Translate

Tuesday, April 11, 2017

Majlis Daerah Marang perkenal pakej menyusuri Sungai Marang kepada pelancong

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


MARANG - Majlis Daerah Marang (MDM) bakal memperkenalkan pakej menyusuri Sungai Marang yang membolehkan pelancong merasai pengalaman menikmati panorama sungai terbabit sambil menyaksikan aktiviti seharian penduduk kampung.
Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Rozali Salleh berkata, aktiviti penduduk beberapa kampung di pesisir Sungai Marang yang masih mengamalkan kehidupan secara tradisional seperti Kampung Jenang, Kampung Batu Putih, Kampung Jerung dan Kampung Bukit Durian di sini amat berpotensi tinggi untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan.
Beliau berkata, pelancong akan dibawa untuk menyusuri Sungai Marang dengan bot laju selama kira-kira sejam sebelum singgah di kampung-kampung terbabit.
"Ia ala pakej pelancongan yang terdapat di Sungai Mekong, Vietnam. Selepas menyusuri Sungai Marang, pelancong boleh menyaksikan aktiviti penduduk menganyam atap nipah, melatih beruk untuk mengutip buah kelapa dan menghasilkan manisan nira kelapa serta kuih tradisional di Kampung Jenang.
"Kampung Batu Putih pula terkenal dengan produk pelancongan agro. Mereka boleh menyaksikan sendiri proses pengutipan nira kelapa sambil menikmati buah-buahan seperti salak madu dan durian belanda selain madu kelulut yang diusahakan masyarakat setempat," katanya selepas melakukan lawatan di lokasi-lokasi tarikan pelancongan terbabit di pesisir Sungai Marang di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment