE

Terengganu akur kehebatan pasukan lawan


TERENGGANU akur dengan kehebatan Kedah yang terbukti lebih berhak mara ke pentas akhir Piala FA 2917, Sabtu ini.

Skuad Penyu terpaksa menelan hakikat dibelasah 3-0 oleh pasukan pelawat di hadapan 10,000 penyokong sendiri pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Kedah memusnahkan impian Terengganu untuk menamatkan kemarau enam tahun ke pentas akhir Pia­la FA dengan kelebihan agregat 4-0.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, Kedah sememangnya berhak memenangi perlawanan tersebut selepas menguasai setiap posisi terutama jentera tengah dalam tempoh 90 minit permainan.

“Pemain-pemain saya tidak dapat menandingi ketangkasan jentera tengah Kedah yang dibarisi Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Baddrol Bakhtiar dan Mohd. Syazwan Zainon.

“Gol kedua Kedah pada minit ke-28 yang terhasil daripada kesilapan pemain saya, Abdul Shukur Jusoh juga telah membunuh sisa-sisa perjua­ngan kami,” kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Irfan berkata, walaupun mereka cuba mengubah taktikal selepas waktu rehat, peluang pasukan bimbingannya untuk bangkit mencipta kejutan tertutup rapat sebaik sahaja skuad Helang Merah menambah gol ketiga hanya selepas seminit wisel babak ke­dua ditiupkan.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, kecederaan Federico Falcone pada saat-saat akhir juga telah menyebabkan skuadnya tiada penyerang berwibawa untuk diturunkan pada perlawanan tersebut.

“Saya terpaksa mengarahkan Issey Farran Nakajima, Lutfulla Turaev dan Ismail Faruqi Ashari menggalas tanggungjawab di barisan serangan.

“Bagaimanapun, sebagai pasukan yang beraksi di Liga Premier, saya tetap bangga dengan pencapaian anak-anak buah saya yang mampu mara hingga ke saingan separuh akhir Piala FA,” katanya.

Kedah mara ke final Piala FA

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kedah melangkah ke pentas final Piala FA selepas menumbangkan Terengganu 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad Helang Merah mara ke perhitungan terakhir piala berprestij tersebut pada 20 Mei depan dengan agregat 4-0.
Kedah memperoleh jaringan awal menerusi rembatan deras pemain import, Liridon Krasniqi yang menerjah gawang tuan rumah pada minit ke-8.
Pintu gawang Terengganu bocor lagi akibat kesilapan pemain tengahnya, Abdul Shukur Jusoh terhantar bola kepada penyerang Kedah, Kenilson Larsen berhampiran kotak penalti pada minit ke-28.
Selang seminit babak kedua bermula, Kedah semakin garang menambah jurang dengan gol ketiga hasil jaringan Sandro Da Silva Mendonca.
Peluang terbaik tuan rumah untuk memperoleh gol saguhati pada minit ke-59 namun tendangan percuma Lutfulla Turaev tersasar sedikit pada palang gol lawan. - K! ONLINE

Sunday, May 14, 2017

Peniaga sari jadi keldai dadah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Taktik seorang lelaki warga India menyamar sebagai peniaga kain sari gagal mengaburi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu selepas pemeriksaan dalam bagasi dibawanya menemui 10 kilogram disyaki dadah jenis ketamin di Lapa­ngan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini kelmarin.

Lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai keldai dadah itu diberkas pada pukul 8.55 pagi ketika menuntut bagasi tersebut. Pemeriksaan dadah yang dibawa suspek dianggarkan bernilai RM700,000.

Pengarah JKDM Terengganu, Aidid Tajuddin berkata, lelaki warga India terbabit yang menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Bengaluru, India tiba di LTSM pada pukul 7 malam Jumaat lalu.

“Sebelum itu, suspek transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, dia sengaja meminta bagasi­nya dihantar ke LTSM lewat sehari daripada ketibaannya.

“Lelaki India itu tidur semalaman di surau LTSM sebelum menuntut bagasinya pada pagi semalam (kelmarin),” kata beliau pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM  Kuala Terengganu di sini semalam.
Menurut beliau, anggota pe­nguat kuasa JKDM mengesyaki sesuatu tidak kena selepas mendapati hanya 29 pasang kain sari berkualiti rendah dibawa suspek dari negara asalnya sedangkan dia mendakwa mahu berniaga di negeri ini.

Menurut beliau, mesin pengimbas kemudian mengesan kehadiran bungkusan mengan­dungi serbuk disyaki dadah jenis ketamin yang disorok di bawah timbunan kain sari di dalam bagasi tersebut.

“Siasatan awal mendapati, lelaki warga India itu sengaja memilih untuk mendarat di LTSM kerana menyangkakan kawalan pemeriksaan di lapangan terbang itu longgar berbanding KLIA yang merupakan lapangan terbang antarabangsa.

“Ini merupakan kali ketiga, lelaki warga India berkenaan memasuki Malaysia sebagai keldai dadah. Pada Januari dan Mac lalu, suspek berjaya melepasi pemeriksaan di KLIA,” katanya.

Aidid memberitahu, siasatan awal juga mendapati lelaki warga India yang mempunyai tiga anak itu dibayar upah RM700 bagi setiap tugasan membawa dadah ke negara ini.

Katanya, pihaknya juga percaya serbuk disyaki dadah yang dibawanya itu dalam rancangan  dihantar ke negeri lain sebelum diproses.

Suspek direman 12 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Saturday, May 13, 2017

UMNO tidak damba tahaluf siyasi dengan Pas, cuma kerjasama isu kepentingan Islam, Melayu

MARANG - UMNO tidak pernah mendambakan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan Pas tetapi mahu bersama tolong-menolong dalam memberi pemahaman dan pencerahan melibatkan isu kepentingan Islam dan Melayu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO berpegang kepada asas untuk tidak menolak mana-mana parti politik dan organisasi yang turut memperjuangkan prinsip berkenaan hanya kerana perbezaan idealogi.
"Islam dan demokrasi mengizinkan perbezaan pendapat. Biarpun kita berbeza parti politik tetapi dalam soal agama, kita tidak harus mufaraqah (memisahkan diri).
"Inilah rasionalisasi yang harus mengiktiraf keberadaan Pas dalam senario politik baharu. Kita menghormati pendirian dan iltizam Pas dan tidak mahu masuk campur soal dalaman mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Himpunan Mesra Rakyat dan pelancaran Jentera Jalinan Kasih (JR) Plus Parlimen Marang di Kampung Gelugor Kedai dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Marang, A. Latiff Awang. - K! ONLINE

Ultras Tranung suntik semangat pemain Terengganu hadapi Kedah malam ini

KUALA TERENGGANU - Seramai hampir 100 penyokong bola sepak Terengganu yang dikenali sebagai Ultras Tranung menyiapkan kain pemidang gergasi atau tifo yang akan dipasang pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Wakil Ultras Tranung, Mohd. Radhie Abdullah Din berkata, pemasangan tifo yang berukuran 42 meter lebar dan enam meter panjang itu diharap dapat menyuntik motivasi pemain Terengganu yang bakal menghadapi Kedah.
Dia berkata, tifo yang menelan belanja kira-kira RM2,800 itu mengandungi perkataan Terengganu dalam bahasa jawi selain potret pengendali skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim, Issey Nakajima (penyerang) dan Mohd. Sharbinee Allawee Ramli (kapten pasukan).
"Kami yakin Terengganu mampu melangkah ke pentas akhir Piala FA. Malam ini, saya ramal Terengganu menang 3-0," katanya ketika ditemui Kosmo! di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu hari ini. - K! ONLINE

Terengganu idam aksi final

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

ALANG-ALANG sudah melangkah ke separuh akhir, biar sampai ke pentas akhir.

Itu tekad barisan pemain Terengganu menjelang aksi separuh akhir kedua kempen Piala FA 2017 menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu tidak rela terlepas peluang untuk merealisasikan impian besar mereka itu, lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri.

Menurut Irfan, beliau mahu anak-anak buahnya memanfaatkan kesempatan bermain di hadapan penyokong sendiri untuk mengakhiri kemarau ke final Piala FA selepas kali terakhir melakukannya enam tahun lalu.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, pemain-pemainnya juga telah diingatkan agar beraksi bermati-matian untuk menempah tiket secara automatik ke pentas akhir.

“Kita sudah melupakan kekecewaan pada separuh akhir pertama di tempat lawan pada 30 April lalu. Malam esok (ini) adalah aksi yang berbeza dan kami harus melakukan yang terbaik.

“Apa-apa sahaja boleh berlaku dan saya percaya, bermain di tempat sendiri pada malam esok (ini) bakal memberi kelebihan kepada pasukan kami,” kata Irfan di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, kesemua barisan terbaik skuad Penyu bebas daripada kecederaan dan mereka boleh diturunkan pada pertembungan dengan Kedah itu kelak kecuali pemain pertahanan, Adib Aiuddin yang mengalami penggantungan akibat dilayangkan kad merah pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar, 30 April lalu.

Begitu pun, beliau sedar skuad Helang Merah tidak memandang ringan ancaman pasukannya apabila bertindak merehatkan ramai pemain utama pada aksi Liga Super menentang PKNS FC yang berakhir dengan keputusan seri 4-4, Selasa lalu.

“Apa pun, saya tidak kisah siapa yang Kedah bakal turunkan kerana anak-anak buah saya sudah bersedia sepenuhnya menghadapi perlawanan yang amat penting ini,” katanya.

Pada aksi separuh akhir pertama di Alor Setar tempoh hari, Kedah memiliki kelebihan tipis selepas menundukkan skuad Penyu 1-0 hasil jaringan pemain sayap, Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-70.

PSTNT anjur 
Liga Takraw Remaja

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PERSATUAN Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) akan menganjurkan Liga Sepak Takraw Remaja Sekolah Terengganu (LSRST) melibatkan pe­nyertaan 19 pasukan sekolah rendah dan menengah seluruh negeri tersebut bermula hari ini.

Presiden PSNT, Shapian Ali berkata, kejohanan yang bakal berlangsung selama lebih sebulan di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT), Kuala Nerus itu bertujuan untuk mencungkil bakat baharu untuk diserapkan ke skuad pelapis negeri.

Beliau berkata, liga yang mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu (MSST) tersebut merupakan program pembangunan sukan sepak takraw di peringkat akar umbi.

“Dua kategori dipertandingkan iaitu Regu Bawah 11 Tahun dan Berpasukan Bawah 14 dan 16 Tahun yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM5,000.

“Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang menganjurkan kejohanan secara khusus di peringkat sekolah selain pertandingan melibatkan semua negeri anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM),” kata Shapian.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pelancaran LSRST yang disempurnakan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu di SSMT, Kuala Nerus, Terengganu kelmarin.

Shapian berkata, kejohanan yang julung kali diadakan itu melibatkan lapan pasukan, masing-masing dari sekolah rendah dan menengah yang mewakili setiap daerah di negeri Terengganu.

Menurut beliau, satu pasukan lagi yang bakal mengambil bahagian dalam kategori sekolah menengah ialah gabungan regu Projek Akademi Sepak Takraw Terengganu (Pasta), Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu dan SSMT.

“Pemain-pemain berpotensi yang dikenalpasti menerusi LSRST ini akan diserapkan ke skuad pelapis Sukan Malaysia (Sukma) dan mereka berpeluang mewakili pasukan negeri pada Sukma 2020 yang akan diadakan di Johor nanti,” katanya.

Friday, May 12, 2017

Skuad Terengganu tagih sokongan peminat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

ANDAI mahu melihat Terengganu melangkah bergaya ke final Piala FA musim ini, para penyokong setia pasukan tersebut harus membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam esok.

Sokongan serta so­rakan mereka amat ditagih bagi menyemarakkan lagi semangat barisan pemain skuad Terengganu yang akan turun membuat perhitungan dengan Kedah pada aksi separuh ak­hir kedua Piala FA.

Pada aksi separuh akhir pertama di Alor Setar, 30 April lalu, Terengganu tewas 0-1, namun kelebihan yang dimiliki Kedah itu tidak sama sekali melunturkan semangat skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu.

Terengganu cukup kental untuk ditewaskan di gelanggang sendiri, maka para penyokong setia mereka harus memainkan peranan untuk memberi sokongan terhadap perjuangan skuad Penyu itu.

Kapten Terengganu, Abdul Latif Suhaimi berkata, biarpun ketinggalan satu gol kepada pasukan lawan, mereka tetap yakin untuk mengubah keputusan tersebut, sekali gus melangkah ke pentas akhir piala berprestij itu selepas kali terakhir melakukannya pada 2011.

“Saya percaya ketua jurulatih (Irfan Bakti) ada ramuan tersendiri untuk membawa Terengganu mara ke pentas akhir. Kebetulan, sewaktu kami menjulang Piala FA enam tahun lalu, skuad Terengganu ketika itu turut dibimbing Irfan.

“Kami berjanji untuk mempamerkan semangat juang tinggi pada aksi separuh kedua nanti seperti mana yang telah dibuktikan sepanjang saingan Liga Premier sebelum ini,” kata Abdul Latif ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Abdul Latif berkata, beliau percaya walaupun tewas 0-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Kedah tempoh hari, peluang buat mereka bangkit masih belum tertutup rapat.

Perancang utama skuad Penyu itu berkata, misi terpenting mereka pada aksi malam esok ialah memburu gol awal bagi mengimbangi kelebihan yang kini dimiliki skuad Helang Merah.

“Kami berharap para penyokong tegar Terengganu dapat me­menuhi stadium pada malam Sabtu ini (esok) kerana sorakan keramat mereka sebagai pemain ke-12 dalam pasukan, mampu menyemarakkan semangat kami untuk terus menjulang maruah negeri.

“Saya secara peribadi telah bersedia dari segi mental dan fizikal, malah teruja untuk membantu pa­sukan. Apatah lagi sewaktu aksi separuh akhir pertama, saya tidak dapat diturunkan kerana mengalami penggantungan satu perlawanan,” katanya.

Tiket separuh akhir kedua Piala FA dijual Sabtu ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEHANGATAN pertembungan antara Terengganu dan Kedah pada separuh akhir kedua Piala FA 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu mula terasa.

Penyokong tegar skuad Penyu boleh men­dapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut di kaunter tiket utama stadium berkenaan pada Sabtu ini.

Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Nege­ri Terengganu (PBNT), Haslan Hashim berkata, sebanyak 10,000 tiket akan disediakan untuk peminat bola sepak tempatan bagi menghangatkan pertemuan separuh akhir kedua Piala FA itu nanti.

“Tiket bagi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan Kedah boleh didapati di kaun­ter utama penjualan tiket Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bermula pada pukul 10 pagi, 13 Mei ini.

“Harga tiket masih kekal iaitu RM20 bagi tempat duduk berbumbung, tempat duduk terbuka (RM10) dan kanak-kanak (RM5),” kata Haslan dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu semalam.

Haslan berkata, bagi mengelakkan kegiatan ulat tiket, setiap peminat hanya dibenarkan untuk membeli maksimum tiga tiket pada hari berkenaan.

Menurutnya lagi, PBSNT berharap penyokong tegar skuad Penyu dapat turun beramai-ramai untuk memberi sorakan semangat kepada anak buah pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim itu bagi mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Terengganu pernah mara empat kali ke final Piala FA dan kali terakhir pasukan Pantai Timur tersebut menjulang piala ber­kenaan sewaktu dibimbing Irfan Bakti pada tahun 2011.

Pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar, 30 April lalu, Kedah memiliki kelebihan tipis selepas menundukkan skuad Penyu 1-0 hasil jaringan pemain sayap, Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-70.


Thursday, May 11, 2017

Ops Ikrar Kemaman berjaya berkas 43 warga asing disyaki PATI

KEMAMAN - Seramai 43 lelaki warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam Ops Ikrar yang dilakukan Jabatan Imigresen Terengganu di sekitar bandar Chukai dan Binjai di sini semalam.
Kesemua suspek berusia 19 hingga 48 tahun berkenaan diberkas dalam operasi selama lapan jam berakhir pukul 4 petang yang disertai sepasukan 18 anggota agensi terlibat.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Terengganu, Azlinawati Mohd. Zulbi berkata, tangkapan terbabit melibatkan 42 lelaki warga Indonesia dan seorang warga Myanmar yang dipercayai PATI.
"Ops Ikrar yang dijalankan di daerah Kemaman ini diadakan berdasarkan aduan orang awam dan menyasarkan tiga tapak pembinaan iaitu dua di bandar Chukai dan Binjai (satu).
"Lokasi yang diserbu ialah tapak pembinaan premis perniagaan dan pejabat di Kampung Dusun Nyior, Chukai dan Binjai serta projek pembinaan 49 unit rumah teres satu tingkat di Bukit Mentok, Chukai," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Empat lelaki edar dadah di pekarangan masjid diberkas

KUALA TERENGGANU - Seramai empat lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 tahun yang keciciran persekolahan dipercayai anggota sindiket dadah berjaya diberkas polis di pekarangan Masjid Seberang Marang, Marang kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 6 petang itu, kesemua suspek yang berada di dalam sebuah kereta Perodua Myvi terbabit dipercayai sedang menunggu pelanggan bagi melakukan urus niaga dadah di kawasan tempat letak kereta masjid berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Tahir berkata, kereta peronda polis telah bertindak menghalang laluan sebaik kenderaan yang dinaiki empat lelaki tersebut memasuki salah sebuah petak di tempat letak kereta terbabit.
"Pemeriksaan di dalam kereta berkenaan dinaiki kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 26 tahun berkenaan telah menjumpai 13 botol mengandungi serbuk disyaki dadah jenis heroin seberat 62.45 gram bernilai RM5,850.
"Sebanyak 90 biji pil kuda seberat 10.15 gram bernilai RM800 juga telah berjaya dirampas dalam serbuan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Pelajar politeknik mangsa terbaharu Air Terjun Belukar Bukit

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


HULU TERENGGANU - Tidak sampai dua bulan dibuka semula kepada pengunjung, kawasan air terjun Belukar Bukit kembali 'meragut nyawa' hari ini.
Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru, Johor, Mohd. Hakimi Ferdhaus Abdul Raki, 21, ditemui mati lemas sewaktu sedang asyik mandi-manda bersama dua rakannya pada pukul 3 petang.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mangsa yang menetap di Kampung Banggol Tasek, Bukit Payung, Marang berkelah dengan rakan-rakan sekampusnya di kawasan air terjun tersebut pada pukul 12.30 tengah hari.
"Sewaktu kejadian, mangsa sedang mandi bersendirian sementara rakan-rakannya lain yang sudah puas mandi-manda sedang berehat di tebing air terjun itu.
"Tiba-tiba mangsa dikatakan telah mengalami kekejangan kaki. Rakan-rakannya yang mendengar jeritannya meminta pertolongan cuba membantu tetapi gagal," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Kawasan air terjun Belukar Bukit telah ditutup kepada umum berikutan tragedi yang meragut lima sekeluarga pada 19 Disember 2015 sebelum kembali dibuka pada Mac lalu. - K! ONLINE

Wednesday, May 10, 2017

Pemandu lori positif dadah belasah bapa mertua

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu lori yang berada dalam pengaruh dadah ditahan polis semalam selepas tergamak membelasah bapa mertuanya di rumah mereka di Kampung Kayu Kelat, Jertih, Besut.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, suspek yang berusia 35 tahun telah bertindak menghentak badan bapa mertua dengan sebuah kerusi dalam kejadian pada pukul 5 petang tersebut.
Beliau berkata, sebelum kejadian, suspek dan bapa mertuanya yang berumur 63 tahun telah bertengkar berkaitan hal keluarga.
"Lelaki itu yang gagal mengawal marah telah bertindak memukul bapa mertua dengan sebuah kerusi sehingga menyebabkan mangsa jatuh tertiarap di atas lantai rumah.
"Pemeriksaan urin kemudiannya mendapati lelaki itu positif dadah jenis Amphetamine," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Tuesday, May 9, 2017

Tiket separuh akhir kedua Piala FA, Terengganu-Kedah dijual pagi Sabtu ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Tiket bagi menyaksikan aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini boleh didapati pada Sabtu ini.
Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBNT), Haslan Hashim berkata, sebanyak 10,000 tiket boleh didapati di kaunter utama penjualan tiket stadium tersebut bermula pada pukul 10 pagi.
"Kadar tiket masih kekal iaitu RM20 bagi tempat duduk berbumbung, tempat duduk terbuka (RM10) dan kanak-kanak (RM5).
"Setiap peminat hanya dibenarkan untuk membeli maksimum tiga tiket pada hari berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 30 April lalu, Kedah memiliki kelebihan tipis selepas menundukkan skuad Penyu 1-0 hasil jaringan pemain sayap, Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-70. - K! ONLINE

LKIM seru persatuan nelayan ceburi bidang perniagaan bukan konvensional

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Persatuan nelayan di seluruh negara diseru agar tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan dan perniagaan bekalan minyak semata-mata sebaliknya perlu memberanikan diri untuk menceburi bidang perniagaan baru bagi menjana pendapatan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, projek perbekalan minyak yang dahulu menjadi sumber utama persatuan nelayan terbabit kini tidak lagi dapat menjanjikan pendapatan lumayan.
"Ceburilah bidang perniagaan lain dalam rantaian industri perikanan seperti pemasaran hasil laut, pemprosesan hasil perikanan, jualan pukat dan pembaikan bot.
"Golongan nelayan haruslah lebih berinovasi dan gigih mengusahakan sektor perikanan bukan sahaja terbatas kepada kegiatan pengeluaran (ikan) tetapi juga pemprosesan dan pemasaran,"katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Lembaga LKIM, Bazlan Abd. Rahman. Turut hadir Pengerusi Penentu, Mat Yassin Mohamed. - K! ONLINE

Mehmet kecewa dengan prestasi Perak

PENGENDALI Perak, Mehmet Durakovic kecewa­ dengan prestasi anak-anak buahnya sehingga dihukum dengan kekalahan 0-3 kepada T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Beliau berkata, kesemua tiga gol yang membolosi gawang skuad The Bos Gaurus itu berpunca daripada kegagalan pemain-pemainnya membaca rentak permainan pasukan lawan.

“Pada separuh masa pertama, T-Team hanya berjaya me­lakukan satu percubaan tepat. Kita telah melakukan kesilapan yang membolehkan pasukan lawan menjaringkan gol.

“Kita ulangi dua kesilapan sama pada separuh masa kedua yang membenarkan pasukan lawan menghasilkan dua gol lagi,” kata Mehmet ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Mehmet berkata, kesilapan mudah yang dilakukan barisan pertahanannya telah ‘membunuh’ rentak permainan sepasukan, sekali gus menyukarkan skuad kendaliannya untuk kembali bangkit.

Beliau yang merupakan bekas pe­ngendali Selangor juga kesal kerana barisan pemainnya tidak mengambil pengajaran daripada pertemuan sulung kedua-dua pasukan di Stadium Perak, Ipoh pada 8 April lalu.

Pada perlawanan tersebut, mereka­ terperangkap dengan taktikal sera­ngan balas diterapkan T-Team dan malam kelmarin, ia berulang.

“Saya akui pemain-pemain saya telah bekerja keras untuk bangkit semula tetapi saya masih tidak puas hati sebab kita masih melakukan kesilapan mudah,” katanya.

Monday, May 8, 2017

Pelajar Fakulti PPIMG UMT bakal terima nilai tambah persijilan SAS


Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalin kerjasama dengan SAS Institute Sdn. Bhd. (SAS Institute) bagi membolehkan pelajar Pengajian Informatik & Matematik Gunaan (PPIMG) universiti itu memperoleh Sijil Perisian Sebagai Perkhidmatan (SAS) sebelum tamat pengajian.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Nor Aieni Mokhtar berkata, persijilan SAS tersebut memberi nilai tambah kepada pelajar fakulti tersebut sekali gus membantu meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka.
"Sijil berkenaan memperakui pengetahuan teori dan praktikal yang mengesahkan kebolehan graduan terlibat dalam mengendalikan data atau masalah permodelan.
"Pengetahuan dan kemahiran terutama dalam menganalisis dan menginterpretasi data berdasarkan bantuan pakej perisian SAS ini dapat diperlukan oleh pelbagai industri seperti kewangan, perbankan, insurans, minyak, gas dan automatif," katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan SAS Institute yang diwakili Pengarah Eksekutif Jualan dan Operasinya, Sheikh Manzoor Ghani.
SAS Institute merupakan syarikat berpengkalan di Amerika Syarikat yang menyediakan perkhidmatan latihan perisian SAS meliputi statistik analitik dan visual serta pengurusan data dan risiko. - K! ONLINE

Jangan pandang mudah kemampuan T-Team

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

JANGAN pandang mudah kemampuan T-Team.

Jika tidak diawasi, pasukan lawan akan menerima padah.

Itu yang berlaku di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin yang menyaksikan skuad kendalian Rahmad Darmawan itu tampil de­ngan corak permainan luar biasa untuk menewaskan Pe­rak 3-0 pada kempen Liga Super.

Tindakan Football Malaysia Limi­ted Liability Partnership (FMLLP) yang memotong enam mata daripada skuad Pantai Timur itu ternyata tidak menjejaskan rentak permainan­ mereka, malah tampil lebih gagah dan garang.

Jentera serangan mereka juga semakin menyengat yang dianggap sebagai kunci kemenangan bergaya ke atas Perak malam kelmarin.

Mereka juga bertahan dengan baik sehingga menyukarkan barisan serangan Perak untuk meloloskan diri.

Menurut Rahmad, rangkaian penyerang Perak nampak sukar untuk merobek kubu pasukannya yang dikemudi ketua pasukan, Mohd. Hasbullah Awang.

“Mereka (Perak) bagaikan hilang idea untuk menggempur kubu kami sehinggakan terpaksa melakukan beberapa percubaan dari jarak jauh dan ia terbukti tidak berkesan.

“Disiplin yang dipamerkan barisan pertahanan juga telah memaksa­ pemain pasukan lawan keluar daripada formasi asal mereka, sekali gus terperangkap dengan serangan balas pantas yang kita lancarkan,” kata Rahmad ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Rahmad berkata, taktikal sera­ngan balas itu terbukti berjaya dan mereka telah menghasilkan dua gol menerusi gerakan tersebut.

Pengendali berpengalaman dari Indonesia itu turut memuji kecekapan penjaga gol, Mohd. Hafidz Romly­ yang berjaya mempertahankan gawang pasukan ber­status kelab tersebut daripada dibolosi dalam tiga perlawanan berturut-turut setakat ini.

Sehubungan itu, beliau berharap momentum cemerlang yang dipamerkan para pemain dapat dikekalkan pada perlawanan-perlawanan lain selepas ini.
Pada perlawanan malam kelmarin, T-Team yang dikenali sebagai The Titans memperoleh gol pertama menerusi penyerang import, Mahamadou­ Samassa pada minit kelapan.

Pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris menambah gol kedua pada minit ke-71.

Selang empat minit kemudian, penjaga gol skuad The Bos Gaurus, Muhammad Hafizul Hakim tewas buat kali ketiga menerusi sepakan kencang penyerang kelahiran Uzbekistan, Farhod Tadjiev.

Pemandu lori maut, anak cedera parah akibat kemalangan di LPT2

DUNGUN - Seorang pemandu lori maut manakala lima ahli keluarganya cedera selepas kereta Proton Perdana V6 yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 347, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Dungun dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, Jasni Mohamed, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah ke kepala  manakala anak keduanya, Afiq Haikal, 10, pula mengalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Mohd. Zailani Yaakob berkata, isterinya, Rosmawati Deraman, 35 dan tiga anak mereka iaitu Aidil Hakimi Jasni, 14, Nuraina Hazwani Jasni, 7 dan Aqil Hazwan Jasni 10 bulan hanya cedera ringan.
"Sewaktu kejadian, difahamkan mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung  di Kampung Raja, Besut dari Kuala Lumpur.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Perdana V6 yang dipandu Jasni tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh besi penghadang di tepi jalan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Terengganu Backpackers bersihkan Pantai Kampung Mangkuk

CINTAI ALAM. Seramai 200 sukarelawan dan penduduk setempat menjayakan program pembersihan pantai anjuran Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) di Pantai Kampung Mangkuk, Setiu, Terengganu baru-baru ini.

Presiden Terengganu Backpackers, Muhamd Rafi Kori berkata, program tersebut yang turut disertai murid sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi itu bertujuan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan penjagaan alam sekitar kepada masyarakat setempat.

“Sebanyak 200 plastik yang mengandungi sampah berjaya dikutip sukarelawan dan penduduk kampung di sepanjang Pantai Kampung Mangkuk tersebut dalam tempoh tiga jam,” katanya.

Sunday, May 7, 2017

T-Team belasah Perak 3-0

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Moral T-Team jelas tidak terjejas dengan hukuman pemotongan mata apabila kekal garang membelasah Perak 3-0  di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut pasukan berstatus kelab itu di laman sendiri selepas menumbangkan Kedah dan Selangor sebelum ini.

Penyerang import, Mahamadou meledak gol pertama menerusi rembatan deras yang menerjah gawang Perak pada minit kelapan.

Pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris menambah gol kedua dengan menewaskan penjaga gol skuad The Bos Gaurus, Muhammad Hafizul Hakim pada minit ke-71.

Dia bijak memanfaat peluang selepas bola muntah dari dakapan Muhammad Hafizul yang gagal menepis kemas percubaan pemain tengah T-Team, Mohd. Badrul Hisyam Morris.

Penyerang kelahiran Uszbekistan, Farhof Tadjiev menambah luka The Bos Gaurus selepas meledak gol ketiga tuan rumah pada minit ke-75.

Perak berpeluang untuk memperolehi gol saguhati namun tendangan percuma diambil Mohd. Hafiz Kamal sekadar terkena palang pada minit akhir babak pertama.

habis

Dua maut, tiga cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kemaman

KEMAMAN - Dua sahabat maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 25, Jalan Mak Lagam - Cheneh berhampiran Bandar Cheneh Baru dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, Safie Yusof, 28, dan rakan pemboncengnya, Rosli Husin, 20-an yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd. Said Ibrahim berkata, pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV), Toyota Harrier, Mohd. Hafeez Sulong, 25, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta dalaman badan dan keadaannya kini dilaporkan kritikal.
Beliau berkata, pasangan suami isteri, Mohd. Yusmali Mohd. Yusoff, 51, dan Zaleha Abu Bakar, 49, dari Kuarters Ladang Tabung Tentera Air Putih di sini yang menaiki kenderaan pacuan empat roda, Ford Ranger pula cedera parah.
"Sewaktu kejadian, SUV jenis Toyota Harrier dipandu Mohd. Hafeez tiba-tiba hilang kawalan di lokasi kejadian yang merupakan laluan berselekoh tajam sebelum terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal yang dinaiki Safie dan rakannya.
"Rempuhan itu menyebabkan dua sahabat terbabit yang dikatakan dalam perjalanan untuk memancing di sungai berhampiran tercampak ke dalam sebuah cerun yang terletak di tepi jalan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Saturday, May 6, 2017

80 peratus pelatih PLKN 2.0 sasar lanjut pelajaran dalam bidang TVET

T-Team tetap teruskan perjuangan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN berstatus kelab, T-Team mahu melupakan hukuman denda pemotongan 6 mata oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) pada Selasa lalu, sebaliknya terus fokus memburu kemenangan pada aksi Liga Super menentang Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pengendalinya, Rahmad Darmawan berkata, beliau tidak mahu isu tersebut menjejaskan prestasi anak-anak buahnya yang sebelum ini berada pada tahap tertinggi selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut di laman sendiri dengan menjinakkan Kedah dan Selangor.

“Kita tidak menyangka menerima hukuman seberat ini namun isu tersebut yang khabarnya sudah dalam peringkat rayuan diserahkan sepenuh kepada pengurusan pasukan.

“Buat masa ini, anggaplah sudah kehilangan mata. Oleh itu, kita perlu bekerja lebih keras mengejar semula (mata) bermula dengan menewaskan Perak pada malam esok (malam ini),” kata Rahmad ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Rahmad berkata, beliau telah mengatur taktikal berbeza berban­ding aksi-aksi sebelum ini sebagai strategi ampuh bagi menundukkan skuad The Bos Gaurus kendalian Mehmed Durakovic.

Pengendali berpengalaman dari Indonesia itu berkata, Perak pastinya telah mengambil pengajaran berguna daripada pertemuan pertama kedua-dua pasukan pada aksi di Stadium Ipoh pada 8 April lalu.

“Waktu itu mereka mungkin memandang remeh sedikit kemampuan pasukan ini (T-Team) sehingga kita mudah menjaringkan gol menerusi strategi serangan balas. Saya yakin Perak akan tampil lebih berdisiplin pada aksi malam esok (ini) dan pemain-pemain saya sudah bersedia untuk melayan kunjungan pasukan itu,” katanya.

Ahmad Shabery, Abdul Hadi lepaskan tukun tiruan

MARANG – Projek melepaskan tukun tiruan di perairan Pulau Kapas dekat sini semalam mencipta sejarah tersendiri apabila dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Ahmad Shabery, penyertaan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang pada program berimpak tinggi untuk kepentingan nelayan itu telah mendapat restu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Acara (melepaskan tukun tiruan) ini bukan sahaja simbolik untuk nelayan tetapi me­nunjukkan proses politik matang yang meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi segala-segalanya,” kata beliau pada sidang akhbar di Pulau Kapas dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan struktur pelantar minyak terpakai milik Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) yang telah dileraikan untuk dijadikan tukun tiruan bersama Abdul Hadi di perairan Pulau Kapas.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusoff, Ketua UMNO Bahagian Marang, A. Latiff Awang dan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata,­ beliau menghargai usaha kerajaan Persekutuan yang memberi peluang kepadanya untuk menyertai program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata, Pas tidak menolak kemungkinan untuk menyertai program rasmi kerajaan lain sekiranya dijemput pada masa akan datang kerana ia melambangkan konsep politik matang yang diterapkan dalam partinya.