Translate

Friday, March 31, 2017

Sharbinee berehat enam bulan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan penjaga gol utama skuad Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli diberi cuti rehat selama enam bulan sejak disahkan menghidap penyakit berkaitan paru-paru pada awal Februari lalu.

Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, sepanjang tempoh itu, kapten Terengganu tersebut akan menerima rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

“PBNST sentiasa menjaga kebajikan pemain. Sharbinee (Allawee) telah diberi cuti bergaji sehinggalah dia kembali sembuh seperti biasa.

“Saya juga dimaklumkan bahawa tahap kesihatan dia semakin baik berikutan rawatan yang telah dilaluinya setakat ini,” kata Razif ketika ditemui pada majlis Minum Petang Bersama pengurusan dan pemain skuad Terengganu di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim.

Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, peminat tegar skuad Penyu tidak perlu risau kerana pakar perubatan mengesahkan Sharbinee, 30, bakal sembuh sepenuh­nya dalam tempoh setengah tahun.

Menurut beliau, karier penjaga gol berpengalaman yang sudah menabur bakti dengan skuad Terengganu sejak 11 tahun lalu bermula 2006 itu juga disahkan oleh pakar perubatan terbabit, tidak akan terjejas akibat masalah kesihatan berkenaan.
Sharbinee yang mempunyai 18 cap dengan pasukan Harimau Malaysia mula direhatkan daripada skuad Terengganu selepas mengadu tidak sihat pada 7 Februari lalu.

Posisinya sebagai penjaga gawang utama skuad Penyu kini digalas Amierul Hakimi Awang yang juga penjaga gol skuad Bawah 22 Tahun kebangsaan.

No comments:

Post a Comment