Translate

Monday, April 3, 2017

Terengganu belum mahu menyerah

SKUAD Terengganu ma­sih yakin untuk mengatasi Sarawak walaupun kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 1-1 pada aksi suku akhir pertama kempen Piala FA 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Biarpun tidak membawa bekalan selesa untuk mengharungi suku akhir kedua di Kuching pada 21 April nanti, Terengganu tetap positif untuk memadamkan kelebihan jaringan di tempat lawan yang dimiliki Sarawak ketika ini.

Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pasukan kenda­liannya masih belum mahu mengangkat bendera putih walaupun diikat 1-1 oleh skuad Bujang Senang pada aksi suku akhir pertama itu malam kelmarin.

“Saya tetap gembira dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak buah saya kerana mereka berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan, namun apakan daya kerana banyak peluang keemasan yang terhasil terutama pada lewat babak kedua gagal diterjemahkan kepada gol.

“Apa pun saya tetap positif, la­gipun sepanjang karier saya sebagai jurulatih, saya mempunyai rekod baik sewaktu beraksi di Stadium Negeri, Kuching,” kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.
Irfan yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-66 kelmarin memberitahu, anak-anak buahnya akan menggunakan baki 90 minit yang tinggal untuk beraksi bermati-matian bagi memastikan skuad Penyu mara lebih jauh pada saingan Piala FA musim ini.

Menurut beliau, berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pada aksi suku akhir pertama itu, pasukannya tidak mempunyai masalah untuk menyaingi skuad Bujang Senang yang beraksi dalam saingan Liga Super.

“Begitupun, kita masih berpeluang biarpun bakal menghadapi saingan sengit daripada pasukan lawan di gelanggang sendiri kelak,” katanya.

Pada aksi suku akhir pertama malam kelmarin, skuad Penyu mendahului kedudukan menerusi tandukan penyerang import, Federico Falcone pada minit ke-20 manakala gol Sarawak dijaringkan oleh Jong Ho Lee.

No comments:

Post a Comment