Translate

Monday, April 10, 2017

Murid sekolah reka cerita hampir diculik kerana takut dimarahi ibu

KUALA TERENGGANU – Seorang murid tahun tiga yang ditangkap penduduk kampung selepas disyaki mencuri tabung sebuah masjid sanggup mereka cerita kononnya dia hampir diculik kerana takut dimarahi ibunya akibat lambat pulang ke rumah di Kampung Wakaf Mempelam di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, kanak-kanak lelaki itu memberitahu ibunya bahawa seorang lelaki cuba menariknya masuk ke dalam sebuah van semasa berjalan pulang ke rumah dari sekolah di kampung berkenaan pada pukul 2.10 petang.

Beliau berkata, ekoran dakwaan itu, ibu murid berkenaan bertindak membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga di sini.

“Budak lelaki itu turut mendakwa dia juga melihat sebilah parang dan pisau selain terdapat dua kanak-kanak perempuan di dalam van berkenaan,” katanya ketika dihu­bungi Kosmo! di sini semalam.
Wan Abd. Aziz berkata, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu juga mendakwa dia terselamat kerana sempat me­larikan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, katanya, siasatan polis mendapati dakwaan murid itu sebenarnya palsu dan sengaja direka kerana bimbang dia akan dimarahi ibunya kerana lewat pulang ke rumah.

“Sebenarnya, dia lambat pulang ke rumah kerana telah ditangkap oleh beberapa penduduk kampung selepas disyaki mencuri tabung di sebuah masjid di kampung itu.

“Namun, budak lelaki itu telah dilepaskan selepas dia menafikan dakwaan itu,” katanya.

Wan Abd. Aziz berkata, berikutan pengakuan anaknya, jurujual wanita yang berusia 27 tahun itu kemudian bertindak menarik balik laporan polis berhubung cubaan culik yang dibuatnya sebelum ini.

“Sehubungan itu, polis menafikan kes cubaan culik itu yang kini menjadi viral sejak pagi tadi (semalam),” katanya.

No comments:

Post a Comment