Translate

Sunday, March 26, 2017

Tesdec cadang buka pusat latihan selaman skuba di Dungun

MARANG - Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec), kolej kemahiran milik kerajaan negeri Terengganu bakal membuka sebuah pusat latihan selaman skuba lanjutan.

Pengurus Besar Tesdec, Saidi Salleh berkata, projek yang akan dibangunkan di Kampung Sungai Buaya, Dungun itu dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Menurutnya, pusat latihan itu bakal dibina di tanah milik kolej kemahiran milik kerajaan negeri itu yang seluas 0.506 hektar melibatkan kos RM6 juta.

"Pusat latihan ini dijangka dapat memenuhi permintaan para peminat sukan rekreasi itu kerana sebelum ini kebanyakan mereka terpaksa pergi ke Bali, Indonesia dan Thailand untuk mendapatkan lesen selaman skuba lanjutan," katanya di sini semalam.
Saidi berkata, bilik penginapan berkonsepkan kabin diperbuat daripada buluh juga bakal dibina.

"Kita mengunjurkan pusat latihan ini akan menjadi tarikan pelancongan terbaharu di daerah Dungun. Sebuah jeti persendirian juga bakal dibina di pusat latihan itu bagi membolehkan penggemar selaman skuba ke Pulau Tenggol yang terletak berhampiran," ujarnya.

No comments:

Post a Comment