Translate

Tuesday, March 14, 2017

Pelajar terlibat kes buli boleh ditahan di dalam lokap

KUALA TERENGGANU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil pendekatan baharu untuk menangani masalah buli di kalangan pelajar sekolah dengan menahan reman suspek di kala­ngan remaja itu di dalam lokap.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, sekiranya dibiarkan tanpa sebarang langkah pencegahan yang tegas, perbuatan membuli boleh membuka jalan kepada pelajar sekolah terbabit untuk terjebak ke dalam kancah jenayah lebih berat se­perti membunuh dan penyalahgunaan dadah.

“Saya memandang perbuatan buli ini sebagai kes yang begitu serius. Mana-mana pelajar sekolah yang terlibat dalam kes buli, pukul dan bergaduh, kita tidak akan teragak-agak untuk menahan mereka di dalam lokap polis.

“Bagi tujuan itu, perintah reman akan dimohon di mahkamah. Pendekatan baharu ini juga telah dipersetujui oleh Ketua Polis Negara,” katanya selepas merasmikan majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini semalam.

Sebelum ini, suspek kes buli di kalangan pelajar sekolah akan dibebaskan dengan jaminan polis.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Idris Abdullah dan Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad.

Mohmad berkata, walaupun pendekatan tersebut nampak keras, ia bertujuan untuk memberi pengingatan keras dan pengajaran berguna kepada golongan pelajar untuk menghindari perbuatan buli.

No comments:

Post a Comment