Translate

Monday, April 24, 2017

Perhilitan berjaya selamatkan haiwan dilindungi bernilai RM50,000

HULU TERENGGANU – Kedegilan lima lelaki termasuk empat warga Indonesia memelihara haiwan dilindungi tanpa lesen mengundang padah apabila premis mereka diserbu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dalam dua kes berasingan di Kampung Jabi, Jerteh, Besut pada Jumaat lalu.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Rahmah Ilias berkata, serbuan tersebut berjaya merampas beberapa haiwan dilindungi antaranya burung murai batu, burung helang bahu hitam, burung murai belanda, landak raya, memerang, ular sawa Burma dan musang yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

“Dalam serbuan pertama, lapan ekor burung murai batu, dua ekor ayam hutan dan masing-masing seekor burung murai belanda, burung helang bahu hitam dan burung kunyit kacat berjaya dijumpai di dalam sebuah rumah yang dihuni empat pekerja kilang papan warga Indonesia.

“Serbuan kedua di sebuah rumah seorang pemandu jentolak warga tempatan tidak jauh dari lokasi pertama pula menjumpai 10 ekor landak raya, tiga ekor kura-kura dan masing-masing seekor memerang, musang dan ular sawa Burma,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Hulu Terengganu, Kuala Berang di sini semalam.

Rahmah berkata, kesemua suspek iaitu empat lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun telah diambil keterangan berhubung penemuan haiwan-haiwan dilindungi terbabit di Balai Polis Kampung Raja, Besut.

Menurut beliau, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kesemua haiwan terbabit terutama burung murai batu dan landak raya diburu dan dipelihara tanpa permit untuk dijual di pasaran gelap berikutan permintaan dan harganya yang tinggi.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) dan 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

No comments:

Post a Comment