Translate

Friday, March 17, 2017

Kes pelajar merusuh meningkat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 47 pelajar sekolah di Terengganu terlibat dalam kes buli dan bergaduh yang diklasifikasikan sebagai merusuh sepanjang tahun lalu berbanding 26 pelajar pada tahun 2015.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, kesemua pelajar sekolah yang ditahan kerana merusuh itu merupakan sebahagian daripada 135 suspek juvana yang didapati terlibat dalam jenayah kekerasan dan kecurian harta benda sepanjang 2016.

Menurutnya, bagi jenayah kekerasan, seramai 26 orang ditahan bagi membantu siasatan kes rogol, cabul kehormatan, bunuh, mencederakan dan ugutan jenayah.

“Seramai 61 orang pula ditahan kerana dipercayai mencuri kenderaan dan pecah rumah,” katanya selepas menghadiri program Hadiah Kasih Sa­yang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belara, Manir dekat sini semalam.

Program anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Terengganu, A. Latiff Awang.

Dalam perkembangan sama, Rosli memberitahu, seramai 22 remaja di negeri ini juga terlibat dalam kes narkotik iaitu memiliki dadah, penagihan dan pengedaran sepanjang 2016.

Katanya, secara keseluruhannya, seramai 135 suspek juvana berusia antara 7 hingga 18 tahun di Terengganu didapati terlibat dengan jenayah kekerasan dan kecurian harta benda pada tahun lalu iaitu peningkatan 36.4 peratus berbanding tahun 2015.

“Bagaimanapun, kadar jenayah melibatkan kes juvana di negeri ini tidak membimbangkan dan masih lagi terkawal.

“Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama pelbagai pihak sentiasa mengambil langkah pencegahan seperti kempen turun padang untuk memberi kesedaran berhubung bahaya jenayah kepada pelajar sekolah,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment