Translate

Friday, April 7, 2017

Juruaudit bebas didakwa ubah wang haram RM450,347

KEMAMAN – Seorang juruaudit bebas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan melakukan pengubahan wang haram melibatkan transaksi RM450,347 antara dua hingga tiga tahun lalu.

Hazrin Izzuddin Jamaluddin, 44, yang merupakan bapa tunggal membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar manakala tertuduh yang mempunyai tiga anak berusia dalam lingkungan enam hingga 13 tahun diwakili peguam bela, Mohd. Faizi Che Abu.

Tertuduh sebelum ini telah menghadapi tiga pertuduhan sama iaitu dua kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan satu kes di Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang melibatkan transaksi keseluruhan melebihi RM1 juta ma­sing-masing pada 9 Februari lalu dan Jumaat lalu.

Hazrin Izzuddin merupakan salah seorang daripada 35 tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah pada Februari lalu atas pertuduhan mencuri wang milik Maybank Berhad yang ke­semuanya berjumlah RM36 juta tiga tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menerima wang tunai RM450,347 yang merupakan hasil aktiviti pengubahan wang haram untuk dimasukkan  ke dalam akaun banknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Bank Islam cawangan Kemaman di sini antara 20 Oktober 2014 hingga 26 Januari 2015.

Hazrin Izzuddin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum lima kali nilai hasil aktiviti haram terbabit jika sabit kesalahan.

Badrul Munir membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM4,000 dan seorang penjamin.

Beliau juga memberi keizinan agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi membolehkan ia disebut bersama-sama empat kes lain pada 3 Mei depan.

Kosmo! pada 9 Februari lalu melaporkan, seramai 24 individu termasuk 13 sekeluarga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mencuri wang milik Maybank Berhad yang ke­semuanya berjumlah RM36 juta tiga tahun lalu.

Dua hari kemudian lima lelaki termasuk Hazrin Izzuddin pula dihadapkan mahkamah sama atas pertuduhan me­lakukan perbuatan sama membabitkan wang mencecah RM11 juta.

No comments:

Post a Comment