Translate

Tuesday, April 11, 2017

Kekangan bajet jejas penempatan pembantu guru

KUALA TERENGGANU – Inisiatif penempatan pembantu guru di bawah Program Rintis Pemantapan Profesion Guru tidak dapat diperluaskan buat masa ini berikutan kekangan bajet.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (gambar) berkata, setakat ini, kira-kira 1,600 pembantu guru sahaja dapat ditempatkan di tiga negeri iaitu Kedah, Melaka dan Sabah sejak inisiatif bertujuan meringankan beban guru itu dilancarkan pada tahun 2013.

“Setelah dibuat penelitian, kementerian mendapati kos penggajian bagi melaksanakan sepenuhnya perjawatan pembantu guru begitu tinggi.

“Ia akan diperluaskan ke negeri-nege­ri lain pada masa depan bergantung kepada kemampuan kewa­ngan kerajaan. Buat masa ini, kita cari mekanisme lain untuk meringankan beban tugas guru,” katanya di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini semalam.

Beliau ditemui selepas mem­pengerusikan Dialog Pendidikan Pelan Pemba­ngu­nan Pendidikan Malaysia de­ngan warga pendidik dan wakil Persatuan Ibu Bapa Guru dari sekitar Terengganu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Terengganu, A. Latiff Awang dan Ketua Pe­ngarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamed Yusof.

Mahdzir berkata, antara inisiatif lain yang telah diambil bagi meringankan beban tugas guru ialah mengurangkan kuantiti laporan berkala termasuk harian yang perlu dihantar oleh golongan terhadap secara atas talian.

No comments:

Post a Comment