Translate

Sunday, April 30, 2017

Terengganu bertandang ke Alor Setar tanpa tekanan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU yang bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk menentang Kedah pada aksi separuh akhir pertama Piala FA malam ini selesa dilabel sebagai pasukan 'underdog' kerana turun tanpa sebarang tekanan.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, sebagai pasukan yang bermain di Liga Premier, mara ke peringkat separuh akhir piala tersebut setelah menewaskan beberapa lawan daripada Liga Super merupakan pencapaian yang membanggakan.

"Saya tidak mahu anak buah saya berasa tertekan sehingga melakukan kesilapan yang memberi boleh peluang kepada pasukan lawan menjaringkan gol.

"Begitu pun, ia tidak bermakna kami akan menyerah awal kerana motivasi pemain kini berada pada tahap tertinggi dan mereka sudah pasti tidak akan mensia-siakan peluang untuk mara ke perlawanan akhir," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Irfan berkata, beliau telah mengatur taktikal dan strategi terbaik untuk mendapat bekalan ampuh bagi dibawa pulang sebelum kedua-dua bakal berentap semula pada aksi timbal balik yang bakal berlangsung di laman sendiri pada 13 Mei depan.

Menurut beliau, biar pun prestasi skuad Helang Merah seakan-akan tidak konsisten sejak akhir-akhir ini, anak buahnya tidak boleh memandang mudah kerana Kedah tetap merupakan sebuah pasukan yang mempunyai reputasi gah.

"Tiada jalan lain untuk kita membuat kejutan di Alor Setar selain pemain-pemain saya fokus dan melaksanakan semua strategi dengan baik ketika di atas padang.

"Saya juga berharap barisan serangan yang dibarisi Issey Farran Nakajima, Federico Falcone dan Mohd. Ferris Danial Mat Nasir dapat melaksanakan tugas dengan baik untuk merobek gawang Kedah," katanya.

Selain Nakajima yang merupakan penjaring terbanyak pasukan, Falcone dan Mohd. Ferris semakin menunjukkan ketajaman mereka apabila masing-masing menjaringkan gol penting sewaktu menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDTII) 2-1 pada aksi Liga Premier minggu lalu.

Nelayan Vietnam tangkap 135kg gamat secara haram diberkas

KEMAMAN - Perbuatan tamak sekumpulan nelayan warga Vietnam menangkap gamat secara haram di dasar Laut China Selatan sehingga merosakkan habitat terumbu karang membawa padah selepas mereka ditahan Maritim Malaysia (APMM), kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 1.40 petang itu, lapan nelayan warga asing terbabit berjaya ditangkap bersama 135 kilogram (kg) gamat bernilai keseluruhan termasuk bot berjumlah RM510,000.
Pengarah Maritim Kemaman, Mohd. Marmizi Mohd. Noor berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 42 tahun berjaya ditahan pada kedudukan kira-kira 45 batu nautika dari Kuala Kemaman dekat sini.
"Mereka cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kapal peronda penguat kuasa APMM namun bot dinaiki suspek-suspek telah berjaya dipintas selepas dikejar selama hampir setengah jam.
"Pemeriksaan menjumpai 135 kg gamat hidup yang ditangkap secara haram kerana lesen kebenaran menangkap haiwan tersebut tidak pernah dikeluarkan di perairan Pantai Timur tanah air," katanya pada sidang akhbar di Pengkalan Maritim Kemaman, Kuala Kemaman dekat sini hari ini. - K! ONLINE

Penduduk miskin Kuala Nerus serbu Pasar Percuma Terengganu

RINGAN BEBAN. Pasar Percuma Terengganu dilancarkan secara rasmi di tapak pasar tani Kampung Baru, Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, program anjuran Persatuan Industri Asas Tani Kuala Nerus itu mendapat sambutan daripada 1,000 penduduk kurang berkemampuan di sekitar daerah Kuala Nerus.

“Mereka diberi kupon yang membolehkan mereka mengambil barangan asas seperti beras, gula, minyak masak, kicap dan sos cili serta pakaian terpakai dan kain ela secara percuma,” katanya selepas melancarkan pasar tersebut.

Saturday, April 29, 2017

Pemandu lori maut, anak cedera parah kemalangan di LPT2

DUNGUN – Seorang pemandu lori maut manakala lima ahli keluarganya cedera selepas kereta Proton Perdana V6 yang mereka naiki kemalangan di Kilometer (KM) 347, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Dungun dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, Jasni Mohamed, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada kepala manakala anak keduanya, Afiq Haikal pula cedera parah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Mohd. Zailani Yaakob berkata, isterinya, Rosmawati Deraman, 35, dan tiga anak mereka iaitu Aidil Hakimi, 14, Nuraina Hazwani, 7, dan Aqil Hazwan, 10 bulan cedera ringan.

“Sewaktu kejadian, difahamkan me­reka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung  di Kampung Raja, Besut dari Kuala Lumpur.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Perdana V6 yang dipandu Jasni tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh besi penghadang di tepi jalan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zailani berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mayat Jasni yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Anak kedua mangsa yang ce­dera parah pada kepala kini sedang dirawat di unit rawatan rapi Hospital Dungun dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Isteri dan tiga lagi anak mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

Kealpaan saat akhir perangkap Selangor

KEALPAAN saat-saat akhir dan keletihan menjadi faktor kekalahan Selangor kepada pasukan berstatus kelab, T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin, lapor MOHD. AZLI ADLAN.
Pengendali Selangor, P. Maniam berkata, gol pemain gantian tuan rumah, Muhammad Fauzi Abdul Kadar sewaktu perlawanan hanya berbaki dua minit menjadi pemusnah kepada skuad Gergasi Merah.

“Kita sepatutnya dapat me­ngutip sekurang-kurangnya satu mata tetapi kesilapan minit-minit akhir perlawanan telah mengundang padah.

“Sebenarnya, aksi keseluruhan kedua-dua pasukan agak seimbang dan kita juga memperoleh beberapa percubaan yang mampu menghasilkan gol terutama pada separuh masa kedua,” katanya.

Maniam berkata, keputusan per­lawanan pasti berubah sekiranya beberapa percubaan berbahaya yang direncana duo import, Francis Forkey Doe dan Victor Stelian Astafie menepati sasaran.

Dalam perkembangan sama, dia memberitahu, anak-anak buahnya juga didapati bermain di bawah kemampuan sebenar atas faktor keletihan berikutan jadual liga yang padat.

“Apa pun saya percaya mereka telah memberi yang terbaik mengikut keupayaan masing-masing pada malam ini (kelmarin).

“Semua kelemahan ini akan diperbaiki dan diperkemas bagi mengharungi pusingan kedua Liga Super awal bulan depan,” katanya.

Bekas pelajar SMKSS berkumpul di Pulau Duyong

KENANGAN. Seramai 68 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS), Kuala Terengganu memeriahkan program perjumpaan semula di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Penganjur program, Azmi Abdullah berkata, perjumpaan itu diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan bekas pelajar SMKSS dari tahun 1975 hingga 1979.

“Majlis perjumpaan semula kali ketiga yang dianjurkan sejak tahun 2011 itu turut dihadiri lima bekas guru yang pernah mengajar kami,” katanya.

Friday, April 28, 2017

Selangor kecundang di tangan T-Team

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasukan berstatus kelab, T-Team terus mencipta kejutan dengan menewaskan Selangor 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam ini.
Pemain gantian, Muhammad Fauzi Abdul Kadar muncul wira buat tuan rumah selepas meledak gol kemenangan sewaktu perlawanan hanya berbaki dua minit pada minit ke-88.
Pemain tengah itu meluru laju ke penjuru kiri pintu gawang skuad Red Giants sebelum melepaskan rembatan padu yang menumpaskan penjaga gol tuan rumah, Md. Khairulazhan Md. Khalid.
Terdahulu, tuan rumah berpeluang untuk memperolehi gol awal menerusi tandukan tajam pemain tengah import, Dilshod Sharofetdinov yang tepat ke dakapan Md. Khairulazhan pada minit ke-16.
Kesempatan terbaik Selangor pula muncul pada minit ke-36 namun percubaan lencong pemain tengah, Muhammad Syahmi Safari dari penjuru kanan gawang T-Team yang berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Mohd. Hafidz Romly. - K! ONLINE

Pembantu kedai didakwa merompak dan mencederakan rakan sekerja

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita yang juga rakan sekerjanya di Kampung Belukar Jambu di sini pada pertengahan bulan ini.
Norjahan Abdul Tajol, 35, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.
Berdasarkan pertuduhan, Norjahan didakwa melakukan rompakan dan menyebabkan kecederaan secara sengaja terhadap Sarifah Ibrahim, 53, di rumah mangsa di Kampung Belukar Jambu antara pukul 2 dan 3 petang pada 14 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahah.
Kosmo! 15 April lalu melaporkan kejadian rompakan itu menggemparkan masyarakat setempat selepas ibu Sarifah, Rokiah A. Rahman yang dipercayai menjadi mangsa rompakan Norjahan telah ditemui mati dalam lengkap bertelekung di ruang tamu rumahnya.
Begitupun, hasil bedah siasat kemudiannya mendapati punca kematian Rokiah disebabkan oleh serangan jantung. - K! ONLINE

LPKPM hadiah beg kepada pelajar kurang mampu di Kuala Terengganu

BANTUAN. Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) menganjurkan program Hadiah Kasih Sayang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belara, Manir, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Timbalan Presiden LPKPM, Dr. Lee Nan Sang berkata, seramai 50 pelajar kurang kemampuan menerima sumbangan beg sekolah yang disampaikan Pengerusi YPJM Terengganu, A. Latiff Awang.

Beliau berkata, bantuan tersebut bertujuan untuk meringankan beban keluarga pelajar yang berkenaan.

“YPJM juga menyampaikan ceramah pencegahan jenayah bagi memberi kesedaran kepada pelajar yang terbabit,” katanya.

Thursday, April 27, 2017

500 pelumba bakal gegar Drag Battle King of the King 2.0

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SERAMAI 500 pelumba sukan permotoran drag dari seluruh negara dan antarabangsa bakal menggegarkan Kejohanan Drag Battle King of the King 2.0 yang berlangsung selama lima hari tanpa henti bermula esok di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

Kejohanan yang bakal menyaksikan 30 kategori dipertandingkan melibatkan kereta, kenderaan pacuan empat roda dan motosikal itu merupakan anjuran Persatuan Permotoran Terengganu Darul Iman (PPTDI) dan Koperasi Permotoran Terengganu Darul Iman.

Pengerusi PPTDI, Rosli Nooral Azhar berkata, seramai 200 pelumba bagi kategori kereta dan kenderaan pacuan empat roda termasuk dari Thailand dan Singapura telah mengesahkan penyertaan.

“Bagi kategori motosikal pula, pihak penganjur telah menerima 300 penyertaan.

“Kejohanan itu melibatkan 20 kategori kereta dan kenderaan pacuan empat roda, manakala sebanyak 10 ka­tegori untuk motosikal dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM500,000,” katanya pada sidang akhbar penganjuran kejohanan itu di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak.

Rosli Nooral berkata, selain acara utama iaitu King of the King yang melibatkan semua jentera, pelbagai acara sam­pingan lain turut diadakan seperti drift, time attack, mini bike, gymkhana dan 4x4 turbo.

Menurut beliau, PPTDI juga menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 peminat sukan permotoran tanah air bakal memeriahkan penganjuran kejohanan tersebut yang kali kedua diadakan di Terengganu itu.

“Apatah lagi kejohanan ini bakal dilangsungkan di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak yang baru disiap­kan dan ia mampu memberi impak positif kepada sukan permotoran negeri ini dan sambutan Tahun Melawat Terengganu 2017,” katanya.

2 pensyarah UMT ditauliah Leftenan Komander (Kehormat)

IKTIRAF. Dua pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah ditauliah pangkat Leftenan Komander (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) di KD Sri Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemakaian pangkat kepada Prof. Madya Dr. Mohammad Fadhli Ahmad dan Dr. Mohd. Shaari Abdul Rahman tersebut telah disempurnakan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, ia merupakan tanda pengiktirafan TLDM terhadap sumbangan tenaga dan kepakaran yang telah disumbang kedua-dua kakitangan akademik UMT terbabit terhadap pasukan keselamatan itu.

Wednesday, April 26, 2017

T-Team tak akan biarkan Selangor berpesta

PENGENDALI T-Team, Rahmad Darmawan mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terus dibuai dengan kejayaan membelasah Kedah 5-0 baru-baru ini, sebaliknya fokus pada pertemuan menentang Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Beliau berkata, Selangor adalah pasukan yang berbeza dan cabaran yang bakal dihadapi pemain-pemainnya kali ini juga tidak boleh dipandang mudah.

“Semua pemain perlu segera melupakan kemenangan kita tempoh hari (dengan Kedah). Saya bimbang ia bakal membuat mereka merasa selesa sedang­kan itu cuma salah satu perlawanan dalam Liga Super.

“Kita perlu bermula semula dengan perancangan dan taktikal baharu dan menjadikan Selangor sebagai mangsa seterusnya,” kata Rahmad kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Rahmad berkata, pada masa sama, beliau juga mahu anak-anak buahnya agar mengekalkan prestasi cemerlang seperti yang dipamerkan ketika menentang Perak­ dan Kedah sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berpendapat Selangor yang kini menghuni tangga keempat liga merupakan pasukan yang mantap dan ia terbukti selepas skuad tersebut mengikat Pahang 2-2 di gelanggang lawan pada aksi sebelum ini.

Pusat Global Raja Salman untuk Keamanan Antarangsa dibuka di Malaysia


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN -  Malaysia menerima pengiktirafan tertinggi apabila Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud mahu membuka pusat keamanan antarabangsa yang mengguna pakai nama baginda di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pusat Global Raja Salman untuk Keamanan Antarangsa itu bakal dibuka dalam tempoh 90 hari.

Beliau berkata, ia merupakan pengiktirafan besar kepada negara kerana  pusat keamanan berkenaan merupakan satu-satunya yang diberi kebenaran untuk menggunakan nama baginda.

"Raja Salman beritahu saya kehendak baginda untuk (menubuhkan) satu pusat dinamakan sebagai King Salman Global Center For International Peace.

"Baginda bertitah boleh pilih mana-mana negara Islam untuk penubuhan pusat berkenaan tetapi baginda telah memilih Malaysia,"  katanya ketika melancarkan program Jom Bantu Rakyat di Kampung Santong, Paka dekat sini hari ini.

Kaki membesar selepas terjatuh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jangkitan kuman pada lapisan kulit yang menyebabkan kedua-dua belah kakinya membesar dan membengkak sehingga lebih 10 kilogram telah me­ngubah kehidupan seorang wanita sejak tiga tahun lalu.

Penyakit yang dideritai Eizan Nadia Zainuddin, 39, itu bukan sahaja menyebabkan dia kehilangan pekerjaan sebagai tukang masak kafe di Hospital Serdang, Selangor malah dia kini susah untuk bergerak.

Menurut wanita itu, penyakitnya bermula selepas dia dimasukkan ke wad Hospital Putrajaya selama lebih sebulan setengah akibat demam panas yang turut menyebabkan kakinya berubah kemerahan pada November 2014.

“Dua bulan sebelum jatuh sakit, saya menjalani rawatan obesiti di hospital sama yang mana berat badan saya ketika itu ialah 190 kilogram (kg). Selepas dibenarkan keluar hospital, saya terlantar di rumah selama hampir sembilan bulan sebelum mampu bangun semula.

“Sepanjang tempoh itu, berat badan saya turun mendadak sebanyak 60kg daripada 248kg kepada 188kg dan kulit badan saya banyak mengendur akibat terkena jangkitan kuman pada lapisan kulit,” kata anak ketiga dari lima beradik itu ketika ditemui di rumahnya di Taman Permint Jaya di sini semalam.

Eizan Nadia berkata, pakar perubatan memberitahu, penyakitnya itu dikenali sebagai cellulitis bukannya penyakit untut seperti yang sering kali diperkatakan.

Cellulitis terjadi di­sebabkan jangkitan bakteria staphylococcus aureus atau streptococcus species pada kulit pesakit.

Kepada Kosmo!, bekas tukang masak itu berkata, dia percaya jangkitan kuman pada kakinya berpunca daripada luka lama dipercayai akibat terjatuh di bilik air kira-kira sebulan lalu.

Jangkitan itu katanya, menyebabkan lebihan air pada badannya (akibat penurunan berat badan) yang sepatutnya dikumuhkan oleh buah pinggang telah ‘turun’ ke kedua-dua belah kakinya yang kemudiannya membengkak sehingga 10.6kg setiap satu.

“Kesannya, saya terpaksa menjalani empat kali pembedahan untuk membuang lebihan air dan lemak yang berkumpul pada kaki sebanyak tiga kali,” katanya yang perlu mengeluarkan kos kira-kira RM1,000 bagi setiap pembedahan.

Menurutnya, kos perubatan itu sedikit sebanyak membebankan kerana dia kini tidak be­kerja dan kembali menetap bersama ibu bapanya yang merupakan pesara kerajaan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan meng­hubungi bapanya, Zainudin Sulaiman di talian 011-267 08440.

APMM lancar pasukan sukarelawan di Terengganu

BERBAKTI. Maritim Malaysia (APMM) melancarkan Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) cawangan Terengganu di Markas Maritim Daerah Kuala Terengganu baru-baru ini.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Ahmad Puzi Abdul Kahar berkata, seramai 256 orang awam melepasi saringan awal untuk menyertai PSSMM Terengganu tersebut.

Beliau berkata, Terengganu merupakan negeri ketiga menubuhkan PSSMM selepas Perlis dan Sabah.

"Mereka yang akan di beri latihan kemahiran seperti berenang, menyelamat, mengendalikan bot, meronda dan memeriksa kapal dagang akan berperanan membantu APMM mengawal perairan negara," katanya.

Turut hadir Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mamu Said Adlee dan Pengarah Daerah Maritim 9 Terengganu, Kepten Maritim Zainol Abidin Jusoh.

Tuesday, April 25, 2017

Dua kritikal, empat cedera akibat kemalangan di LPT2

KEMAMAN - Sepasang suami isteri kritikal manakala empat lagi ahli keluarga mereka cedera selepas kereta Honda Jazz yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh besi penghadang di Kilometer 253.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Cheneh dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, Tengku Hanafi Tengku Hassan, 45, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan dan isterinya, Rosmah Ibrahim, 44, di tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, anak pasangan tersebut, Tengku Amirul Hafiruddin, 21, yang memandu kereta Honda Jazz terbabit pula mengalami kecederaan di bahagian dahi, kaki dan tangan manakala isterinya, Fatin Fatihah, 21, pula cedera di bahagian tangan.
"Dua lagi anak pasangan suami isteri yang cedera parah iaitu Tengku Puteri Arisa, 5, dan Tengku Putera Airil Sharizat, 3, yang duduk di tempat duduk penumpang belakang hanya mengalami kecederaan ringan.
"Sewaktu kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Saeda, Paka, Dungun selepas bercuti di Kuala Lumpur," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Terengganu hasrat benam JDT II di Pasir Gudang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENGENDALI Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berharap kejayaan mara ke separuh akhir Piala FA Jumaat lalu dapat membakar semangat anak-anak buahnya untuk melakar kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang malam ini.

Beliau berkata, momentum kemenangan perlu dikekalkan bagi mencerahkan peluang mereka memburu slot ke Liga Super pada musim depan.

“Kita perlu terus fokus memburu mata demi mata bagi mengejar pendahulu (Liga Premier), Negeri Sembilan.

“Kini, Terengganu berada di tempat ketiga setelah tewas pada aksi menentang UiTM (Universiti Teknologi Mara) sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Irfan Bakti memberitahu, beliau akan melakukan beberapa pertukaran formasi dan taktikal berikutan ketiadaan tiga tonggak utama pada perlawanan menentang JDT II nanti.

Beliau berkata, penjaga gol, Amierul Hakimi Awang dan pemain tengah, Faiz Mohd. Nasir tidak dapat diturunkan kerana kecederaan manakala kapten pasukan, Abdul Latiff Suhaimi pula digantung perlawanan selepas dilayangkan kad merah pada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Sarawak pada Jumaat lalu.

“Walaupun pemain-pemain saya agak keletihan kerana perlu beraksi di Sarawak dan Johor dalam tempoh tiga hari, saya yakin mereka sangat bermotivasi tinggi,” katanya.

Terengganu kini berada di tempat ketiga Liga Premier dan berkongsi 21 mata dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang menghuni tangga kedua selepas 10 perlawanan.

Lancar RIR Taman Desa Idaman

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN –  Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) melancarkan projek Rumah Idaman Rakyat (RIR) Taman Desa Idaman yang terletak di Kampung Santong, Paka dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali berkata, projek berkenaan membabitkan pembinaan 229 unit kediaman dan rumah kedai bakal yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2019.

“RIR Taman Desa Idaman merangkumi 70 unit rumah teres setingkat, teres dua tingkat (60 unit) dan rumah berkembar (76 unit), di sam­ping 23 unit rumah kedai,” katanya pada majlis pecah tanah RIR Kampung Santong, Paka dekat sini semalam.

Turut hadir pada majlis yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Idaman Sdn. Bhd., Azrul Hisyam Munap.
Menurut Ahmad Azizi,  projek pembangunan bercampur tersebut dibina di atas tapak seluas 10.53 hektar berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka, Lebuh Raya Pantai Timur 2 dekat sini dan ditawarkan pada harga RM68,000 sehingga RM683,200 seunit.

“Sambutan yang diterima terhadap RIR Taman Desa Idaman amat memberangsangkan dengan 800 permohonan telah diterima setakat ini,” katanya.

Beliau memaklumkan, projek berkenaan akan diba­ngunkan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Tambahnya, SPNB turut bercadang untuk membina lebih 2,000 unit RIR di Terengganu iaitu Kerteh, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu pada masa hadapan.

Kakitangan adakan majlis perpisahan Pengarah AADK Terengganu

Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu mengadakan majlis perpisahan pengarah agensi itu di Hotel dan Apartmen Sumai, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Majlis tersebut sempena pertukaran Pengarah AADK Terengganu, Rohayu Ahmad ke Kelantan.

Beliau akan digantikan dengan Mohd. Tajmuddin Shah Muda yang sebelum ini merupakan Pengarah Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan Sedang, Kedah.

Monday, April 24, 2017

Kaki gadis membesar akibat jangkitan kuman pada lapisan kulit

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jangkitan kuman pada lapisan kulit yang menyebabkan kedua-dua belah kaki membesar dan membengkak sehingga lebih 10 kilogram mengubah diari seorang gadis aktif sejak tiga tahun lalu.
Penyakit yang dideritai Eizan Nadia Zainuddin, 39, (gambar) itu bukan sahaja menyebabkan dia kehilangan pekerjaan sebagai tukang masak kafeteria Hospital Serdang, Selangor malah menghadapi kepayahan berjalan sehingga hampir semua aktiviti harian terpaksa dibantu ahli keluarga.
Menurutnya, penyakitnya bermula selepas dia dimasukkan ke wad Hospital Putrajaya selama lebih sebulan setengah akibat demam panas yang turut menyebabkan kakinya turut berubah kemerahan pada November 2014.
"Saya kemudiannya terlantar ke rumah selama hampir sembilan bulan sebelum mampu bangun semula setelah menerima fisioterapi daripada pakar hospital itu.
"Sepanjang tempoh itu berat badan saya turun mendadak sebanyak 60 kilogram (kg) daripada 248kg kepada 188kg dan kulit badan saya banyak mengendur dan terkena jangkitan kuman pada lapisan kulit," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Taman Permint Jaya di sini hari ini.
Eizan Nadia berkata, pakar perubatan memberitahu, jangkitan kuman itu menyebabkan lebihan air pada badan akibat penurunan berat badan itu yang sepatutnya dikumuhkan oleh buah pinggang menurun ke kedua-dua belah kakinya sebelum membengkak sehingga 10.6kg setiap satu. - K! ONLINE 

Suami isteri maut, 11 cedera selepas dua MPV bertembung

MARANG – Pasangan suami isteri maut manakala 11 termasuk empat anak mereka cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish yang dinaiki bertembung dengan sebuah MPV lain, Hyundai Starex di Kilo­meter 41 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Merchang di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6.25 petang itu, Noor Amalia Noorzan, 34, dan suaminya, Badrulhisham Omar, 41, masing-masing meninggal dunia pada pukul 12.35 pagi dan 6.16 pagi semalam sewaktu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa yang merupakan pasangan guru dan anak mereka dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kemaman dari Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Abdul Razak Hasan berkata, Noor Amalia dan Badrulhisham yang masing-masing mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail dan SK Binjai, Kemaman meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala, dada dan perut.

“Tiga anak mangsa iaitu Darwish, 4, Diyani, 7, dan Danish, 11, mengalami kecederaan parah pada kepala dan perut manakala seorang lagi, Damia, 9, cuma cedera ringan.

“Pemandu MPV, Hyundai Starex, Zulkahar Ismail, 52, dan enam penumpangnya juga mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Abdul Razak berkata, enam penumpang Hyundai Starex yang tercedera ialah isteri Zulkahar, Munira Nordin, 49, dan tiga anak mereka, Intan Zubati, 21, Ierman Putra, 20, dan Ierman Rifqi Idraki, 7, serta anak saudara mereka iaitu Nur Farisha Haida Md. Fadzil, 20, dan Muhammad Najhan Zainuddin, 21.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Toyota Wish yang dipandu Noor Amalia terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Hyundai Starex yang dipandu Zulkahar.
“Pertembungan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk teruk pada bahagian hadapan. Mayat Noor Amalia dan Badrulhisham telah dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk dibedah siasat.

“Kesemua mangsa termasuk empat anak mereka yang cedera parah pula sedang menerima rawatan di hospital sama dan keadaan mereka kini dilaporkan stabil. Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Perhilitan berjaya selamatkan haiwan dilindungi bernilai RM50,000

HULU TERENGGANU – Kedegilan lima lelaki termasuk empat warga Indonesia memelihara haiwan dilindungi tanpa lesen mengundang padah apabila premis mereka diserbu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dalam dua kes berasingan di Kampung Jabi, Jerteh, Besut pada Jumaat lalu.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Rahmah Ilias berkata, serbuan tersebut berjaya merampas beberapa haiwan dilindungi antaranya burung murai batu, burung helang bahu hitam, burung murai belanda, landak raya, memerang, ular sawa Burma dan musang yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

“Dalam serbuan pertama, lapan ekor burung murai batu, dua ekor ayam hutan dan masing-masing seekor burung murai belanda, burung helang bahu hitam dan burung kunyit kacat berjaya dijumpai di dalam sebuah rumah yang dihuni empat pekerja kilang papan warga Indonesia.

“Serbuan kedua di sebuah rumah seorang pemandu jentolak warga tempatan tidak jauh dari lokasi pertama pula menjumpai 10 ekor landak raya, tiga ekor kura-kura dan masing-masing seekor memerang, musang dan ular sawa Burma,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Hulu Terengganu, Kuala Berang di sini semalam.

Rahmah berkata, kesemua suspek iaitu empat lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun telah diambil keterangan berhubung penemuan haiwan-haiwan dilindungi terbabit di Balai Polis Kampung Raja, Besut.

Menurut beliau, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kesemua haiwan terbabit terutama burung murai batu dan landak raya diburu dan dipelihara tanpa permit untuk dijual di pasaran gelap berikutan permintaan dan harganya yang tinggi.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) dan 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Sunday, April 23, 2017

100 kes penipuan jual beli barangan secara atas talian diterima setiap minggu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kes penipuan jual beli barangan secara atas talian semakin membimbangkan dengan lebih 100 kes diterima polis dalam tempoh seminggu sejak awal tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sepanjang tempoh itu, kegiatan jenayah tersebut telah menyebabkan kerugian dianggarkan puluhan juta ringgit.
"Penipuan siber terutama jual beli barang secara atas talian merupakan antara jenayah komersial tertinggi yang diterima JSJK.
"Walaupun statistik kes penipuan siber menunjukkan trend meningkat, kita percaya masih ramai mangsa yang tidak tampil melaporkannya kepada pihak polis," katanya selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE 

Datuk Aidi Ismail Ketua Polis Terengganu baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Datuk Aidi Ismail secara rasmi bertugas sebagai Ketua Polis Terengganu baharu bermula hari ini.
Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah 1, Jabatan Sumber Strategi dan Teknologi Bukit Aman menggantikan Datuk Rosli Ab. Rahman yang akan bertukar sebagai Ketua Polis Pahang.
"Saya berpendapat Datuk Rosli telah meninggalkan Polis Kontijen Terengganu dalam keadaan mantap dan stabil.
"Saya akan meneruskan legasi sedia ada di samping memberi penekanan kepada tiga fokus utama iaitu memelihara ketenteraman awam, mengawal kadar jenayah dan memantapkan integriti pegawai dan anggota polis," katanya pada majlis serah tugas jawatan Ketua Polis Terengganu di sini hari ini.
Majlis serah tugas jawatan tersebut disaksikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.
Sementara itu, Rosli yang dinaikkan pangkat sebagai Komisioner akan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Kontijen Pahang pada Rabu ini. - K! ONLINE

Empat kedai musnah dijilat api di Besut


Oleh MOHD. AZLI ADLAN


BESUT - Empat premis perniagaan sederet berusia 25 tahun yang terletak berhadapan dengan Sekolah Kebangsaan Besut 2 di sini musnah dalam kebakaran hari ini melibatkan kerugian yang dianggarkan puluhan ribu ringgit.
Kebakaran yang berlaku pada pukul 7.12 pagi itu melibatkan premis dua tingkat diperbuat daripada kayu merangkumi dua kedai makan, sebuah kedai runcit dan sebuah kedai.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba Sharikan Bustaman berkata, siasatan awal mendapati kebakaran itu disyaki disebabkan kebocoran gas memasak dari sebuah kedai makan terbabit.
"Sewaktu kejadian, beberapa tukang masak di kedai makan itu sedang menyediakan hidangan untuk jualan di dapur.
"Kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri selepas menyedari kehadiran api yang menyambar dari dapur berikutan kebocoran pada salah satu gas memasak yang sedang digunakan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

50,000 pelajar tercicir dibantu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) telah mencatat pencapaian membanggakan selepas berjaya membantu 50,000 lepasan sekolah yang tercicir menyambung semula pelajaran mereka di institusi pengajian tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penganjuran program itu sejak tahun lalu merupakan salah satu agenda kerajaan untuk memperkasakan golongan bumiputera dalam bidang pendidikan.

“Saya beri peruntukan dan minta jawatankuasa (JPB) pergi ke kampung-kampung untuk mencari anak muda yang sebelum ini tercicir daripada sistem pendidikan negara.

“Masa depan mereka kemudian berubah menerusi program Jelajah Pendidikan Bumiputera ini,” katanya ketika melancarkan program Jom Bantu Rakyat dan majlis pecah tanah Rumah Idaman Rakyat Kampung Santong, Paka dekat sini semalam.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan surat tawaran bagi melanjutkan pengajian peringkat Diploma Teknologi Makanan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu kepada Mohd. Kamil Hakimi Jamaluddin, 19.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi JPB, Tan Sri Prof. Dr. Sahol Hamid Abdul Bakar.
Sementara itu, Ketua Urus Setia Sekretariat JPB 2017, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali berkata, lebih 4,000 permohonan telah diterima daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia pada siri jelajah peringkat Terengganu yang diadakan di dua lokasi iaitu Tepoh, Kuala Nerus dan Paka dekat sini.

“Sambutan yang diterima dari kedua-dua lokasi itu amat menggalakkan dan menjadi tumpuan ramai lepasan sekolah.

“Kebanyakan mereka hadir bagi mencari peluang untuk melanjutkan pelajaran bersama ibu bapa masing-masing,” katanya.

Mohd. Aizuddin berkata, sebanyak 22 institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk universiti, kolej, institusi kemahiran serta teknikal terlibat dalam siri jelajah di negeri ini.

Saturday, April 22, 2017

Empat lelaki termasuk tiga anggota penguat kuasa sempadan disyaki memeras ugut peniaga ditahan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Empat lelaki termasuk tiga anggota penguat kuasa Agensi Keselamatan Sempadan ditahan polis kerana disyaki melakukan memeras ugut seorang peniaga di Pasir Panjang di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 31 hingga 53 tahun ditangkap selepas dikepung sekumpulan penduduk kampung yang menyedari perbuatan peras ugut tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Senior Asisten Superitendan Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, sewaktu kejadian, kesemua suspek telah menyerbu premis perniagaan mangsa kononnya untuk melakukan pemeriksaan.
"Mangsa mengenali salah seorang suspek yang kebetulan merupakan kenalan abangnya.
"Tidak lama kemudian penduduk kampung yang mengesyaki sesuatu tidak kena telah mengepung premis itu sebelum bertindak menangkap kesemua suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - K! ONLINE

BN perlu mandat baharu untuk laksana pelan transformasi negara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat agar terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, mandat tersebut amat diperlukan bagi membolehkan segala pelan transformasi yang bakal membawa perubahan besar kepada negara dalam beberapa tahun akan datang dapat dilaksanakan.
"Tidak lama lagi, kita akan kembalikan kuasa (mandat) kepada rakyat. Mungkin tahun ini, mungkin tahun depan.
"Kerajaan (BN) ada visi besar dan mempunyai perancangan cukup rapi serta mempunyai keupayaan untuk melakukan pelan transformasi negara," katanya ketika merasmikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Bukit Nanas di Tepoh dekat sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, April 21, 2017

Skuad Penyu buru kemenangan 
di laman lawan

JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim (gambar) menggesa anak-anak buahnya agar kembali fokus untuk menghadapi aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Sarawak di Stadium Ne­geri, Kuching malam ini, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Beliau berkata, pengalaman pahit dibelasah kelab bola sepak Universiti Teknologi Mara (UiTM FC) 0-4 pada saingan Liga Premier, Jumaat lalu harus dilupakan segera.

“Saya mahu mereka terutama barisan pemain import agar kembali bangkit dan menampilkan aksi agresif sewaktu berdepan Sarawak esok (malam ini).

“Perlu diingatkan, pasukan lawan mempunyai kelebihan gol di tempat lawan dan kita bertandang ke laman mereka dengan misi untuk memadamkan defisit itu,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, beliau juga telah mengingatkan anak-anak buahnya bahawa mereka tiada pilihan selain mencatat kemenangan pada pertemuan tersebut.

Menurut Irfan, hanya kemena­ngan mampu mem­bawa skuad Penyu men­capai impian mara le­bih jauh dalam saingan Piala FA musim ini.

“Kita perlu lebih agresif mencari gol awal dan pada masa sama, barisan pertahanan juga perlu fokus agar tidak mudah dibolosi,” katanya.

Dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 1 April lalu, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

T-Team belasah Kedah 5-0

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN berstatus kelab, T-Team mencipta kejutan dengan membelasah Kedah 5-0 pada aksi ke-10 Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Keputusan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah skuad Kedah yang lebih dikenali sebagai Helang Merah pada musim ini.

Skuad Helang Merah yang pada mulanya menguasai permainan mula hilang arah selepas pemain pertahanannya, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali diperintahkan keluar padang pada minit ke-31.

Perancang T-Team, Mohd. Nor Hakim Hassan muncul wira buat pasukannya apabila meledak hatrik pada minit ke-37, 59 dan 63. 

Terdahulu, T-Team yang mendapat jolokan The Titans mendahului menerusi perancang import, Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-10.

Satu lagi gol tuan rumah diledak penyerang import, Mamadau Samassa pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Thursday, April 20, 2017

Azizulhasni dapat ‘durian runtuh’

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

JUARA keirin dunia, Azizulhasni Awang terus mendapat pengiktirafan apa­bila menerima ‘durian runtuh’ berupa ganjaran berjumlah RM200,000 daripada kerajaan  negeri Terengganu semalam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, insentif itu berupa wang tunai RM100,000, manakala selebihnya bagi membiayai latihan Azizulhasni sama ada di dalam atau di luar negara.

“Hari ini (semalam) kita sekali lagi meraikan success story (cerita kejayaan) dicapai anak Terengganu, Azizulhasni yang ber­jaya mencatat sejarah buat  negara dan negeri ini apabila mun­cul juara dunia dalam acara keirin.

“Terima kasih Azizulhasni, anda telah lakukan yang terbaik dan kami amat bangga dengan anda,” katanya ketika menyam­but kepulangan Azizulhasni se­bagai wira berbasikal negara ke Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu semalam.

Terdahulu, Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Poc­ket Rocketman diarak sejauh 13 kilometer dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.

Lebih 2,000 penduduk tempatan termasuk pelajar sekolah tidak melepaskan peluang untuk meraikan kejayaan jaguh berbasikal negara itu dengan menunggu di sepanjang jalan sehingga ke Wisma Darul Iman.

Ahmad Razif berkata, pemberian insentif itu sebagai menghargai pencapaian tertinggi  yang diraih  Azizulhasni setelah merangkul pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong, 13 April lalu.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan pemberian insentif RM2,000 sebulan kepada setiap atlet kelahiran Terengganu yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Insentif ini bagi membiayai keperluan dan latihan yang akan dilunaskan selepas mereka disahkan layak dan sehingga berakhir temasya berprestij dunia itu,” katanya.

Sementara itu, Azizulhasni yang ditemani ibu bapanya, Selamiah Yong dan Awang @ Muda Embong amat menghargai sokongan kerajaan Terengganu sehingga membolehkan dia melakar kejayaan besar tersebut.

“Saya berharap cerita keja­yaan ini (juara keirin dunia) dapat memberi semangat kepa­da golongan muda di Terengganu untuk menggapai kejayaan dalam bidang sukan,” katanya.

Haiwan dilindungi bernilai RM50,000 berjaya diselamatkan Perhilitan


HULU TERENGGANU - Perbuatan degil lima lelaki termasuk empat warga Indonesia membela haiwan dilindungi tanpa lesen mengundang padah selepas premis mereka diserbu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dalam dua kes berasingan di Kampung Jabi, Jerteh, Besut pada Jumaat lalu.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Rahmah Ilias berkata, serbuan tersebut berjaya merampas beberapa haiwan dilindungi antaranya burung murai batu, helang bahu hitam, murai belanda, landak raya, memerang, ular sawa Burma dan musang yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000.
"Dalam serbuan pertama, lapan ekor burung murai batu, dua ekor ayam hutan dan masing-masing seekor burung murai belanda, burung helang bahu hitam dan burung kunyit kacat yang berjaya dijumpai di dalam sebuah rumah yang dihuni empat pekerja kilang papan warga Indonesia.
"Serbuan kedua di sebuah rumah seorang pemandu jentolak warga tempatan tidak jauh dari lokasi pertama pula menjumpai 10 ekor landak raya, tiga ekor kura-kura dan masing-masing seekor memerang, musang serta ular sawa Burma," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Hulu Terengganu, Kuala Berang di sini hari ini. - K! ONLINE

Wednesday, April 19, 2017

Produk suntikan kecantikan tidak berdaftar berjumlah RM56,000 dirampas

DUNGUN - Jabatan Kesihatan Terengganu berjaya menumpaskan kegiatan spa yang disyaki menawarkan produk suntikan kecantikan tidak berlesen dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini dan Kuala Terengganu baru-baru ini.
Produk suntikan kecantikan tidak berdaftar yang dirampas berjumlah keseluruhan RM56,000 itu merupakan rampasan terbesar dalam tempoh tiga tahun membabitkan barangan berkenaan berbanding RM13,000 dan RM8,000 masing-masing pada tahun 2015 dan 2016.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, serbuan pertama melibatkan sebuah spa kecantikan milik seorang pengamal perubatan yang turut mempunyai sebuah klinik swasta di daerah ini.
"Serbuan terhadap spa kecantikan yang diuruskan suami pengamal perubatan itu berjaya merampas produk suntikan kecantikan tidak berlesen berjumlah RM13,000.
"Siasatan awal mendapati mereka menjalankan perkhidmatan suntikan vitamin C tidak berdaftar di spa kecantikan berkenaan dan ia dipromosi secara meluas dalam laman Facebook dan Instagram," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - K! ONLINE

Diplomat Kedutaan Besar Perancis lawat SM Sains Hulu Terengganu

MUHIBAH. Ketua Bahagian Pendidikan Kedutaan Besar Perancis di Malaysia, Nicolas Gouletquer mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah (SM) Sains Hulu Terengganu, Kuala Berang, Hulu Terengganu baru-baru ini.

Pengetua sekolah itu, Nor Hayati Yusoff berkata, kunjungan pihak kedutaan negara itu adalah bagi meninjau perkembangan pengajaran Bahasa Perancis yang dijalankan di sekolah tersebut.

“Mereka ingin melihat sendiri pembelajaran Bahasa Perancis yang sudah masuk tahun kelima diajar kepada pelajar sekolah ini,” katanya.

Tuesday, April 18, 2017

Pelajar cemerlang Terengganu terima tajaan lanjut pengajian

CEMERLANG. Lima pelajar cemerlang Terengganu menerima biasiswa pelajaran daripada kerajaan negeri untuk melanjutkan pengajian ke Jerman pada satu majlis di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, lima pelajar tersebut ialah Ahmad Azarul Azri Amri, Ahmad Nizam Najmi Abdul wahab, Amerul Atiq Yahaya, Abdul Latif Said dan Mahirah Hanim Abdul Rahim. Mereka akan menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Setiap pelajar menerima wang pendahuluan sebanyak RM36,411.95 daripada Yayasan Terengganu untuk yuran kemasukan ke universiti masing-masing.

Monday, April 17, 2017

Fiesta Kemaman Kite berlangsung meriah

MERIAH. Kumpulan WhatsApp, Kemaman Kite yang dianggotai komuniti daerah Kemaman mengadakan Fiesta Kemaman Kite di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Penganjur program, Mat Dalam Awang berkata, program anjuran kumpulan WhatsApp yang ditubuhkan pada 8 September 2016 itu bertujuan mempromosikan daerah Kemaman sebagai salah satu lokasi kunjungan pelancong tempatan dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Terengganu 2017.

“Pelbagai acara seperti perlumbaan drag kereta, pertunjukan kebudayaan dan persembahan artis seperti Mat Over, Ayie Lantana dan personaliti Mat Dan,” katanya.

Sunday, April 16, 2017

Pertemuan semula bekas pelajar SMK Bukit Sawa meriah

MENGIMBAU KENANGAN. Seramai 42 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Marang, Terengganu mengadakan majlis pertemuan semula dalam suasana cukup meriah di Pantai Kelulut, Marang baru-baru ini.

Penganjur program, Anuar Mat Nong berkata, majlis diadakan bertujuan mengeratkan hubungan antara bekas pelajar sekolah itu sekitar tahun 1985.

“Selain beramah mesra, kami juga telah sepakat mengumpulkan sumbangan untuk meringankan beban salah seorang rakan kami, Ibrahim Said yang kini lumpuh separuh badan akibat masalah kesihatan sejak lebih setahun lalu,” katanya.

Saturday, April 15, 2017

T-Team tak gentar saingan Helang Merah

PASUKAN kelab, T-Team tidak gentar untuk berdepan pasukan hebat, Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan (gambar) berkata, anak-anak buahnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjinakkan skuad Helang Merah di hadapan ribuan penyokong mereka.

Beliau berkata, skuadnya juga mahu menjadikan perlawanan ke-10 itu sebagai penebus kehampaan selepas terpaksa berkongsi satu mata pada saat-saat akhir sewaktu aksi menentang Perak minggu lalu.

“Walaupun kecewa gagal membawa pulang tiga mata tempoh hari, secara positif–nya anak-anak buah saya telah menunjukkan prestasi baik dan membuktikan mereka mampu memberi saingan sengit kepada  pasukan-pa–sukan handalan dalam Liga Super.

“Jika prestasi dan motivasi itu dikekalkan, saya yakin kita mampu mencatat keputusan positif pada aksi menentang Kedah esok (malam ini),” katanya.

Rahmad berkata, beliau juga telah menyusun taktikal terbaik bagi menjinakkan Kedah yang kini berada di kedudukan ketiga liga.

Pengendali berpengalaman Indo–nesia itu turut memberitahu, beliau juga telah memberi tumpuan untuk memperkukuhkan barisan pertahanan bagi mengekang serangan berbisa Kedah pada pertemuan itu.

“Barisan serangan kami pula berkemungkinan besar akan diperkuatkan kembali dengan kehadiran penyerang import, Farhod Tadjiyev yang sebelum ini menjalani pergantungan perlawanan,” katanya.

Cerita kegigihan wanita 104 tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Usia Wok Taib pada tahun ini mencecah 104 tahun.

Meskipun demikian, ia langsung tidak menghalang warga emas itu terus mengerah kudrat menganyam atap nipah di Kampung Jenang di sini.

Kepada Kosmo!, Wok berkata, dia telah mencari rezeki dengan cara itu bagi meneruskan ke­langsungan tradisi keluarganya sejak lebih 80 tahun lalu.

“Seingat saya, kerja membuat atap nipah ini telah saya lakukan sejak berumur belasan tahun lagi selepas diajar oleh orang tua.

“Kini, saya mengusahakannya bersama anak lelaki bongsu, Zaiton Mat Amin, 60, yang mencari bahan mentah iaitu daun nipah, buluh dan rotan di hutan dan pinggir sungai berhampiran,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Jenang dekat sini baru-baru ini.

Wok berkata, bagi menghasilkan sekeping atap, daun-daun nipah akan diikat dengan menggunakan rotan pada keratan buluh sepanjang 1.37 meter.

Menurutnya, biarpun tenaganya semakin berkurangan seiring dengan usia lebih satu abad, dia masih boleh menghasilkan atap nipah sehingga 100 ke­ping sehari.

Sementara itu, Zaiton berkata, setiap atap nipah yang dihasilkan tersebut dijual pada harga RM2 sekeping. 

Beliau berkata, permintaan terhadap atap nipah tetap ada terutama dalam kalangan pe­ngusaha restoran dan calet termasuk di Lembah Klang.

“Kami hanya membuat atap nipah berdasarkan tempahan yang secara purata diterima dua kali sebulan. Buat masa ini, kami sedang menyiapkan 5,000 atap nipah yang ditempah syarikat pembekal di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor dan dijangka siap dalam masa dua minggu,” katanya.

Zaiton berkata, pemasangan atap nipah bukan sahaja membuatkan sesuatu premis itu nampak unik dan klasik malah me­redupkan suasana dan ia mampu bertahan sekurang-kurangnya empat tahun sebelum perlu ditukar.

Friday, April 14, 2017

Pemandu maut, dua kelindan parah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang pemandu lori maut manakala dua kelindannya cedera parah selepas lori membawa muatan tilam yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 393.8 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, Razali Ahmat @ Sebulik, 39, yang putus kaki kiri dan cedera parah pada kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, dua kelindan lori tersebut iaitu Mohd. Faizul Mahpan, 43, dan Mohd. Hafiz Tahir, 36, pula parah pada kepala.

“Ketika kejadian, kesemua mangsa yang menaiki lori itu dalam perjalanan untuk menghantar tilam ke sebuah kedai perabot di Ajil dari Batu Pahat, Johor.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori yang mereka naiki tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh pembahagi lebuh raya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Adli memberitahu, rempuhan itu menyebabkan lori yang penuh muatan tilam terbabas ke dalam longkang besar di tepi lebuh raya dan Razali tercampak keluar dari lori sejauh beberapa meter.

Katanya, mayat Razali telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat manakala dua lagi mangsa yang parah pula sedang menerima rawatan di hospital sama.

Thursday, April 13, 2017

Pulau Redang kini memiliki klinik kesihatan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Perkhidmatan kesihatan di Pulau Redang dekat sini telah dinaik taraf dengan pembukaan sebuah klinik kesihatan bagi kemudahan lebih 2,000 penduduk pulau peranginan tersebut.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, sebelum ini, Pulau Redang cuma memiliki sebuah klinik desa yang turut memberi perkhidmatan kepada pelancong.
Beliau berkata, Klinik Kesihatan Pulau Redang yang dibina di atas tanah seluas kira-kira 0.23 hektar berhampiran jeti pulau itu dilengkapi pelbagai fasiliti moden termasuk makmal, farmasi, bilik rawatan kecemasan dan sebuah bot ambulans.
"Sebelum ini, kebanyakan kes kesihatan serius terpaksa di rujuk di hospital dan klinik kesihatan di daratan (Kuala Nerus dan Kuala Terengganu) dan menelan belanja kos pengangkutan yang agak tinggi.
"Pembukaan klinik kesihatan ini secara tidak langsung juga dapat menyelesaikan masalah pada setiap kali musim tengkujuh kerana bot tidak dapat beroperasi kerana laut bergelora," katanya selepas merasmikan Klinik Kesihatan Pulau Redang dekat sini hari ini. - K! ONLINE

Terengganu bakal buka 32 Gelanggang Silat TTB

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu berhasrat membuka Gelanggang Silat Transformasi Terengganu Baharu (TTB) di setiap 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri ini melibatkan peruntukan RM1.6 juta.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk memartabatkan semula seni persilatan terutama dalam kalangan generasi muda di negeri berkenaan.

"Kita mahu orang Terengganu mahir bersilat, menghargai budaya dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Seni persilatan warisan peninggalan orang tua kita seperti Silat Kura-Kura perlu dipertahankan agar terus subur merentasi zaman," katanya selepas menyampaikan hadiah pertandingan gendang silat peringkat Terengganu di Pentas Budaya Batu Burok di sini semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Pertandingan Gendang Silat yang julung-julung kali diadakan itu dimenangi Kumpulan Seri Gendang Hulubalang Orang Kuala Berang dari Hulu Terengganu.

Ahmad Razif berkata, kos pembinaan setiap Gelanggang Silat TTB dianggarkan menelan belanja kira-kira RM50,000 dan kerajaan negeri Terengganu memberi kepercayaan kepada Pesaka Terengganu untuk melaksanakan projek pembinaan kesemua gelanggang silat itu.

"Kita telah mengarahkan setiap pejabat tanah dan daerah, Ahli Dewan Undangan Negeri dan penyelaras DUN untuk melakukan perbincangan dengan Pesaka Terengganu berhubung cadangan tapak dan reka bentuk gelanggang silat terbabit," katanya.

Wednesday, April 12, 2017

Irfan tak puas hati biarpun Terengganu menang

BIARPUN melakar kemenangan 2-0 ke atas Sabah pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin, ia belum cukup untuk memuaskan hati pengendali­nya, Irfan Bakti Abu Salim, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Jurulatih berpengalaman itu berkata, aksi yang dipamerkan anak buahnya pada perlawanan tersebut masih belum mencapai tahap yang dikehendaki bagi mencabar takhta liga yang diterajui Negeri Sembilan.

“Walaupun kita berjaya meledak dua gol malam ini (kelmarin), kesemuanya terhasil menerusi bola mati (sepakan percuma) yang dihasilkan pemain tengah dan pertahanan. Saya kurang berpuas hati dengan prestasi barisan serangan.

“Bukan tiada percubaan tetapi terlalu banyak peluang yang terhidang di depan mata dilepaskan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Irfan yang merupakan bekas pengendali Felda United berkata, kesilapan mensia-siakan deretan peluang yang dicipta di dalam kotak penalti pihak lawan sudah berulang banyak kali dan ia amat meresahkan beliau.

Sehubungan itu, beliau akan mengerah penyerang-penyerang skuad Penyu untuk menjalani latihan intensif agar ketumpulan jentera serangan dapat diatasi secepat mungkin.

“Kita memerlukan lebih banyak gol untuk terus menghimpit Negeri Sembilan. Pada masa sama, kita juga perlu waspada dengan ancaman beberapa pasukan se­perti PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) dan UiTM (Universiti Teknologi Mara) yang kini terus menghambat kedudukan ketiga dan keempat liga,” katanya.

Pada aksi kelmarin, Terengganu berjaya membenam ancaman skuad Badak menerusi jaringan Mohd. Faiz Mohd. Nasir dan Lazaro Vinicius masing-masing pada minit ke-32 dan 51, sekali gus berada di kedudukan kedua Liga Premier dengan 21 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan.

Kadar kemiskinan Terengganu turun 56 peratus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Penurunan kadar kemiskinan di Terengganu yang menunjukkan perubahan ketara biar pun dalam keadaan ekonomi mencabar mendapat perhatian Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Baginda bertitah, berdasarkan data diperolehi pada bulan lalu, seramai 4,500 isi rumah di negeri ini masih dikategorikan dalam kategori kemiskinan berbanding 10,500 isi rumah pada Januari 2016.
"Bilangan (kemiskinan) ini turun dengan mendadak sebanyak 56 peratus. Beta berasa amat sukacita dengan penurunan jumlah isi rumah miskin tersebut.
"Ini menunjukkan pelbagai program dan inisiatif oleh kerajaan (negeri) telah berjaya mengeluarkan golongan ini daripada tarifan kemiskinan," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-13 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. - K! ONLINE