Translate

Thursday, April 27, 2017

500 pelumba bakal gegar Drag Battle King of the King 2.0

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SERAMAI 500 pelumba sukan permotoran drag dari seluruh negara dan antarabangsa bakal menggegarkan Kejohanan Drag Battle King of the King 2.0 yang berlangsung selama lima hari tanpa henti bermula esok di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

Kejohanan yang bakal menyaksikan 30 kategori dipertandingkan melibatkan kereta, kenderaan pacuan empat roda dan motosikal itu merupakan anjuran Persatuan Permotoran Terengganu Darul Iman (PPTDI) dan Koperasi Permotoran Terengganu Darul Iman.

Pengerusi PPTDI, Rosli Nooral Azhar berkata, seramai 200 pelumba bagi kategori kereta dan kenderaan pacuan empat roda termasuk dari Thailand dan Singapura telah mengesahkan penyertaan.

“Bagi kategori motosikal pula, pihak penganjur telah menerima 300 penyertaan.

“Kejohanan itu melibatkan 20 kategori kereta dan kenderaan pacuan empat roda, manakala sebanyak 10 ka­tegori untuk motosikal dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM500,000,” katanya pada sidang akhbar penganjuran kejohanan itu di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak.

Rosli Nooral berkata, selain acara utama iaitu King of the King yang melibatkan semua jentera, pelbagai acara sam­pingan lain turut diadakan seperti drift, time attack, mini bike, gymkhana dan 4x4 turbo.

Menurut beliau, PPTDI juga menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 peminat sukan permotoran tanah air bakal memeriahkan penganjuran kejohanan tersebut yang kali kedua diadakan di Terengganu itu.

“Apatah lagi kejohanan ini bakal dilangsungkan di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak yang baru disiap­kan dan ia mampu memberi impak positif kepada sukan permotoran negeri ini dan sambutan Tahun Melawat Terengganu 2017,” katanya.

No comments:

Post a Comment