Translate

Tuesday, April 25, 2017

Lancar RIR Taman Desa Idaman

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN –  Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) melancarkan projek Rumah Idaman Rakyat (RIR) Taman Desa Idaman yang terletak di Kampung Santong, Paka dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali berkata, projek berkenaan membabitkan pembinaan 229 unit kediaman dan rumah kedai bakal yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2019.

“RIR Taman Desa Idaman merangkumi 70 unit rumah teres setingkat, teres dua tingkat (60 unit) dan rumah berkembar (76 unit), di sam­ping 23 unit rumah kedai,” katanya pada majlis pecah tanah RIR Kampung Santong, Paka dekat sini semalam.

Turut hadir pada majlis yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Idaman Sdn. Bhd., Azrul Hisyam Munap.
Menurut Ahmad Azizi,  projek pembangunan bercampur tersebut dibina di atas tapak seluas 10.53 hektar berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka, Lebuh Raya Pantai Timur 2 dekat sini dan ditawarkan pada harga RM68,000 sehingga RM683,200 seunit.

“Sambutan yang diterima terhadap RIR Taman Desa Idaman amat memberangsangkan dengan 800 permohonan telah diterima setakat ini,” katanya.

Beliau memaklumkan, projek berkenaan akan diba­ngunkan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Tambahnya, SPNB turut bercadang untuk membina lebih 2,000 unit RIR di Terengganu iaitu Kerteh, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment