Translate

Monday, March 6, 2017

TLHT juara hoki wanita

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) pada kemunculan sulung mereka musim ini.

Kejayaan itu membuktikan skuad wanita negeri itu setanding dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang merangkul juara berganda termasuk Piala TNB baru-baru ini.

Pada aksi terakhir liga di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam, TLHT mudah membelasah Persatuan Hoki Daerah Johor Bahru (JBDHA) 5-0.

Pakar flick negara, Nuraini Abdul Rashid menyumbang dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit kelapan dan 50. Norazlin Sumantri menggandakan gol kedua THLT menerusi jaringan padang pada minit kesembilan.

Hanis Nadiah Onn menambah gol ketiga tuan rumah menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-12. Gol kelima TLHT disumbang Wan Norfaiezah Md. Saiuti menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-59.

JBDHA mendapat kesempatan terbaik untuk meraih gol saguhati selepas memperoleh pukulan sudut penalti pada minit ke-36 tetapi dipersia-siakan.

Sementara itu, jurulatih TLHT, Mohd. Asari Abd. Aziz berkata, beliau bersyukur pasukan kendalian berjaya mencapai hasrat menjuarai MWHL pada musim pertama penyertaan mereka.

“Ini kerja keras sepasukan. Terima kasih kepada kerajaan Terengganu yang memberi kepercayaan kepada kami sehingga tertubuhnya TLHT.

“Selepas ini kami akan fokus untuk menjuang Piala Vivian May pula bermula dengan saingan separuh akhir menentang Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail pada 8 Mac ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment