Translate

Friday, March 3, 2017

Geng Pian John tumpas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Keresahan penduduk Kuala Ibai dan Chendering dekat sini berikutan peningkatan kejadian pecah rumah sejak akhir tahun lalu berakhir de­ngan tertangkapnya enam lelaki disyaki anggota Geng Pian John baru-baru ini.

Penahanan kesemua suspek berusia 24 hingga 40 tahun ber­kenaan diyakini berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes pecah rumah melibatkan kerugian lebih RM100,000 di beberapa taman perumahan di dua kawasan itu sejak Oktober tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superinten­dan Suffian Sulaiman berkata, polis telah melakukan risikan selama dua bulan untuk menjejaki kumpulan penjenayah yang didalangi seorang lelaki berusia 40 tahun dikenali sebagai Pian John.

“Kesemua suspek berjaya diberkas dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar Kuala Terengganu bermula 21 Februari hingga semalam (kelmarin),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini semalam.

Suffian berkata, pelbagai barangan berharga seperti televi­syen, telefon bimbit, beg tangan, dompet, tablet, komputer riba, jam tangan dan kamera kompak dipercayai milik mangsa kes pecah rumah berjaya ditemui dalam serbuan terbabit.

Menurut beliau, beberapa peralatan seperti kuku kam­bing, sepana, pemutar skru dan penukul yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan pecah rumah turut berjaya dirampas.

“Siasatan awal mendapati Geng Pian John menyasarkan lapan taman perumahan di sekitar Kuala Ibai dan Chendering antaranya Taman Kuala Ibai, Taman Seri Ibai, Taman Pinggiran dan Taman Sang Sura, Bukit Depu serta Taman Ibai Indah.

“Taman Koperasi, Taman Chendering Perdana dan Jalan Tok Adis di sekitar Chendering turut menjadi sasaran kumpulan penjenayah itu,” katanya.
Suffian berkata, modus ope­randi Geng Pian John ialah memecah masuk rumah ketika penghuninya keluar bekerja pada waktu siang.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment